Wednesday 2 March 2011

MENEGASKAN JATI DIRI BANGSA

Bahasa memainkan peranan yang penting, bukan sahaja sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai jati diri sebuah masyarakat atau bangsa. Bahasa sukuan, misalnya, selain menjadi alat komunikasi dalam lingkungan keluarga dan masyarakat suku kaum, turut merupakan jati diri suku kaum tersebut. Bahasa Bajau merupakan jati diri suku kaum Bajau, bahasa Bisaya merupakan jadi jati diri suku kaum Bisaya, bahasa Iranun merupakan jati diri suku kaum Iranun, bahasa Sungai merupakan jati diri suku kaum Sungai, dan bahasa Murut merupakan jati diri suku kaum Murut. Oleh itu, jika kita mendengar seseorang menyebut “kopivosian kinoikatan”, misalnya, dengan segera kita mengatakan bahawa orang itu ialah orang Kadazandusun. Begitu juga, jika kita mendengar seseorang menyebut “inguma kanu”, dengan segera kita mengatakan bahawa orang itu daripada suku kaum Iranun. Bahasa juga dapat menjadi jati diri kelompok yang lebih luas, iaitu menjadi diri sebuah bangsa. Bahasa kebangsaan merupakan jati diri bangsa kita, sama ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Lundayeh, Rungus, Bidayuh, Iban, atau Melanau. Sebagai jati diri, bahasa kebangsaan menjadi ciri khusus  bangsa atau negara yang membezakan bangsa dan negara kita daripada bangsa dan negara lain. Justeru, apabila disapa oleh seseorang ketika kita berada di luar negara dengan ucapan ‘apa khabar?’, misalnya, dengan segera kita mengatakan bahawa orang itu orang Malaysia tanpa mengambil kira orang itu Melayu, China, India, Bisayah, Kadazandusun, Lundayeh, Murut, Rungus, Sungai, Bidayuh, Iban, atau Melanau.
Bahasa memang dapat menjadi jati diri bangsanya jika bahasa itu benar-benar dihargai secara mendalam oleh setiap anggota masyarakat yang menjadi pemiliknya. Jika sebahagian besar anggota masyarakat bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli terhadap bahasa kebangsaan sendiri, bahasa itu tidak akan dirasai sebagai milik bangsa yang penting, dan dengan demikian tidak memberikan sumbangan kepada jati diri bangsa. Sebagai lambang jati diri bangsa dan negara, bahasa kebangsaan seharusnya dijunjung tinggi seperti lambang-lambang kebangsaan yang lain. Bahasa kebangsaan harus dibina dan dikembangkan dengan baik, dan setiap anggota masyarakat harus sentiasa menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Sebagai pemilik atau pengguna bahasa, kita dituntut supaya membina dan mengembangkannya, serta mempertahan dan menjauhkannya daripada pengaruh unsur-unsur asing yang tidak diperlukan.
Namun, sama ada disedari atau tidak, dalam kegiatan berbahasa, kita kurang mendukung usaha membina dan mengembangkan bahasa tersebut. Pengguna bahasa kebangsaan yang baik dan betul hampir-hampir tidak ditemukan lagi dalam kegiatan berbahasa masyarakat sehari-hari. Sebilangan besar anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri, misalnya, lebih mementingkan bahasa Inggeris dalam komunikasi antara sesama mereka. Selain kecenderungan menggunakan bahasa asing, penggunaan bahasa rojak cukup menghidupkan suasana kegiatan berbahasa masyarakat. Bahasa rojak tampaknya begitu berkembang sehingga menjadi ‘bahasa utama’ dalam kalangan anggota masyarakat. Kita bukan sahaja dapat memerhatikan penggunaan bahasa rojak yang begitu menggejala ini dalam keidupan nyata, tetapi juga dapat menyaksikannya dalam drama-drama Melayu yang disiarkan melalui televisyen. Bahasa rojak seolah-olah menjadi bahasa yang ‘wajib’ ada dalam dialog pelakon-pelakonnya. Kalau penggunaan bahasa dalam drama-drama ini diambil sebagai cerminan penggunaan bahasa masyarakat, khususnya masyarakat Melayu, kita dapat membuat kesimpulan betapa ‘parahnya’ bahasa yang digunakan dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini.  Meluasnya penggunaan bahasa rojak ini telah memberikan gambaran seolah-olah bahasa rojak telah menjadi bahasa kebangsaan negara kita! Kita sememangnya risau melihat gejala bahasa rojak yang begitu berkembang dalam komunikasi masyarakat ini. Kita tidak bahasa kebangsaan kita lenyap bersama arus perubahan zaman yang semakin meminggirkan kepentingan penggunaannya dalam kehidupan masyarakat masa ini. Peranan bahasa dalam kehidupan kita amat penting kerana bahasa merupakan lambang berbangsa dan bernegara. Oleh itu, hal ini sangat penting diberi perhatian kerana kecenderungan menggunakan bahasa bahasa rojak dibimbangi akan melenyapkan jati diri bangsa.
Kita pasti tidak mahu kehilangan jati diri kita sebagai sebuah bangsa. Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi bangsa yang berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri. Dalam era globalisasi ini, jati diri bahasa kebangsaan yang menjadi ciri bangsa kita perlu terus dipertahan. Bahasa kebangsaan harus terus dibina dan dikembangkan sehingga menjadi kebanggaan bangsa kita.

No comments:

Post a Comment