Sunday 6 March 2011

MEWUJUDKAN RASA KEBERSAMAAN


PERPADUAN bangsa yang menjadi teras gagasan  ‘Satu Malaysia’ mungkin Dianggap sangat kecil hubungannya dengan bahasa kebangsaan. Sumbangan dan peranan bahasa kebangsaan terhadap perpaduan bangsa mungkin tidak benar-benar diyakini kerana banyak faktor lain yang amat mempengaruhi perpaduan bangsa. Malah, ketegangan kaum mungkin tidak pernah berlaku akibat perbezaan bahasa. Sebaliknya, pertentangan, pergaduhan, atau perbalahan kaum dapat sahaja terjadi akibat perbezaan agama, budaya, kepercayaan, fahaman, dan ekonomi. Pertumpahan darah yang terjadi antara etnik Kirgis dengan Uzbek di Kyrgyzstan, dan begitu juga antara etnik Han dengan Uyghur di kawasan Xinjiang di barat laut China, dan antara etnik Mohajir dengan Pashtun di Karachi, Pakistan, misalnya, tidak dicetuskan oleh faktor bahasa. Oleh itu, bahasa tidak menjadi perhatian yang berat.
        Memang tidak dinafikan bahawa bahasa yang sama bukan jaminan mutlak untuk terbinanya perpaduan bangsa yang kukuh. Orang Melayu yang menggunakan bahasa yang sama sejak lahir, misalnya, kini berhadapan dengan masalah perpaduan yang dikatakan kian rapuh. Bahasa Melayu bukan punca perbalahan, sebaliknya perbezaan fahaman politik menjadi faktor utama yang memecahbelahkan orang Melayu. Maka, penekanan terhadap penggunaan ‘satu bahasa’ (yang merujuk kepada bahasa kebangsaan) dalam usaha merealisasikan gagasan ‘Satu Malaysia’ kurang diberi perhatian.
        Bagi negara yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, usaha membina negara bangsa sejajar dengan konsep Satu Malaysia harus memberikan penekanan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan, bukan sahaja untuk mewujudkan persefahaman antara kaum, tetapi juga jati diri bersama. Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa bersama membolehkan setiap anggota masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mengalami kesulitan. Penggunaan bahasa yang sama dapat meningkatkan  persefahaman dan menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain. Dalam kepelbagaian kaum yang terdapat di negara ini, kita harus menemukan kesamaan yang melangkaui batas raut wajah, pakaian, makanan, bahasa, agama, adat, tradisi, atau budaya. Kesamaan yang dapat membentuk jati diri kita sebagai bangsa Malaysia, tidak lain daripada bahasa kebangsaan yang menjadi ciri khas sebuah bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan sebagai jati diri bersama berupaya menimbulkan rasa kekitaan dan kebersamaan. Jadi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, selain mencirikan bangsa Malaysia, terbukti menjadi salah satu faktor yang dapat menyatukan kepelbagaian kaum yang berbeza agama, bahasa, dan budaya. Oleh itu, setiap anggota masyarakat harus menghayati konsep kebangsaan yang dibangunkan atas kepelbagaian kaum yang berbeza agama, bahasa, adat, dan budaya. Kita harus menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bentuk pernyataan kita sebagai bangsa Malaysia. Dengan menggunakan bahasa kebangsaan, rasa kekitaan dan kebersamaan akan terpupuk yang seterusnya dapat menyatukan pelbagai kaum yang mempunyai latar belakang budaya dan bahasa yan berbeza.
        Walaupun bukan jaminan mutlak untuk terbinanya perpaduan bangsa yang kukuh, namun kita tidak dapat menyangkal kenyataan bahawa bahasa yang sama, yakni bahasa kebangsaan dapat menyatupadukan seluruh anggota masyarakat melalui satu jati diri dan satu semangat kebangsaan. Apabila kita menggunakan bahasa kebangsaan, jelas bahawa kita bersepakat untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan. Semangat kebersamaan, semangat kekitaan yang sangat penting dalam kehidupan bermasyarakat, apatah lagi dalam kehidupan berbangsa dan bernegara dapat dikuatkan melalui bahasa kebangsaan. Sabah dan Sarawak merupakan contoh terbaik perpaduan dan semangat kekitaan dan kebersamaan rakyatnya yang amat mantap melalui penggunaan satu bahasa, iaitu bahasa kebangsaan. Dengan semangat kekitaan dan kebersamaan itu, setiap anggota masyarakat menyedari bahawa mereka mempunyai cita-cita yang sama dalam mempertahankan, memartabatkan, dan memajukan bangsa dan negara. Gagasan ‘Satu Malaysia’ berteraskan semangat kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
        Bagi sebuah negara yang didiami oleh pelbagai kaum, seperti negara kita, peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan perlu diberi perhatian yang lebih serius. Ungkapan "perpaduan dalam kepelbagaian" yang sering ditonjolkan, termasuk dalam penggunaan pelbagai bahasa, dapat sahaja menggagalkan usaha untuk mengukuhkan perpaduan melalui penggunaan  bahasa kebangsaan. Perpaduan tentu sukar dicapai jika wujud terlalu banyak kepelbagaian. Oleh sebab itu, perpaduan kaum yang mempunyai pelbagai bahasa di negara ini perlu diletakkan landasannya pada bahasa kebangsaan. Bangsa kita jelas memerlukan satu bahasa yang dapat digunakan secara menyeluruh oleh segenap lapisan masyarakat. Satu bahasa bermaksud bangsa kita seluruhnya mengakui bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan milik kita bersama. Setiap anggota masyarakat harus menjunjung tinggi bahasa kebangsaan dalam erti menghormati dan menggunakannya dalam setiap ranah kehidupan, serta  menempatkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya.
        Namun, sikap dan pandangan masyarakat pada masa ini jelas tidak mendukung penekanan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan. Mereka tidak lagi melihat kepentingan penggunaan  bahasa yang sama, iaitu bahasa kebangsaan untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban. Sikap masyarakat yang tidak mendukung penggunaan bahasa itu sendiri mengakibatkan bahasa kebangsaan kian kehilangan peranannya sebagai bahasa perpaduan bangsa.
        Seiring dengan perkembangan dan kemajuan  kehidupan, kita makin berhadapan dengan cabaran kewujudan kita sebagai sebuah bangsa. Kita berhadapan dengan sikap negatif masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Perkembangan dan kemajuan kehidupan yang semakin sarat dengan tuntutan telah menempatkan bahasa Inggeris di kedudukan yang amat penting dan sekali gus membawa perubahan sikap masyarakat terhadap bahasa itu. Bahasa kebangsaan tidak lagi dianggap sebagai lambang kewujudan bangsa dan negara yang memberikan kebanggaan. Bahasa kebangsaan tidak lagi dilihat sebagai martabat dan maruah bangsa. Pelbagai bentuk pernyataan sikap tidak menghormati, meremehkan, dan menghina bahasa kebangsaan memperlihatkan tidak adanya kesetiaan dan hilangnya kebanggaan masyarakat terhadap bahasa itu. Dengan makin menghilangnya kesetiaan dan kebanggaan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, gagasan ‘Satu Malaysia’ sudah tentulah makin sukar untuk direalisasikan. Perpaduan bangsa akan tergugah apabila masyarakat mula mengetepikan bahasa kebangsaan sendiri.
        Untuk pembangunan dan kemajuan bangsa da negara, kita tidak ada pilihan lain selain harus membangunkan kerukunan hidup bersama dan membina ikatan yang kuat dalam rasa kebersamaan. Kita harus Memperkukuh semangat kebangsaan, dan bahasa kebangsaan merupakan salah satu lambang kebangsaan yang dapat berperanan dalam mewujudkan rasa kebersamaan yang penting untuk perpaduan bangsa. Kita perlu memiliki tekad bersama yang kuat untuk merealisasikan gagasan ‘Satu Malaysia’. Pembangunan bangsa dan negara tidak akan dapat dilakukan jika perpaduan, kerukunan, dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat tidak dapat diwujudkan.  

No comments:

Post a Comment