Saturday 5 March 2011

KALAU BUKAN KITA SIAPA LAGI?

‘UM tak penting bahasa Melayu?’. Demikian tajuk tulisan Yusuf Jalli dalam ruang forum Utusan Malaysia pada 22 Februari 2011 yang lalu. Naib Canselor UM dilihat seolah-olah memperlekehkan keupayaan bahasa Melayu untuk memperkasakan ilmu di institusi pengajian tinggi apabila membentangkan hasil kajian pengesanan graduan 2010 oleh Kementerian Pengajian Tinggi berhubung dengan kebolehpasaran graduan dalam tempoh enam bulan setelah mereka tamat pengajian. Naib Canselor UM telah mengaitkan kebolehpasaran graduan UM dengan beberapa hasil kajian lain yang menunjukkan keperluan dalam aspek komunikasi, terutama dalam bahasa Inggeris. Namun, tuduhan itu segera dinafikan oleh Prof. Dr. Fauza Abd. Ghaffar dalam ruangan yang sama pada 28 Februari 2011. Menurut beliau, Naib Canselor UM membentangkan hasil kajian itu untuk mengingatkan para pelajar supaya menjadi graduan yang berkebolehan seperti yang diperlukan oleh pasaran masa ini. Penguasaan bahasa Inggeris menjadi suatu keperluan untuk membolehkan mereka berdaya saing dalam pasaran kerja.
        Pada masa ini, kebolehan berbahasa Inggeris, baik bertutur mahupun menulis, menjadi sesuatu yang wajib dimiliki sekiranya seseorang berhasrat mendapatkan pekerjaan, terutama di sektor swasta. Tanpa kebolehan berbahasa Inggeris, seseorang sudah pasti tergagap-gagap walaupun untuk menjawab soalan-soalan mudah dalam temu duga jawatan yang dipohon. Dalam tulisan saya ‘Menjadi Bangsa yang Menguasai Pelbagai Bahasa’ pada 21 Jun 2010 yang lalu, saya menyatakan bahawa penguasaan lebih daripada satu bahasa memang memberikan banyak kelebihan kepada kehidupan kita. Peluang pekerjaan orang yang menguasai pelbagai bahasa jauh lebih tinggi daripada orang yang hanya mampu bertutur dalam satu bahasa. Oleh sebab itu, sudah banyak orang Melayu dan kaum lain yang turut menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Malah, pada peringkat pengajian tinggi pula, bilangan pelajar yang mempelajari bahasa Mandarin semakin bertambah. Bahasa Mandarin menjadi kian penting dipelajari kerana bahasa itu dikatakan akan mengambil tempat bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, terutama dengan kemunculan China sebagai salah sebuah kuasa besar ekonomi dunia. Jadi, bahasa itu semakin diperlukan dalam urusan perniagaan. Penguasaan bahasa Mandarin dilihat akan memberikan kelebihan kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
        Kita memang akur tentang keperluan penguasaan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Kebanyakan perdagangan antarabangsa dijalankan dalam bahasa Inggeris. Dunia teknologi komunikasi dan maklumat juga bergantung erat pada bahasa Inggeris. Jadi, kemampuan berbahasa Inggeris dianggap sebagai salah satu kemampuan yang sangat menentukan kemajuan kerjaya diri. Oleh itu, anak-anak wajar sekali digalakkan menguasai pelbagai bahasa. Kita tentu tidak mahu anak-anak ketinggalan disebabkan tidak menguasai bahasa lain.
        Selama ini, keperluan penguasaan bahasa asing sebenarnya tidak pernah dinafikan. Usaha menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang dilakukan secara berterusan tidak pernah bermaksud menafikan keperluan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris. Malah, memang tidak wajar kita bersikap antibahasa asing. Cuma yang ditekankan selama ini ialah sikap positif terhadap bahasa kebangsaan sendiri supaya keghairahan kita menguasai dan menggunakan bahasa asing itu tidak sampai menyisihkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan negara kita. Sebagai pemilik, kita dapat sahaja meletakkannya di tempat yang sewajarnya atau sebaliknya. Kalau kita mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang wajib dikuasai walau dalam apa pun bidang pekerjaan sama ada di sektor kerajaan atau sektor swasta, maka akan jadilah bahasa itu sebagai bahasa yang penting dan diperlukan. Pendek kata, semuanya berada di tangan kita!
        Dalam tulisan saya ‘Meningkatkan Keperluan Bahasa’ pada 19 April 2010, saya melahirkan kebimbangan akan sikap sebahagian anggota masyarakat yang tidak lagi melihat bahasa Melayu sebagai suatu keperluan. Untuk membeli-belah, misalnya, mereka boleh sahaja menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Begitu juga untuk keperluan pendidikan. Dari mula memasuki alam persekolahan, mereka boleh sahaja memilih untuk memasuki sekolah yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu. Mereka boleh memasuki sekolah yang berbahasa pengantar bukan bahasa Melayu. Di peringkat sekolah menengah juga, mereka mempunyai pilihan untuk terus melanjutkan pelajaran di sekolah persendirian yang menawarkan pengajaran dan pemelajarannya bukan dalam bahasa Melayu. Begitu juga di peringkat pengajian tinggi. Mereka boleh memilih untuk melanjutkan pelajaran di luar negara atau di kolej dan universiti swasta di dalam negara yang tidak menggunakan bahasa Melayu. Dan, selanjutnya, untuk mendapatkan pekerjaan, terutama di sektor swasta, penguasaan bahasa Melayu bukanlah suatu syarat. Jadi, tanpa penguasaan bahasa Melayu, mereka masih dapat meneruskan kehidupan dengan jayanya.
        Persoalan penguasaan bahasa Inggeris ini sama ada disedari atau tidak turut memperlihatkan pandangan bangsa Melayu terhadap bahasanya sendiri. Bagi satu pihak, bahasa Melayu dilihat sebagai bahasa yang belum mampu memajukan dan memodenkan bangsa sehingga kita terpaksa beralih kepada bahasa Inggeris. Bangsa kita dikatakan tidak akan dapat bersaing dengan bangsa-bangsa lain di dunia jika pemerolehan ilmu dan teknologi masih terikat dengan bahasa Melayu. Oleh itu, demi kemajuan bangsa, kita dikatakan tidak mempunyai pilihan lain kecuali meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
        Walaupun sering dikatakan bahawa usaha meningkatkan penguasaan bahasa dalam kalangan pelajar bukan menidakkan kedudukan bahasa Melayu, namun secara perlahan-lahan bahasa Melayu sebenarnya kian tersisih daripada arus kemajuan dan peradaban bangsa. Lambat-laun, bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang dituturkan di kedai kopi atau di pasar sahaja apabila tidak digunakan lagi dalam bidang keilmuan. Keadaan sedemikian bukanlah sesuatu yang mustahil terjadi kerana kecenderungan masyarakat pada masa ini, apatah lagi sistem pendidikan makin meninggalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  keilmuan. Pada era globalisasi ini, kita menerima pelbagai perubahan yang menjurus ke arah pengurangan kepentingan dan keperluan bahasa kebangsaan.
        Bahasa asing memang perlu pada era globalisasi, tetapi seiring dengan itu, kita harus menanamkan kecintaan, kebanggaan dan kesetiaan terhadap bahasa kebangsaan.  Kita memang menghendaki bangsa kita menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana bahasa itu merupakan bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa komunikasi di seluruh dunia. Namun, kemajuan yang ingin dikejar tidak harus menjadikan kita bangsa yang mengabaikan bahasa kebangsaan sendiri. Bahasa kebangsaan merupakan kebanggaan kita sebagai sebuah bangsa. Oleh itu, kita harus menjunjung tinggi bahasa kebangsaan sendiri kerana kalau bukan kita siapa lagi?

1 comment:

  1. Salam tuan.
    Benar. Apa yang berlaku sebenarnya berlingkar dalam isu MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU itu sendiri. Berkenaan isu Naib Canselor UM, kaedah yang digunakan bukanlah berdasarkan penilaian beliau terhadap fakta dan data yang telah disediakan, namun lebih kepada usaha untuk memperlekeh dan menghina pelajar Akademi Pengajian Melayu UM sendiri sebagai sasaran terhadap isu kemerosotan 'rangking' UM.
    Terima kasih.

    ReplyDelete