Sunday 6 March 2011

BAHASA SEBAGAI JATI DIRI BANGSA TIDAK HARUS TERSISIH

DALAM sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum ini, kita sentiasa berharap agar setiap warganya berfikir ke arah kesamaan diri sebagai sebuah bangsa. Kesamaan bangsa ini kadang-kadang dapat bererti kesamaan kaum, budaya, bahasa, sejarah, dan sebagainya. Memang tidak ada untungnya kalau kita membesar-besarkan perbezaan yang ada kerana hal itu hanya akan memusnahkan cita-cita kita bersama untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu padu dan memiliki jati diri sebagai sebuah bangsa. Justeru, yang perlu dibangunkan dan ditingkatkan ialah persefahaman antara kaum sehingga mereka dapat menyatukan diri dalam semangat satu bangsa dan satu negara yang  menjunjung tinggi bahasa kebangsaan. Negara kita memang memiliki kepelbagaian yang tidak sama dengan Jerman, Perancis, Sepanyol, Belanda, dan lain-lain yang menjadi satu negara bangsa kerana kesamaan raut wajah, keturunan, budaya, dan bahasa. Kaum kita Melayu, Cina, India, Bajau, Kadazandusun, Murut, Rungus, dan lain-lain yang bukan sahaja berbeza raut wajah, tetapi juga budaya dan bahasa. Namun yang tidak sama tetap dapat menjadi satu bangsa jika kita melihat semuanya itu dalam erti yang luas, dalam sebuah bangsa yang lebih besar. Menurut Asmah Haji Omar, dalam konteks kenegaraan sebelum dan selepas kemerdekaan Malaya dan kemudiannya Malaysia, bangsa digunakan untuk merujuk kepada suku kaum dan ras, misalnya bangsa Melayu, bangsa Cina, bangsa India, bangsa Iban, bangsa Kadazandusun dan sebagainya. Namun pada tahun 1980-an, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum itu mula memikirkan diri mereka sebagai anggota daripada satu bangsa yang sama, iaitu bangsa Malaysia.
        Daripada raut wajah, kita biasanya dapat dikenali sebagai orang Melayu, Cina, India, Serani, Bajau, atau Kadazandusun. Malah, saya sering sahaja disapa oleh orang China dalam bahasa mereka. Hal demikian berlaku mungkin disebabkan raut wajah saya seakan-akan orang Cina. Sebenarnya, banyak ciri yang membezakan kita daripada bangsa lain, dan satu daripadanya ialah bahasa. Bahasa Melayu, misalnya, mencirikan kaum Melayu. Begitu juga bahasa Mandarin mencirikan kaum Cina dan bahasa Tamil mencirikan kaum India.  Oleh itu, dalam kepelbagaian kaum dan suku kaum yang terdapat di negara ini, kita harus menemukan kesamaan yang melangkaui batas raut wajah, pakaian, makanan, agama, adat, tradisi, bahasa, atau budaya. Kesamaan yang dapat membentuk jati diri kita sebagai bangsa Malaysia, tidak lain daripada bahasa kebangsaan, iaitu yang menjadi ciri khas bangsa dan negara kita. Menurut Hasan Ahmad, bahasa merupakan faktor yang sangat penting dan berpengaruh dalam melahirkan kesedaran dalam diri seseorang sebagai sebuah bangsa. Melalui bahasalah suatu bangsa itu dapat memperkenalkan dirinya.
        Namun, dalam masyarakat yang berbilang kaum yang mempunyai latar belakang budaya, pendidikan, dan pengalaman yang berlainan, serta mempunyai bahasa ibunda masing-masing, usaha yang dijalankan ini tentu sahaja menghadapi pelbagai kesulitan. Melayu, Cina, dan India dengan bahasa masing-masing memperlihatkan perbezaan kita. Perbezaan ini sering menjadi penghalang keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dapat berfungsi sebagai lambang jati diri bangsa dan negara. Hal ini terbukti bahawa setelah lebih setengah abad usaha dijalankan, kita belum mengecap hasil yang benar-benar dapat dibanggakan. Kita mendapati bahawa kesedaran masyarakat tentang nilai dan peranan bahasa kebangsaan dalam kehidupan masih rendah. Bahasa hanya dilihat sebagai alat komunikasi semata-mata dan tidak mempunyai nilai dan peranan terhadap kehidupan kita sebagai sebuah bangsa. Oleh sebab itu, pelbagai usaha harus dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa bahasa kebangsaan merupakan unsur penting dalam proses pembinaan negara. Usaha yang bersungguh-sungguh perlu dijalankan agar perbezaan-perbezaan yang terus-menerus menghidupkan masalah penerimaan bahasa kebangsaan selama ini dapat dikurangkan.
        Sebagai jati diri bangsa, bahasa kebangsaan menjadi ciri yang membezakan bangsa kita daripada bangsa lain. Lalu, ketika kita menggunakan bahasa kebangsaan, jelas bahawa hasrat untuk menjadikan bahasa itu sebagai jati diri bangsa kita telah dapat dipenuhi. Namun, pada masa ini tidak banyak lagi orang yang ingin menggunakan bahasa  kebangsaan. Mereka tidak dapat melihat kesannya terhadap bangsa apabila bahasa kebangsaan tidak lagi digunakan. Bahasa kebangsaan sebagai salah satu unsur yang membentuk jati diri semakin tergeser, malah kian diabaikan. Hal ini dapat diperhatikan pada gejala-gejala yang muncul dalam kehidupan sehari-hari. Gejala penggunaan bahasa asing dalam pertemuan rasmi atau di tempat-tempat awam, misalnya, menunjukkan perilaku berbahasa masyarakat. Dalam ucapan, mesyuarat, seminar, persidangan, atau pada nama perniagaan, iklan, dan sebagainya, kita dapat menemukan penggunaan bahasa asing yang meluas. Dalam keadaan demikian, bahasa jelas tidak lagi memberikan sumbangan kepada jati diri bangsa.
        Bahasa kebangsaan memang mampu membangunkan jati diri bangsa jika bahasa itu benar-benar dihargai oleh pemiliknya. Sebagai lambang jati diri bangsa dan negara, bahasa kebangsaan seharusnya dijunjung tinggi. Bahasa kebangsaan harus dipertahankan dengan pelbagai cara supaya tetap mencirikan bangsa kita dan menjadi kebanggaan kita. Kehilangan bahasa dapat mengakibatkan kemusnahan bangsa. Tanpa bahasa, sebuah bangsa itu akhirnya akan lenyap ditelan masa. Saya kira, kita pasti tidak mahu kehilangan jati diri kita sebagai sebuah bangsa. Jadi, yang harus menjadi usaha kita ialah membenihkan, menyemai, dan menyuburkan rasa cinta terhadap bahasa kebangsaan. Rasa ini bukan sahaja harus diperlihatkan melalui penggunaannya, tetapi juga ditunjukkan melalui rasa tanggungjawab untuk membanteras semua bentuk perlakuan dan sikap bahasa yang dapat memusnahkan bahasa kebangsaan itu sendiri. Bahasa sebagai salah satu unsur yang membentuk jati diri bangsa tidak harus tersisih, bahkan mesti diperkukuh.

No comments:

Post a Comment