Saturday 12 March 2011

MEMBENDUNG GEJALA BAHASA

BAHASA rojak merupakan gejala kebahasaan yang dapat diperhatikan dengan mudah dalam kegiatan bahasa masyarakat di negara ini. Gejala ini muncul dalam tindak tutur masyarakat baik secara sedar mahupun tidak. Meluasnya penggunaan bahasa rojak ini telah memberikan gambaran seolah-olah bahasa rojak telah menjadi bahasa utama negara kita! Kenyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan perhatian serius yang berterusan daripada kerajaan terhadap gejala ini.
        Dalam perkembangan bahasa rojak, sumbangan media elektronik kepada penyebaran dan penyuburannya tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, hasrat Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk mengadakan pertemuan dengan juruhebah dan penyiar radio dan televisyen bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan tidak dipinggirkan dalam penyampaian maklumat kepada pendengar setidak-tidaknya memperlihatkan keinginan pihak kementerian untuk membendung penggunaan bahasa rojak yang begitu meluas. Hal ini merupakan sesuatu yang wajar kerana radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Penguasaan bahasa dan mutu bahasa juruhebah atau penyiar tentu sahaja sangat dituntut kerana penguasaan bahasa juruhebah atau penyiar akan memberinya kemudahan untuk menyampaikan pengetahuan kepada pendengar. Selain tidak akan menggunakan bahasa rojak, juruhebah atau penyiar yang menguasai bahasa dengan baik sudah pastilah tidak akan melaporkan berita terjadinya peristiwa ‘kejar-mengejar’ antara pihak polis dengan penjahat. Tentulah aneh sekiranya benar-benar terjadi bahawa selepas penjahat melarikan diri dikejar pihak polis, pihak polis pula kemudian melarikan diri dikejar penjahat! Oleh itu, penguasaan bahasa ini turut mencakup ketelitian atau ketepatan dalam berbahasa.
        Walaupun pihak kementerian sentiasa memantau penggunaan bahasa rojak dalam kalangan penyiar dari semasa ke semasa dan memberikan teguran kepada stesen-stesen radio yang didapati gemar menggunakan bahasa rojak, namun masalah penggunaan bahasa dalam media elektronik, baik radio mahupun televisyen, sebenarnya tidak mudah diselesaikan. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa dalam media elektronik melibatkan pelbagai wacana. Bahasa hanyalah salah satu unsur yang mendirikan wacana tersebut. Oleh sebab itu, atas nama komersial dan realiti kehidupan, misalnya, sebilangan besar wacana tersebut menampilkan penggunaan bahasa yang rancu, bahasa basahan, bahasa pasar, atau bahasa rojak. Setiap rancangan yang mempunyai daya tarikan, khususnya rancangan berbentuk hiburan, didapati sering mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Drama-drama yang disajikan melalui televisyen, misalnya, tidak lepas daripada penggunaan bahasa rojak ini. Bahasa digunakan dalam bentuk yang begitu merawankan hati dan perasaan para pencinta dan pembina bahasa. Penampilan dialog yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk ini seolah-olah telah menjadi suatu kemestian untuk menunjukkan status watak yang dilakonkan meskipun disedari bahawa pelbagai persoalan tetap dapat diungkapkan dengan berkesan tanpa dialog. Begitu juga dalam siaran berbentuk hiburan yang lain. Kita dapat melihat bahawa bahasa basahan dan bahasa rojak ini telah menjadi bahasa pengantarnya!
        Masalah bahasa rojak ini sebenarnya merupakan masalah kita bersama. Penggunaan bahasa bahasa rojak dalam pelbagai rancangan yang disiarkan melalui media elektronik tidak harus dituding kepada penerbit, pengarah, pelakon, penulis skrip, pengacara, juruhebah, atau penyiar semata-mata kerana penggunaan bahasa dalam rancangan-rancangan itu sebenarnya amat dipengaruhi oleh penggunaan bahasa masyarakat seluruhnya. Oleh sebab itu, untuk membendung penggunaan bahasa rojak yang meluas ini, kita tidak ada pilihan lain selain meningkatkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan yang baik dan betul digunakan dalam kegiatan berbahasa mereka. Kesedaran berbahasa ini memang merupakan sesuatu yang amat penting dimiliki oleh setiap anggota masyarakat.
        Gejala bahasa rojak sering dikaitkan dengan kekurangan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa kita dikatakan tidak mampu menterjemahkan semua kata bahasa asing sehingga kita terpaksa meminjam kata bahasa asing tersebut. Kita mungkin biasa dan terbiasa dengan ujaran seperti “Tempat ni best sangat!”. Namun, haruskah kita menggunakan kata ‘best’ dalam ujaran itu? Rasanya, jika kata ‘best’ itu diganti dengan kata ‘bagus’, maknanya tidak akan hilang! Memanglah bahasa Melayu memerlukan kata-kata baharu untuk terus berkembang, namun kata-kata yang ‘dipinjam’ itu biarlah untuk kata yang benar-benar tiada dalam bahasa Melayu. Misalnya, mengapa kita perlu meminjam ‘toleransi’ kalau sudah ada ‘tolak ansur’ dalam bahasa Melayu? Dalam berbahasa, kita seharusnya mengusahakan penggunaan kata dalam bahasa sendiri.
        Usaha memperkasakan bahasa Melayu turut melibatkan usaha memperkasakan masyarakat penuturnya, iaitu meningkatkan penguasaan, pemahaman, keterampilan, dan sikap mereka terhadap bahasa kebangsaan. Usaha ini diharapkan bukan sahaja berupaya meningkatkan kemampuan dan keterampilan berbahasa, tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang berbangga dengan bahasa yang menjadi lambang jati diri mereka.
        Bahasa kebangsaan dapat menjadi jati diri bangsa yang nyata apabila masyarakat penggunanya membina dan mengembangkannya sedemikian rupa sehingga bersih daripada unsur-unsur asing yang memang tidak diperlukan. Penggunaan bahasa rojak akan menyebabkan bangsa kita kehilangan jati diri. Kita pasti tidak mahu kehilangan jati diri kita sebagai sebuah bangsa. Oleh itu, marilah kita menjadi bangsa yang berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, dan tidak ’merojakkannya’ sesedap rasa.

No comments:

Post a Comment