Sunday 6 March 2011

MEMBANGKITKAN MINAT KHALAYAK

BUKAN suatu usaha yang mudah untuk menghadirkan ratusan orang dalam suatu acara sastera, apatah lagi dalam acara sastera yang ilmiah sifatnya, seperti seminar, syarahan, dan majlis perbincangan. Malah, sudah menjadi kebiasaan bahawa khalayak yang memenuhi acara-acara sastera terdiri daripada pelajar sekolah. Dalam kebanyakan acara sastera, kehadiran khalayak didapati semakin berkurangan. Sambutan masyarakat terhadap kegiatan sastera yang diadakan kian dingin. Mungkin agak mudah untuk menarik kehadiran ribuan khalayak untuk acara sastera yang lebih berbentuk hiburan sifatnya. Namun, dalam kebanyakan acara sastera, yang hadir adalah ‘muka-muka’ yang sama dengan jumlah yang dapat dihitung dengan jari. Keadaan ini menyebabkan kehadiran artis tertentu sering kali menjadi ‘umpan’ kebanyakan acara sastera. Acara apresiasi puisi yang mengikutsertakan artis terkenal, misalnya, sudah pasti menjanjikan limpahan khalayak. 
        Khalayak sastera yang semakin berkurangan dalam kebanyakan acara sastera ini sering menjadi tajuk perbincangan dalam pelbagai forum dan pertemuan sastera. Hal ini menjadi penting  kerana kehidupan dan kemajuan sastera turut bergantung pada dukungan khalayaknya.  Tanpa khalayak, sastera tidak akan dapat dimajukan dan dikembangkan. Dalam hubungan ini, DBP pernah menjalankan kajian untuk mengenali dan mendekati khalayak yang menjadi sasaran perancangan kegiatan sastera. Kajian itu dilakukan untuk mengenal pasti faktor yang mempengaruhi penyertaan mereka dalam kegiatan sastera. Golongan yang dikenal pasti untuk kajian itu ialah golongan yang mempunyai kaitan langsung dengan kegiatan sastera seperti pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, dan guru. Pelajar sekolah berhadapan dengan pemelajaran sastera. Begitu juga dengan golongan guru yang terlibat dengan pengajaran mata pelajaran sastera. Pelajar di institusi pengajian tinggi pula terdedah dengan pelbagai kegiatan sastera yang dianjurkan oleh pihak universiti. Daripada kajian didapati bahawa kegiatan sastera yang paling digemari ialah drama, manakala kegiatan yang paling kurang digemari ialah sayembara, puisi, dan dialog atau diskusi sastera. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi minat khalayak untuk terlibat dalam kegiatan sastera. Faktor yang sangat mempengaruhi penyertaan mereka dalam sebarang kegiatan sastera yang dianjurkan ialah mutu, masa, kemudahan pengangkutan, personaliti, dan tempat. Namun, pada keseluruhannya, daripada kajian itu dapat dinyatakan bahawa masyarakat sebenarnya mempunyai sikap yang positif terhadap kegiatan sastera. Menyertai kegiatan sastera dilihat penting untuk peningkatan diri sendiri di samping dapat menghubungkan mereka dengan budaya dan kehidupan orang sekeliling. Dapatan ini menunjukkan bahawa khalayak sastera sebenarnya dapat dibangunkan melalui kegiatan yang lebih teratur dan berkesan.
        Memang diakui bukan sesuatu yang mudah untuk mengajak masyarakat supaya menyukai, apatah lagi menghayati, menghargai, dan mencintai sastera. Zalila Sharif, dalam makalahnya ‘Pemerkayaan Sastera dalam Kalangan Generasi Muda’ yang dibentangkan dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-VII, menyatakan bahawa usaha meluaskan khalayak sastera tidak dapat lari daripada hakikat bahawa kita perlu meneliti keadaan semasa yang begitu banyak berubah. Perubahan ini berlaku akibat perkembangan baharu dunia seperti globalisasi, ekonomi, pemasaran, dunia pekerjaan, teknologi maklumat dan komunikasi, cita rasa, dasar kerajaan dan sebagainya telah mempengaruhi nilai, minat, sikap dan keperluan masyarakat terhadap sastera. Dalam kehidupan moden yang memberikan perhatian dan penekanan yang sangat besar terhadap sains dan teknologi, sastera bukan sesuatu yang dianggap penting. Bagi sesetengah anggota masyarakat, sastera hanya membuatkan orang leka dan berkhayal. Sebahagian anggota masyarakat juga berpandangan bahawa menghadiri acara sastera hanya membuang masa dan tidak ada manfaatnya. Dalam hal ini, jelas bahawa sastera belum menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita. Menurut Taufiq Ismail, keadaan ini berlaku kerana masyarakat kita telah dihinggapi gejala ‘rabun sastera’ sehingga gagal menikmati keindahan nilai yang terkandung dalam sastera. 
        Pandangan sebahagian anggota masyarakat terhadap sastera ini memang sukar diubah. Kita memerlukan masa untuk menjelaskan betapa sastera itu merupakan sesuatu yang cukup bermakna bagi kehidupan. Kita juga memerlukan kesungguhan untuk meyakinkan masyarakat bahawa sastera merupakan sarana yang dapat membina keperibadian, dapat memperhalus jiwa, dan dapat mendorong orang untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Puisi sebagai salah satu genre sastera, misalnya, dapat dihubungkan dengan nilai-nilai yang berkaitan dengan moral, sosial, budaya, dan sebagainya. Keakraban masyarakat dengan puisi dapat menjadikan mereka insan yang berperikemanusiaan dan berakhlak mulia.
        Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk memupuk, membina, dan mengembangkan sastera di segenap lapisan masyarakat. Usaha yang bersepadu dan terancang diperlukan agar apa-apa yang dirancangkan dapat memenuhi keperluan khalayak sasaran. Melalui usaha-usaha ini, kegiatan sastera diharapkan akan lebih meninggalkan kesan kepada masyarakat dengan lebih menyeluruh. Dengan kepesatan bidang sains dan teknologi, sastera seharusnya dapat berkembang dengan lebih mantap, bukan sebaliknya semakin disisihkan.  
        Memang, dalam usaha meningkatkan dan meluaskan khalayak kegiatan sastera, tidak dapat tidak, tumpuan harus diberikan pada peringkat awal. Kefahaman dan kesedaran perlu diberikan sejak awal supaya kecenderungan dan minat terhadap kegiatan sastera dapat dipupuk dan ditanam dalam diri golongan muda. Sebagai golongan yang sangat berpotensi untuk menggerakkan kehidupan sastera, mereka harus dilibatkan secara aktif dalam kegiatan sastera. Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Perdana 2002/3, pernah menyarankan agar khalayak sastera dibina sejak usia muda. Usaha membina khalayak sastera tidak akan membuahkan hasil jika sikap dan minat terhadap sastera tidak dibentuk sejak awal. Malah, usaha membina khalayak sastera tersebut diyakini mencapai kejayaan jika semua pihak yang bertanggungjawab dapat memainkan peranan dengan sempurna.
        Dalam hubungan ini, sebagai salah sebuah organisasi penting dalam pengembangan sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berkembang dengan pelbagai kegiatan agar sesuai dengan perkembangan semasa. Pelbagai pendekatan digunakan untuk membangkitkan minat masyarakat dan melibatkan penyertaan khalayak yang lebih luas dalam sebarang kegiatan sastera. Dengan pelbagai usaha dan pendekatan yang dilakukan, khalayak sastera pada setiap peringkat masyarakat diharapkan dapat dibangunkan demi kemajuan sastera itu sendiri.

No comments:

Post a Comment