Sunday 6 March 2011

UNDANG-UNDANG BUKAN PENYELESAI SEGALANYA

MUNGKIN banyak orang menyalahertikan kebebasan berbahasa dengan menggunakan bahasa asing sebebas-bebasnya, termasuk di tempat-tempat awam. Nama ‘Little Baby’, ‘Ji Hair Saloon’, ‘Z Bundle’, ‘Chicken Rice Mat Sup Corner’, ‘Dina Laundry’, dan ‘Kaji Electronic Enterprise’ adalah antara sekian banyak contoh penggunaan bahasa asing di tempat awam. Kalau kita melihat penggunaan bahasa di tempat-tempat awam, semakin banyak kita menemukan nama syarikat, perniagaan, hotel, atau pusat beli-belah yang tidak menggunakan nama dalam bahasa kebangsaan. Bahasa Inggeris ternyata lebih popular berbanding dengan bahasa kebangsaan. Berleluasanya penggunaan bahasa asing di tempat-tempat awam ini sudah pasti memberikan kesan terhadap jati diri kita. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan jati diri sebuah bangsa. Kalau masyarakat sudah tidak lagi memiliki kebanggaan dan kecintaan lagi terhadap bahasa kebangsaan, lebih gemar menyebut  ‘breakfast’, ‘appetizer’, ‘dessert’,  ‘lunch’, dan ‘dinner’ berbanding dengan ‘sarapan’, ‘pembuka selera’, ‘pencuci mulut’, ‘makan tengah hari’, dan ‘makan malam’, maka jati diri bangsa kita sudah pastilah menghampiri kemusnahan.
        Papan tanda nama, perniagaan, iklan, dan sebagainya ini merupakan salah satu unsur yang memberikan citra kepada bandar-bandar kita. Citra asing yang ditonjolkan sudah tentulah tidak mencerminkan budaya atau tidak memperlihatkan jati diri bangsa kita. Lebih daripada itu, penggunaan bahasa asing pada papan tanda niaga dan iklan, atau dalam penamaan hotel, kompleks beli-belah, taman perumahan, dan sebagainya memperlihatkan suatu bentuk peremehan, pelecehan, atau penghinaan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa asing lebih dihargai berbanding dengan bahasa kebangsaan. Bahasa asing juga dianggap lebih baik dan lebih maju daripada bahasa sendiri.
        Melihat keadaan ini, akta bahasa kebangsaan dicadangkan supaya dipinda untuk mengekang kecenderungan menggunakan bahasa asing daripada berkembang subur yang ternyata memberikan kesan negatif kepada citra bangsa. Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan melalui undang-undang dilihat sebagai pilihan yang berkesan setelah kempen dan usaha galakan yang dijalankan selama ini belum dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai jati diri dan citra bangsa dan negara. Penggunaan bahasa pada papan tanda nama, perniagaan, dan iklan di tempat awam harus menjadi cerminan budaya atau jati diri bangsa. Penggunaan bahasa asing untuk nama jalan, nama taman perumahan, nama perniagaan, nama kompleks beli-belah, dan sebagainya akan merosakkan citra kebangsaan kita.
        Memang undang-undang bukan penyelesai segalanya. Undang-undang yang mengenakan hukuman mati mandatori kepada pesalah dadah, misalnya, tidak membuatkan negara kita bebas daripada ancaman musuh nombor satu negara itu. Setiap hari, kita disajikan dengan pelbagai berita tentang kesalahan penyalahgunaan dadah. Begitu juga, saman yang tinggi tidak pernah menakutkan pemandu daripada menjadikan jalan raya sebagai litar lumba. Pelbagai peruntukan undang-undang terhadap kesalahan jenayah lain juga tidak mengurangkan kadar kejadian rompakan, samun, rogol, peras ugut, bunuh, rasuah, dan sebagainya. Sebaliknya, kadar jenayah terus juga meningkat. Demikianlah, penguatkuasaan penggunaan bahasa melalui undang-undang tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah penggunaan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Undang-undang tidak akan berkesan sepenuhnya meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Oleh sebab itu, jauh lebih penting di samping pelaksanaan undang-undang ialah membangunkan dan menciptakan budaya dan kebiasaan berbahasa yang baik dan betul. Kecintaan dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan perlu terus dibangkitkan dan dihidupkan. Kalau kebanggaan berbahasa kebangsaan sudah tinggi, penggunaan bahasa kebangsaan sudah tentu akan diutamakan berbanding dengan bahasa asing. Dengan kecintaan yang mendalam, kita juga tidak akan membiarkan pengaruh luar menjejaskan kedaulatan bahasa kebangsaan kita.

No comments:

Post a Comment