Saturday 12 March 2011

MENGAGUMI BAHASA SENDIRI

SEBILANGAN anggota masyarakat mungkin cukup berbangga apabila dapat bergaya dengan kasut, beg tangan, dan pakaian berjenama mahal buatan luar negara. ‘Kegilaan’ sebilangan anggota masyarakat terhadap barangan luar  negara ini telah menuntut diadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia, iaitu kempen menggalakkan rakyat menggunakan barangan tempatan. Sedar atau tidak, kita sebenarnya masih diselubungi sikap yang ‘mendewa-dewakan’ Barat. Kita masih terlalu bangga jika dapat berperilaku seperti orang barat, berpakaian seperti orang barat, makan seperti orang Barat, dan bertutur seperti orang Barat. Kita juga masih terlalu bangga jika menggunakan barangan keluaran mereka. Walaupun negara kita sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan sendiri, namun sebilangan anggota masyarakat masih mengagung-agungkan barangan luar. Mereka memandang rendah barangan keluaran tempatan. Mereka menganggap barangan keluaran tempatan tidak setanding dengan barangan keluaran luar negara dari segi mutunya. Mereka masih tetap mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita dan tidak kalah dari segi mutunya berbanding dengan barangan buatan luar negara.
          Sikap mengagumi barangan luar ini turut diperlihatkan dalam hal bahasa. Salah satu gejala kebahasaan yang menonjol dalam masyarakat kita ialah sikap mengutamakan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Mereka berasa begitu bangga berbahasa Inggeris daripada berbahasa kebangsaan sendiri. Dengan berbahasa Inggeris, mereka berasa diri berbudaya maju, moden, dan hebat kerana bahasa itu menjadi lambang kemajuan, kemodenan, dan kehebatan. Lebih daripada itu, timbul anggapan bahawa kemampuan berbahasa Inggeris merupakan ukuran terpelajar atau tidaknya seseorang. Sebilangan anggota masyarakat yang memiliki status sosial tertentu cenderung mengabaikan bahasanya. Kenyataan adanya kesan sosial yang lebih baik bagi orang yang mampu berbahasa Inggeris berbanding dengan orang yang hanya mampu berbahasa kebangsaan ini semakin menurunkan darjat bahasa kebangsaan dan memberikan kesan negatif terhadap perkembangannya.
          Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa asing yang diperlukan untuk pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Namun, keperluan terhadap bahasa itu ternyata telah membawa implikasi yang besar, bukan sahaja terhadap peranan dan fungsi bahasa Melayu, tetapi juga pandangan dan sikap masyarakat terhadap bahasa itu sendiri. Dalam kalangan masyarakat terdapat pelbagai sikap terhadap bahasa kebangsaan. Sebilangannya tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang perlu dipelajari dan dikuasai untuk kemajuan bangsa dan negara, sebaliknya menunjukkan keghairahan yang luar biasa untuk mempelajari bahasa Inggeris, bahasa yang dianggap dapat membawa bangsa seiring dengan bangsa maju lain di dunia. Kemajuan bangsa hanya akan dicapai melalui penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kehidupan sehari-hari. Mereka berkeyakinan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, kita akan dapat menjadi bangsa yang unggul. Sikap dan pandangan yang mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing itu tentu sahaja memberikan kesan negatif kepada perkembangan bahasa kebangsaan.
          Kita mengakui bahawa sebagai sarana pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi moden, bahasa Melayu masih memiliki kelemahan atau kekurangan tertentu. Hal ini dianggap wajar mengingat usianya yang masih muda berbanding dengan bahasa-bahasa maju lain di dunia. Namun, kelemahan atau kekurangan itu tampaknya telah mendorong timbulnya sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Bahasa Melayu dianggap bahasa yang miskin dan serba kekurangan. Bahasa Melayu dianggap tidak mampu mendukung ilmu pengetahuan dan teknologi moden, dan tidak dapat memajukan bangsa dan negara. Anggapan itu telah menyebabkan makin menipisnya kebanggaan dan kesetiaan masyarakat terhadap bahasa Melayu, dan sebaliknya lebih cenderung menghargai bahasa asing, justeru penggunaan bahasa Melayu kian memudar. Komunikasi sehari-hari makin banyak menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini sudah tentulah menimbulkan kebimbangan kerana bangsa yang menggunakan bahasa orang lain sebagai alat komunikasi dikatakan tidak mempunyai jati diri sebagai bangsa. Dalam kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu harus tetap mampu menunjukkan jati diri bangsa.   
          Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan milik semua warga negara Malaysia. Hal ini bererti bahawa baik atau buruknya bahasa itu, maju atau mundurnya bahasa itu, hidup atau matinya bahasa itu, dan mampu atau tidaknya bahasa itu menjadi sarana kemajuan bangsa dan negara terletak di bahu seluruh anggota masyarakat. Mungkin orang beranggapan bahawa usaha membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan menjadi tanggungjawab ahli bahasa semata-mata, dan masalah bahasa kebangsaan merupakan masalah orang atau kelompok tertentu sahaja.. Anggapan demikian tidaklah tepat kerana masyarakat sebagai pengguna sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Dalam hubungan ini, seluruh anggota masyarakat dituntut memiliki sikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Seluruh anggota masyarakat dituntut membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan supaya bukan sahaja mampu menjadi sarana komunikasi dan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi moden, tetapi juga menempatkannya di kedudukan yang sewajarnya.
          Selama ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membina sikap bahasa yang positif supaya dengannya anggota masyarakat berasa ikut bertanggungjawab untuk memelihara, mengembangkan, dan memajukan bahasa kebangsaan. Program Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun, misalnya, merupakan usaha berterusan untuk menumbuhkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab mereka dalam pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Keberadaan bahasa kebangsaan sebagai lambang bangsa dan negara yang harus dipertahan. Siapa lagi yang akan peduli terhadap bahasa kebangsaan kalau bukan kita sebagai pemiliknya?

1 comment:

  1. Betway Casino - Jackson County, Mississippi - KJTM
    Betway Casino is open 울산광역 출장안마 24 hours 동해 출장안마 a day, 양산 출장마사지 7 days a week. The casino's 24 table games 제주도 출장마사지 are blackjack, roulette, craps, poker, keno 군산 출장샵 and keno.

    ReplyDelete