Wednesday 2 March 2011

MENGEKALKAN KESANTUNAN BERBAHASA

KERAP kali, apabila bertemu dengan seseorang yang belum  kita kenal, kita  akan menilai orang itu daripada caranya berbahasa. Kita akan mengatakan bahawa “orang itu baik”, “orang itu ramah”, atau “orang itu sopan” hanya daripada cara dia berbahasa. Kerap kali juga kita langsung mengatakan bahawa “orang itu kasar”, “orang itu tidak tahu bahasa”, atau “orang itu tidak sopan” hanya daripada kata-kata yang digunakannya. Hal ini demikian kerana bahasa bukan sahaja berfungsi menyampaikan maklumat, tetapi juga mengungkapkan sikap atau tingkah laku seseorang. Bahasa menjadi cerminan peribadi seseorang, dan ungkapan “bahasa menunjukkan bangsa” memperlihatkan kaitan yang sangat erat antara bahasa dengan tingkah laku seseorang. Oleh itu, penggunaan bahasa yang tertib, lemah lembut, sopan, santun, jelas, dan tepat mencerminkan peribadi penuturnya yang berhemah tinggi dan berpekerti mulia. Sebaliknya, lidah orang yang bermoral rendah sudah pasti bergelimang dengan kata kasar, kesat, cabul, carut, maki-hamun, dan sumpah-seranah.
          Budi bahasa mempunyai nilai yang tinggi dalam masyarakat kita dan dianggap ukuran ketinggian peribadi seseorang. Setiap anggota masyarakat dikehendaki saling menghormati, di samping berbudi bahasa dan bersopan santun. Orang yang pandai menggunakan tutur katanya dengan sempurna dianggap orang yang berbudi bahasa. Oleh sebab itu, dalam komunikasi, baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan, kita dituntut supaya menggunakan bahasa yang baik dan mengikut norma-norma budaya, yakni sesuai dengan unsur-unsur  budaya yang ada dalam masyarakat. Pengetahuan tentang norma-norma budaya dalam masyarakat ini penting bagi membolehkan kita mengetahui apa-apa yang sebaiknya dikatakan, kata-kata yang tidak boleh digunakan, sapaan dan panggilan, serta ragam bahasa yang harus digunakan pada masa dan situasi tertentu. Bahasa yang tidak sesuai dengan norma budaya masyarakat akan membuatkan penuturnya dianggap ‘tidak tahu bahasa’, ‘tidak beradat’, malah ‘tidak berbudaya’. Dalam komunikasi, norma-norma budaya ini sangat penting diberi perhatian kerana penggunaan bahasa yang mematuhi atau sesuai dengan norma-norma budaya akan menghasilkan kesantunan berbahasa.
Dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini, kita dapat melihat semakin terhakisnya kesantunan berbahasa yang menjadi kebanggaan bangsa kita. Penggunaan bahasa yang sama sekali tidak memperlihatkan kesantunan berbahasa semakin bertebaran dalam pelbagai wacana. Kata-kata yang menghina, mengata, memaki-hamun, atau menyumpah-seranah semakin banyak ditemukan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Oleh itu, kata-kata seperti barua yang segolongan dengan kata bangsat, bedebah, celaka, jahanam, keparat, dan sial bukanlah sesuatu yang jarang-jarang keluar dari mulut sebilangan anggota masyarakat kita. Malah, penggunaan kata-kata makian yang jelas melanggar kesantunan berbahasa ini seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan. Dalam situasi dan kelompok tertentu, kata-kata seperti lahabau kau!, celaka kau!, dan sial kau! yang dihamburkan ketika bertemu dengan kawan karib mungkin tidak dianggap sebagai kata kesat, sebaliknya kata sapaan mesra yang menunjukkan keakraban. Sebaliknya, penggunaan kata makian seperti itu yang ditujukan kepada seseorang yang bukan teman karib, apatah lagi dalam situasi rasmi, misalnya dalam sidang parlimen, jelas melanggar etika berbahasa yang santun. Sering kali, kita dapat menyaksikan keriuhan berlaku di parlimen akibat penggunaan bahasa yang mengetepikan nilai kesantunan berbahasa ini.
Kehadiran kata-kata yang mengembangkan kebencian dan permusuhan secara berleluasa dalam pelbagai wacana, terutama dalam wacana politik  kebelakangan ini seharusnya menggugah kesedaran kita bahawa bahasa bukan sahaja berupaya mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban, tetapi juga mampu menyalakan kemarahan, memancing emosi, menyemai kebencian, dan merobek perpaduan. Melalui pelbagai tindak tutur seperti memaki, menfitnah, menuduh, mengancam, menghasut, dan menghina, misalnya, bahasa dapat menjatuhkan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat. 
Bahasa yang tidak digunakan sesuai dengan fungsinya itu lambat laun akan memusnahkan kerukunan dan kesejahteraan hidup bangsa. Oleh sebab itu, kecenderungan itu perlu dikekang segera agar riak kebencian dan permusuhan tidak membesar menjadi ombak yang kelak akan memukul, menghakis, dan merobohkan benteng kemesraan dan keakraban yang telah terdiri teguh selama ini. Kita tidak boleh membiarkan bahasa kita berkembang sekesat, sekasar, secabul itu kerana dengan bahasa itulah juga kita mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berbudi bahasa dan bersopan santun. Kita pasti tidak mahu anak-anak kita membesar sebagai manusia yang tidak tahu bahasa, tidak beradab, kasar, ataupun kurang ajar! Kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab masing-masing terhadap bahasa dan berbahasa harus ditingkatkan. Dengan kesedaran itu, pengguna bahasa diharapkan akan memberikan perhatian yang lebih berat terhadap prinsip kesantunan. Pengguna bahasa akan lebih mengawal lidahnya agar tidak mudah meluncurkan kata-kata kesat, kasar, dan cabul. Memang, bahasa kita kaya dengan kosa kata. Ribuan kata yang tersedia bukan sahaja dapat digunakan untuk memupuk rasa kebersamaan dan mengungkapkan kebenaran, tetapi juga menyemai kebencian dan menegakkan kepalsuan. Kebijaksanaan atau kedunguan kitalah yang akan menentukan bentuk dan tujuan kata-kata yang akan dipilih dan digunakan!

No comments:

Post a Comment