Wednesday 2 March 2011

MENINGKATKAN CITRA KEBANGSAAN

Nama syarikat, nama perniagaan, nama pertubuhan, dan nama bangunan adalah antara nama yang dipaparkan pada papan tanda nama di premis perniagaan, bangunan, dan sebagainya. Pemaparan nama yang dikategorikan sebagai iklan dan papan tanda bangunan dan rumah kedai ini merupakan contoh penggunaan bahasa di tempat awam. Selain papan tanda nama, iklan yang terpampang pada papan iklan, kain rentang, dan sepanduk di hadapan premis atau di pinggir jalan turut termasuk dalam kategori bahasa yang digunakan di tempat awam. Sebagai salah satu bentuk komunikasi, pengiklan sudah pastilah menggunakan pelbagai kaedah agar mesejnya dapat disampaikan kepada pengguna atau pelanggan dengan berkesan. Pemilik perniagaan atau pengiklan akan menggunakan gambar, reka letak iklan, rupa bentuk tulisan, dan warna dalam usaha mempengaruhi orang ramai agar berkunjung ke premis perniagaan atau membeli barangan mereka. Dalam komunikasi ini, bahasa turut memegang peranan yang penting. Penggunaan bahasa yang tepat, ringkas, dan menarik sudah pasti dapat menggugah perasaan pengguna atau pelanggan.
Papan tanda nama, perniagaan, iklan, dan sebagainya ini merupakan salah satu unsur yang memberikan citra kepada bandar-bandar kita. Citra “asing” yang ditonjolkan sudah tentulah tidak mencerminkan budaya atau tidak memperlihatkan jati diri bangsa kita. Oleh sebab itu, selain dibangunkan dari segi prasarana dan ekonominya, bandar-bandar kita perlu juga diberi wajah berasaskan nilai budaya bangsa. Penggunaan bahasa pada papan tanda nama, perniagaan, dan iklan di tempat awam ini harus menjadi cerminan budaya atau jati diri bangsa. Penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan tidak tercemar dengan pengaruh asing akan dapat meningkatkan citra kebangsaan kepada bandar-bandar kita. Di samping itu, penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul ini juga dapat mewujudkan suasana persekitaran yang mampu merangsang masyarakat untuk berbahasa kebangsaan dengan baik dan betul. Iklan-iklan yang mampu memaku pandangan orang ramai ini dapat memberikan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul kepada masyarakat.
Jika kita melihat penggunaan bahasa di tempat-tempat awam, kita harus mengakui bahawa fungsi bahasa kebangsaan sebagai sarana komunikasi dalam bentuk iklan, nama, pengumuman, dan sebagainya ini belum terlaksana secara optimum. Pada masa ini, masih cukup banyak papan tanda nama perniagaan, nama pusat beli-belah, nama taman perumahan, nama hotel, dan iklan menggunakan nama atau bahasa asing. Tidak banyak kita menemukan nama syarikat, perniagaan, hotel, atau pusat beli-belah yang menggunakan nama dalam bahasa kebangsaan. Bahasa asing seakan-akan sudah menjadi suatu citra baharu bangsa kita.
Masalah kecenderungan menggunakan bahasa asing, daripada perbualan sehari-hari sampai kepada penamaan taman perumahan, hotel, pusat beli-belah, dan sebagainya bukan masalah baharu. Sebahagian besar anggota masyarakat mungkin menganggap masalah ini sebagai masalah remeh dan bersikap tidak peduli terhadap hidup matinya bahasa kebangsaan. Bahasa hanya dilihat sebagai alat komunikasi semata-mata dan tidak mempunyai nilai dan peranan terhadap kehidupan kita sebagai sebuah bangsa. Oleh sebab itu, pelbagai usaha harus dijalankan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa bahasa kebangsaan merupakan unsur penting dalam proses pembinaan negara, baik dalam bentuk dan peranannya sebagai bahasa perpaduan, bahasa pembentuk jati diri dan citra bangsa, dan sebagai wahana komunikasi rasmi, serta sebagai wahana pengembangan ilmu. Pelbagai kegiatan yang dapat menyuburkan jiwa dan semangat anggota masyarakat dengan perasaan cinta, kasih, dan sayang yang mendalam terhadap bahasa kebangsaan perlu diadakan terus-menerus supaya dengannya anggota masyarakat bersedia memberikan penghormatan dan meletakkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Hal ini sangat penting disedari supaya arus kemajuan dan pemodenan tidak akan menghakis benteng keperibadian dan jati diri kita sebagai sebuah bangsa. Dengan kecintaan yang mendalam, kita pasti tidak akan membiarkan segala bentuk tindakan yang meremehkan bahasa kebangsaan kita. Kita juga tentu bersedia memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan bahasa Melayu, dalam kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, akan tetap mampu menunjukkan jati dirinya sebagai milik bangsa.

No comments:

Post a Comment