Sunday 13 March 2011

MENGHADAPI PENGIKISAN BAHASA DAN BUDAYA

SEBILANGAN besar anak zaman kini, terutama yang dilahirkan dan dibesarkan di bandar, mungkin tidak tahu lagi makna kata ‘menampi’. Kehidupan di bandar tidak mungkin menyediakan persekitaran yang mendedahkan  mereka kepada perbuatan menampi itu. Bukan sahaja kata menampi, tetapi juga kata-kata yang berkaitan dengan kegiatan penanaman padi mungkin tidak ada lagi dalam ‘kamus’ kata mereka. Mereka tidak tahu lagi makna kata ‘membajak’, ‘menenggala’, ‘menuai’, ‘mengirik’, dan ‘mengangin’. Sebaliknya, anak-anak suku kaum Dusun Begak, Dusun Bonggi, Kagayan, dan Ubian di kampung yang masih bergelimang dengan lumpur sawah mungkin masih ‘mesra’ dengan kata ‘mengettop’, ‘nap’, ‘ngaampa boas’, dan ‘buas bir’, serta dapat menggambarkan perbuatan membersihkan padi dengan menggunakan nyiru yang digerak-gerakkan turun naik itu dengan jelas. Perubahan kehidupan masyarakat menyebabkan hal-hal yang berkaitan dengan tradisi semakin ditinggalkan. Pada masa ini, sebilangan besar anggota masyarakat tidak lagi terlibat dengan kegiatan penanaman padi. Dengan perubahan demikian, kebanyakan anak suku kaum Kadazandudusun tidak lagi mengenali istilah ‘puun’ (antah), ‘tapo’ (emping), ‘raami’ (sekam), dan ‘tosung’ (lesung), apatah lagi pantang larang melakukan penuaian padi sebelum upacara ‘monginginggiit’, iaitu upacara memetik tujuh jurai padi untuk dimakan sebagai minggit dan tujuh jurai padi untuk digantung di bawah terutip sebagai persembahan kepada bambarayon. Mereka juga sudah tentu tidak lagi mengetahui pantang larang memakan hasil pertama tuaian padi tanpa lauk. Anak-anak suku kaum Bisaya juga mungkin tidak mengenali peralatan untuk menanam padi, mengangkat barang keperluan harian, membuat sagu, dan menangkap ikan, seperti ‘kalambigas’ alat yang diletak pada leher kerbau untuk menarik rumbia atau goyodan, ‘lasok’ alat untuk mengangkut repau atau barang keperluan, dan ‘salihid’ alat untuk menangkap ikan. Begitu juga anak-anak suku kaum Suluk yang membesar di rumah batu mungkin tidak lagi mengenali ‘saum’ (kolong), ‘pagsassagnatan’ (lebihan gelegar tempat menyangkut barang), dan ‘pagha-pagha’ (para-para dapur untuk mengeringkan kayu api).
          Pemodenan yang menyentuh semua aspek kehidupan itu tampaknya kian mengikis budaya masyarakat sehingga tarian ‘hip hop’ dan tarian moden yang lain lebih dikenali daripada tarian sumazau, limbai, sumayau, magunatip, adai-adai, dan daling-daling. Di negeri ini dikatakan terdapat lebih daripada 80 tarian dengan setiap suku kaum memiliki beberapa jenis tarian tradisi. Walaupun tarian tradisi seperti brunsai, lansaran, bolak-bolak, sapu tangan, titika, mengiluk, pangalay, sumundai-mongigol , bubu, sayau bagarus, dan liliput masih dikenali, namun banyak tarian yang telah dilupai. Dalam masyarakat Begak, terdapat pelbagai jenis kesenian yang menjadi kekayaan budaya tradisi. Nyanyian ‘kigung’, ‘bandis’, dan ‘tamai’ serta tarian tradisi ‘piluk’ dan ‘gerusai’ dengan adat ‘kakap’nya merupakan sebahagian daripada kekayaan budaya tradisi masyarakat suku kaum Begak. Namun, kesenian tradisi ini semakin kehilangan penerusnya.
          Pengikisan budaya turut terlihat dari segi adat perkahwinan. Walaupun adat tina’uh, iaitu adat hantaran mas kahwin atau barangan perkahwinan yang terakhir oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan masih kekal hingga kini, namun adat ‘barian sampai mati’, adat perkahwinan yang sangat unik dan dalam suku kaum Murut kini tidak lagi diamalkan. Dalam perkahwinan tradisi masyarakat suku kaum, terserlah keunikan dari segi pakaian, hiasan, adat, pantang larang, mahupun upacaranya. Upacara-upacara adat yang makin ditinggalkan secara tidak langsung mempengaruhi kekerapan penggunaan bahasa sukuan. Upacara-upacara adat sebenarnya merupakan ruang yang amat berperanan dalam menyuburkan bahasa sukuan. Meninggalkan adat tertentu bermakna lenyapnya bahasa atau kata tertentu yang berkaitan dengannya. Kata ‘matod’, ‘binungkut’, ‘monunui’, ‘libunan’,’moninjau’, dan ‘mirapou’, misalnya, akan lenyap jika upacara tertentu tidak lagi diamalkan dalam perkahwinan suku Dusun Lotud. Dalam upacara ‘matod’, pengantin lelaki diarak ke rumah perempuan dengan didahului oleh wanita yang membawa ‘binungkut’ yang merangkumi berian yang telah dibincangkan semasa hari ‘monunui’ serta beberapa helai pakaian pengantin lelaki termasuk pakaian tradisinya. Selepas makan tengahari, pengantin lelaki akan dibawa keluar dari ‘libunan’ dan duduk di tempat khas untuk acara ‘moninjau’. Setelah selesai acara ‘moninjau’, pengantin lelaki dibawa masuk semula ke ‘libunan’ untuk bermalam bersama dengan pengapitnya dan beberapa ahli keluarganya.  Pada hari berikutnya pasangan pengantin akan kembali ke rumah keluarga lelaki dengan diiringi oleh seorang wanita berumur.  Adat yang disebut sebagai 'mirapou' itu bertujuan membantu pasangan yang baharu berkahwin menyesuaikan diri dengan perubahan hidup mereka dan merapatkan hubungan mesra dengan ahli keluarga masing-masing. Adat 'mirapou' diadakan selama seminggu dan hanya apabila pasangan sudah melalui adat ini selama seminggu baharulah mereka dikatakan sah sebagai suami isteri dan dibenarkan tidur bersama.
          Bahasa sukuan kini sudah jarang-jarang digunakan dalam interaksi masyarakat sehari-hari. Anak-anak suku kaum Begak, misalnya, lebih mengenal jagung, lidah, duri, tapak tangan, sayap, dan belimbing daripada dellai, dila’, duwi, palad, panid, dan begbod. Kecenderungan menggunakan bahasa asing juga menyebabkan anak muda suku kaum Murut lebih mengenali kata ‘straw’ daripada kata ‘usuk’, kata ‘sponge’ daripada kata ‘kius’, anak muda suku kaum Bajau Sama lebih mengenali kata ‘pink’ daripada kata ‘kalas’, dan anak muda suku kaum Rungus lebih mengenali kata ‘spark’ daripada kata ‘tinganak’. Begitu juga anak muda suku kaum Iranun mungkin lebih akrab dengan kata ‘flexible’ daripada kata ‘maluai’. Gaya hidup kini menyebabkan anggota masyarakat yang lebah kerap berbelanja di pasar raya daripada tamu mungkin lebih mengenali kata ‘trolley’ daripada kata ‘karitun’.
          Budaya tradisi menghadapi cabaran besar berhadapan dengan pelbagai perubahan yang sangat cepat. Dalam keadaan ini, adat istiadat, pantang larang, kesenian, dan bahasa tampaknya tidak mampu bertahan dalam menghadapi arus kemajuan dan pemodenan. Anak-anak kian terasing daripada budaya tradisi suku kaumnya, sementelah ibu bapa tidak lagi mengamalkan atau mengajarkan nilai-nilai budaya tradisi kepada anak-anak. Oleh itu, kita harus melakukan sesuatu supaya kekayaan seni dan budaya kita yang masih tinggal ini tidak turut terkubur. Bahasa dan budaya harus dijaga dan dilestarikan dengan baik sebagai suatu peninggalan yang sangat berharga. Sama ada kita dapat mempertahankan kewujudan bahasa dan budaya kita atau tidak, semuanya bergantung kepada kemahuan kita sendiri. Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita harus tetap menjaga dan melestarikan bahasa dan budaya sendiri. Pelestarian bahasa dan budaya merupakan tanggungjawab kita bersama.

MENUNJANG KEMAJUAN BAHASA

PERKEMBANGAN bahasa Melayu yang begitu pesat selama ini sangat dipengaruhi oleh kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang berlangsung di sekelilingnya. Hal ini menyangkut usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berwibawa dan mapan. Usaha-usaha terancang dijalankan untuk mengangkat bahasa yang pada awalnya hanya dianggap sebagai bahasa di kedai kopi atau bahasa di pasar, serta bahasa untuk perbualan harian supaya menjadi bahasa yang menampung ilmu pengetahuan dan pemikiran tinggi. Peristilahan merupakan satu daripada aspek penting dalam usaha itu. Sehingga kini, lebih setengah juta istilah dalam pelbagai bidang dan subbbidang ilmu telah digubal bagi memenuhi fungsinya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi.
          Dalam perkembangan bahasa Melayu, selain pertambahan jumlah istilahnya yang begitu ketara, kita turut dapat melihat perubahan bentuk istilah yang dihasilkan. Kita mungkin sudah melupai atau tidak mengenali lagi istilah seperti angkatap, angkali, asbut, peletek, maging, maun, maserba, udarakasa, musnabis, anjalih, samukur, angkubah, dan tanacul. Istilah itu dibentuk melalui penggabungan kata dan asimilasi fonem atau suku kata. Istilah angkatap daripada angka + tetap untuk ‘constant’, angkali daripada angka + kali untuk ‘coefficient’, peletek daripada peler + itek untuk ‘screw’, maging daripada makan + daging untuk ‘carnivor’, maun daripada makan + daun untuk ‘herbivor’, maserba daripada makan + serba-serbi untuk ‘omnivor’, udarakasa daripada udara + angkasa untuk ‘atmosphere’, anjalih daripada anjal + alih untuk ‘aberration’, samukur daripada sama + ukur untuk ‘symmetry’, angkubah daripada angka + berubah untuk ‘variable’, tanacul daripada tanah + acul untuk ‘aquifer’.
          Istilah itu dibentuk untuk melambangi konsep baharu yang masuk ke dalam bahasa Melayu. Namun, dalam perkembangannya, hampir keseluruhan istilah itu telah mengalami perubahan. Istilah angkatap telah berubah menjadi pemalar, angkali telah berubah koefisien, peletek telah berubah menjadi skru, maging telah berubah menjadi karnivor, maun telah berubah menjadi herbivor, maserba telah berubah menjadi omnivor, udarakasa telah berubah menjadi atmosfera, anjalih telah berubah menjadi aberasi, samukur telah berubah menjadi simetri, angkubah telah berubah menjadi pemboleh ubah atau variabel, tanacul telah berubah menjadi akuifer.
          Pembentukan istilah sebagai padanan konsep tertentu ini dapat dilakukan melalui pelbagai proses, dan antara yang produktif ialah penggabungan kata. Melalui proses yang dikenal juga sebagai pemajmukan ini, kata-kata yang sedia ada digabungkan ke dalam bentuk baharu menurut kaedah tertentu. Istilah-istilah yang berkaitan dengan komputer seperti ‘central processing unit’, ‘hard disc’, ‘compact dics drive’, ‘random access memory’, ‘read only memory’, ‘backbone’, ‘network’, ‘keyboard’, dan sebagainya terbina daripada penggabungan kata yang sedia ada ke dalam bentuk baharu. Dalam bidang teknik, istilah berbentuk gabungan kata ini sering ditemukan sebagai padanan konsep tertentu. Walaupun istilah berbentuk kata tunggal seperti ‘mouse’, ‘menu’, ‘window’, ‘memory’, dan ‘screen’ turut dihasilkan, tetapi bilangannya agak jauh berkurang berbanding dengan bilangan istilah berbentuk gabungan kata.
          Dalam bahasa Melayu, kewujudan gabungan kata seperti umpan tekak, sulur paut, cucur atap, batu hampar, payung terjun, durian tembaga, dan ular senduk membuktikan bahawa pembentukan kata-kata melalui proses penggabungan kata ini bukan perkara baharu. Mungkin tidak ramai lagi yang mengetahui makna istilah seperti tetuang udara, kereta lereng, sekolah gambar, taman haiwan, dan peti wayang gambar yang dahulunya dibentuk sebagai padanan ‘radio’, ‘bicycle’, ‘muzium’, ‘zoo’, dan ‘television’. Kehadiran istilah tersebut untuk mendukung konsep baharu yang masuk ke dalam bahasa Melayu menunjukkan bahawa pembentukan gabungan kata, terutama dalam pembentukan istilah, telah berlangsung lama.
          Istilah gabungan kata dianggap sebagai suatu bentuk padanan yang dapat menggambarkan struktur ciri konsep atau sifat konsep yang diwakilinya, atau mencerminkan makna yang terungkap oleh gabungan konsep yang mendasarinya. Keterbinaannya daripada ciri-ciri penting konsep yang hendak dipadankan menyebabkan istilah ini dianggap begitu dekat, bahkan ‘melekat’ pada konsep-konsep yang diwakilinya. Istilah batu kapur (limestone), batu lempung (claystone) batu lodak (siltstone), batu lumpur (mudstone), dan batu pasir (sandstone), pencakar langit (skyscraper), peluru berpandu (guided missile), bulan madu (honeymoon), misalnya, dapat dilihat sebagai berkaitan dengan hakikat bahawa penentunya menunjukkan kandungan batu tersebut. Istilah gerudi udara (air-drilling) pula dapat menggambarkan sifat penting penggerusian yang menggunakan udara, yang dengan itu, dapat pula dibezakan daripada gerudi busa (foam-drilling), iaitu penggerudian yang menggunakan busa.
          Penggabungan kata atau pemajmukan ini bertujuan menentukan konsep dengan lebih jelas atau memberikan keringkasan dan ketepatan yang diingini. Dengan menggunakan penerang atau penjelas yang nyata bagi sifat atau ciri utama konsep, pemajmukan membentuk suatu dimensi struktur konsep yang bening kerana di samping menyempitkan makna teras suatu konsep, pemajmukan turut menunjukkan perhubungan yang wujud antara konsep baharu dengan asal-usulnya. Namun, tidak selalu pula struktur ciri konsep atau sifat konsep itu dapat diramalkan hanya dengan melihat istilahnya. Keadaan ini terjadi kerana terdapat sebilangan istilah yang tidak menggambarkan struktur ciri konsep yang diwakilinya. Istilah parit serap (absorption trench), misalnya, tidak menggambarkan ciri-ciri penting konsep yang ditakrifkan sebagai ‘parit untuk pelupusan air hujan, air basuhan, atau air kumbahan terolah’. Istilah hilang edaran (lost circulation) juga tidak mencerminkan makna yang terungkap oleh konsep yang mendasarinya yang ditakrifkan sebagai ‘kemasukan lumpur gerudi ke dalam formasi yang sangat telap, mempunyai rekahan, atau bergegua’. Istilah berkenaan tidak terbina daripada ciri-ciri penting konsep yang ditunjukkan dalam takrif masing-masing.
          Dalam bahasa Melayu, kemunculan sebilangan besar istilah berbentuk gabungan kata ini dikenal sebagai hasil penterjemahan istilah asing. Istilah seperti suntikan udara, boya sauh, injap tekanan balik, seromobong sembur turun, minyak bahan api adunan, dan pecah bermangkin lepasan bergerak diterjemahkan daripada istilah-istilah asing ‘air injection’, ‘anchor buoy’, ‘back pressure valve’, ‘blowdown stack’, ‘blended fuel oil’, dan ‘moving-bed catalytic cracking’. Penterjemahan secara harfiah ini biasanya tidak membawa makna yang dimaksudkan atau kerap kali mewujudkan ‘pertentangan’ antara istilah dengan konsepnya. Hal ini terjadi disebabkan pemadanan istilah kepada suatu konsep dilakukan tanpa memperhatikan ciri-ciri penting konsep. Dengan kata lain, pembentukan istilah berkenaan tidak didasarkan kepada konsep yang diperihalkan menerusi takrif masing-masing.
          Dalam komunikasi teknik, istilah sedemikian dianggap kurang bernilai kerana dapat menimbulkan kekeliruan sehingga memungkinkan berlakunya salah komunikasi. Fenomena ini mungkin biasa dalam bahasa am yang menggunakan polisem dan metafora. Dalam bahasa am, bentuk seperti kepala batu, tangkai jering, putih mata, makan hati, dan kaki bangku digunakan untuk mewujudkan kehalusan budi di samping dapat menyampaikan suatu maksud itu secara halus dan penuh sopan. Namun, dalam bahasa khusus, bentuk kiasan jarang-jarang dimanfaatkan untuk menghindari kesamaran dan ketaksaan dalam pengungkapan. Pemadanan dalam bahasa khusus adalah untuk mendapatkan ketekalan dan kejelasan.
          Jika peristilahan dijadikan petunjuk kemajuan dan perkembangan bahasa Melayu, dapat dikatakan bahawa bahasa telah mencapai kemajuan yang pesat. Namun, jika kemajuan itu dibandingkan dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, jelas bahawa kemajuan yang dicapai oleh bahasa Melayu belum memadai. Pembentukan istilah dalam bahasa Melayu masih merupakan pembentukan istilah yang bersifat sekunder, iaitu pembentukan istilah bagi konsep ilmu yang dimunculkan terlebih dahulu dalam bahasa asing. Hal ini menyiratkan bahawa perkembangan bahasa Melayu itu sentiasa berada di belakang kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi. Oleh itu, dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berwibawa, pembentukan istilah yang berlaku bukan sahaja menunjang kemajuan bahasa Melayu itu sendiri, tetapi juga mengungkapkan konsep ilmu yang primer sifatnya.

MENANGANI KEPUPUSAN BAHASA

DALAM majalah ‘goingplaces’ pernah diterbitkan sebuah rencana ringkas berjudul ‘Menyelamatkan Bahasa Oko’ yang teks asalnya ditulis oleh Simon Niholas dan diterjemahkan oleh Marlysa Razak. Rencana itu memaparkan usaha yang dijalankan oleh Joseph Atoyebi, pelajar PhD di Max Planck Institute for Evolutionary Anthropology di Leipzig untuk menyelamatkan bahasa Oko daripada pupus. Joseph Atoyebi kini giat mendokumentasikan bahasa berkenaan. Bahasa Oko dituturkan oleh suku kaum Okuro yang tinggal di Ogori, bandar kecil di Kogi, Nigeria. Pada masa ini dikatakan terdapat kira-kira 20,000 orang penutur bahasa berkenaan. Bahasa Oko merupakan salah satu bahasa yang hampir dilupai masyarakat di daerah itu yang kebanyakannya bertutur dalam bahasa Inggeris, iaitu bahasa rasmi yang digunakan dalam bidang pendidikan, urusan perniagaan dan rasmi atau bahasa Yoruba, iaitu salah satu dialek utama yang dituturkan di Nigeria selain Hausa, Igbo, Edo, Efik, dan Ibibio. Bahasa Oko hanya menjadi bahasa pertuturan di rumah atau digunakan dalam upacara keagamaan. Pada masa dahulu, Nigeria dikatakan mempunyai lebih daripada 500 buah bahasa, tetapi kebanyakannya telah pupus. Antara bahasa yang telah pupus di Nigeria termasuklah bahasa Ajawa, Auyokawa, Basa-Gumna, Gamo-Ningi, Kpati, Kubi, Mawa, dan Teshenawa.
          Kepupusan bahasa bukan perkara baharu. Banyak bahasa lain di dunia yang turut pupus kerana tidak memiliki penutur asli atau tidak digunakan lagi. Bahasa Latin yang berasal dari Latium, sebuah daerah di Itali, bahasa Sumeria yang pernah dituturkan di daerah yang kini dikenali sebagai Iraq, dan bahasa Galia yang pernah dituturkan di daerah yang kini dikenali sebagai Perancis telah pupus kerana tidak lagi memiliki penutur aslinya. Bahasa Koptik, bahasa Aram, bahasa Slavonia Klasik, bahasa Sanskrit, dan bahasa Palijuga turut pupus kerana tidak memiliki penutur asli walaupun masih digunakan sebagai bahasa dalam upacara keagamaan. Di Indonesia, bahasa Kawi, iaitu bahasa dari kepulauan Jawa, Bali, dan Lombok telah pupus sebagai bahasa pertuturan. Bahasa yang turut pupus termasuklah bahasa Kwadi di Angola, bahasa Duli, Gey, Nagumi, dan Yeni di Cameroon, bahasa Horo dan Muskum di Chad, bahasa Ngbee di Congo, bahasa Gafat, Geez, dan Weyto di Ethiopia, bahasa Baga Kaloum dan Baga Sobane di Guinea, bahasa Elmolo, Kore dan Omotik di Kenya, bahasa Baygo, Berti, Birked, Gule, Homa, Mittu, Togoyo, dan Torona di Sudan, bahasa Punik, Sened, dan Vandalik di Tunisia, bahasa Khitan, Saka, Tocharian, Jurchen, Zhang-Zhung, Tangut, China Tua, China Pertengahan, Proto-Mandarin, dan bahasa Han’er di China, bahasa Goguryeo, Korea Lama, Korea Pertengah, Korea Moden, dan bahasa Silla di Korea, bahasa Ahom, bahasa Andamanese, dan Arwi di India, bahasa Arwi, Veddah, dan Kaffir di Sri Lanka, dan bahasa Phi di Thailand.
          Menurut kajian para sarjana bahasa, sebahagian besar bahasa yang terdapat di dunia pada masa ini akan mengalami kepupusan. Kira-kira 52% daripada bahasa yang ada pada masa ini memiliki bilangan penutur kurang daripada 10,000 orang, kira-kira 28% daripadanya memiliki bilangan penutur kurang daripada 1,000 orang, dan 10% daripadanya memiliki bilangan penutur kurang daripada 100 orang. Berdasarkan bilangan penutur itu, para sarjana bahasa meramalkan bahawa sebahagian kecil bahasa sahaja yang dapat bertahan daripada mengalami kepupusan. Berdasarkan bilangan penuturnya, bahasa-bahasa sukuan di Sabah turut termasuk dalam bahasa lain di dunia yang terancam pupus menjelang akhir abad ini. Misalnya, bahasa Bajau mempunyai kira-kira 200,000 orang bilangan penutur, bahasa Kadazan-Dusun mempunyai kira-kira 300,000 penutur, dan bahasa Murut mempunyai kira-kira 50,000 orang penutur sahaja. Walaupun daripada kajian yang pernah dilakukan oleh sarjana bahasa menunjukkan bahawa ketahanan suatu bahasa tidak bergantung pada populasi etniknya, tetapi dengan bilangan penuturnya ratusan ribu orang, bahasa Bajau dan Kadazan-Dusun berada dalam keadaan yang ‘kurang terancam’ atau akan  mengambil masa yang agak lama untuk mengalami kepupusan berbanding dengan bahasa sukuan lain seperti bahasa Gana, Kimaragang, Kwijau, Iranun, Lotud, Lundayeh, Murut, Rungus, Serudung, Sungai, Tagal, dan  Tombonuo. Selain bilangan penutur, bahasa Kadazan-Dusun, misalnya, turut berkembang dalam tradisi lisan dan tulisannya. Sementelah, bahasa itu kini turut diajarkan di sekolah rendah dan menengah. Namun, kita pasti berasa bimbang dengan kelangsungan hidup bahasa-bahasa sukuan lain yang bukan sahaja tidak mempunyai tradisi tulisannya, tetapi juga bilangan penuturnya juga kian berkurangan. Bahasa-bahasa sukuan berkenaan mungkin mengambil masa beberapa generasi sahaja untuk lenyap dari bumi di bawah bayu ini. Keadaan ini bukan sesuatu yang sukar diramalkan mengingat bahawa bahasa-bahasa itu makin kurang dikuasai oleh generasi muda daripada suku kaum berkenaan, selain sikap masyarakat sendiri yang turut menyumbang ke arah mempercepat kepupusan bahasa-bahasa berkenaan.  
          Untuk memastikan kelangsungan hidup bahasa ini, kita sebenarnya tidak mempunyai pilihan lain selain memastikan keberterusan penggunaannya. Kita harus memastikan bahasa itu terus menjadi bahasa komunikasi dalam lingkungan keluarga di rumah dan juga dalam lingkungan masyarakat. Dengan kata lain, kita harus terus ‘menghidupkan’ masyarakat penuturnya supaya tidak ‘mematikan’ bahasa sukuan berkenaan. Jadi, yang perlu dikembangkan kini ialah masyarakat penuturnya. Generasi muda sebagai generasi penerus warisan budaya bangsa ini harus bersedia mengambil peranan dan tanggungjawab yang berat untuk memastikan kelangsungan hidup bahasa sukuan dengan dukungan pelbagai pihak. Selama ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk melestarikan bahasa sukuan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), misalnya, telah mengambil langkah untuk mendokumentasikan bahasa sukuan ini dalam bentuk daftar kata, glosari, dan kamus. Namun, pendokumentasian yang dijalankan oleh DBP ini semata-mata tidak dapat menjamin kelangsungan hidup bahasa sukuan berkenaan kerana bahasa hanya akan hidup dan berkembang apabila ada penuturnya.  
          Untuk menyuburkan kehidupan bahasa sukuan ini, kita mungkin dapat memikirkan suatu bentuk galakan kepada para pelajar yang menguasai bahasa sukuan. Skim galakan berupa ‘biasiswa khas’ kepada para pelajar yang dapat bertutur dan menguasai bahasa sukuan ini, misalnya, mungkin dapat diwujudkan untuk mendorong pengembangan bahasa sukuan dalam kalangan generasi muda. Kita pasti dapat membayangkan betapa ibu bapa akan berusaha memastikan anak-anaknya menguasai bahasa sukuan ini supaya dapat menerima ‘biasiswa khas’ apabila memasuki alam persekolahan kelak.
          Kelangsungan hidup bahasa sukuan ini memerlukan kecintaan yang mendalam daripada masyarakat pemiliknya. Bahasa sukuan akan tetap wujud apabila masyarakat pemilik mencintai dan menuturkannya dalam pelbagai kesempatan berbahasa. Hidup matinya bahasa-bahasa sukuan ini menjadi tanggungjawab setiap orang yang mengaku dirinya sebagai orang Bajau, Dusun, Iranun, Kadazan, Murut, Rungus, Sungai, dan lain-lain. Jika kita masih menginginkan bahasa sukuan terus hidup subur, setiap anggota masyarakat harus memikul tanggungjawab bersama dalam melestarikan bahasa sukuan ini.

Saturday 12 March 2011

MENGAGUMI BAHASA SENDIRI

SEBILANGAN anggota masyarakat mungkin cukup berbangga apabila dapat bergaya dengan kasut, beg tangan, dan pakaian berjenama mahal buatan luar negara. ‘Kegilaan’ sebilangan anggota masyarakat terhadap barangan luar  negara ini telah menuntut diadakan Kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia, iaitu kempen menggalakkan rakyat menggunakan barangan tempatan. Sedar atau tidak, kita sebenarnya masih diselubungi sikap yang ‘mendewa-dewakan’ Barat. Kita masih terlalu bangga jika dapat berperilaku seperti orang barat, berpakaian seperti orang barat, makan seperti orang Barat, dan bertutur seperti orang Barat. Kita juga masih terlalu bangga jika menggunakan barangan keluaran mereka. Walaupun negara kita sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan sendiri, namun sebilangan anggota masyarakat masih mengagung-agungkan barangan luar. Mereka memandang rendah barangan keluaran tempatan. Mereka menganggap barangan keluaran tempatan tidak setanding dengan barangan keluaran luar negara dari segi mutunya. Mereka masih tetap mendewa-dewakan barangan dari luar sedangkan barangan tersebut ada di negara kita dan tidak kalah dari segi mutunya berbanding dengan barangan buatan luar negara.
          Sikap mengagumi barangan luar ini turut diperlihatkan dalam hal bahasa. Salah satu gejala kebahasaan yang menonjol dalam masyarakat kita ialah sikap mengutamakan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Mereka berasa begitu bangga berbahasa Inggeris daripada berbahasa kebangsaan sendiri. Dengan berbahasa Inggeris, mereka berasa diri berbudaya maju, moden, dan hebat kerana bahasa itu menjadi lambang kemajuan, kemodenan, dan kehebatan. Lebih daripada itu, timbul anggapan bahawa kemampuan berbahasa Inggeris merupakan ukuran terpelajar atau tidaknya seseorang. Sebilangan anggota masyarakat yang memiliki status sosial tertentu cenderung mengabaikan bahasanya. Kenyataan adanya kesan sosial yang lebih baik bagi orang yang mampu berbahasa Inggeris berbanding dengan orang yang hanya mampu berbahasa kebangsaan ini semakin menurunkan darjat bahasa kebangsaan dan memberikan kesan negatif terhadap perkembangannya.
          Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris merupakan bahasa asing yang diperlukan untuk pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Namun, keperluan terhadap bahasa itu ternyata telah membawa implikasi yang besar, bukan sahaja terhadap peranan dan fungsi bahasa Melayu, tetapi juga pandangan dan sikap masyarakat terhadap bahasa itu sendiri. Dalam kalangan masyarakat terdapat pelbagai sikap terhadap bahasa kebangsaan. Sebilangannya tidak lagi melihat bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang perlu dipelajari dan dikuasai untuk kemajuan bangsa dan negara, sebaliknya menunjukkan keghairahan yang luar biasa untuk mempelajari bahasa Inggeris, bahasa yang dianggap dapat membawa bangsa seiring dengan bangsa maju lain di dunia. Kemajuan bangsa hanya akan dicapai melalui penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam kehidupan sehari-hari. Mereka berkeyakinan bahawa dengan menguasai bahasa Inggeris, kita akan dapat menjadi bangsa yang unggul. Sikap dan pandangan yang mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing itu tentu sahaja memberikan kesan negatif kepada perkembangan bahasa kebangsaan.
          Kita mengakui bahawa sebagai sarana pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi moden, bahasa Melayu masih memiliki kelemahan atau kekurangan tertentu. Hal ini dianggap wajar mengingat usianya yang masih muda berbanding dengan bahasa-bahasa maju lain di dunia. Namun, kelemahan atau kekurangan itu tampaknya telah mendorong timbulnya sikap yang negatif terhadap bahasa Melayu. Bahasa Melayu dianggap bahasa yang miskin dan serba kekurangan. Bahasa Melayu dianggap tidak mampu mendukung ilmu pengetahuan dan teknologi moden, dan tidak dapat memajukan bangsa dan negara. Anggapan itu telah menyebabkan makin menipisnya kebanggaan dan kesetiaan masyarakat terhadap bahasa Melayu, dan sebaliknya lebih cenderung menghargai bahasa asing, justeru penggunaan bahasa Melayu kian memudar. Komunikasi sehari-hari makin banyak menggunakan bahasa Inggeris. Hal ini sudah tentulah menimbulkan kebimbangan kerana bangsa yang menggunakan bahasa orang lain sebagai alat komunikasi dikatakan tidak mempunyai jati diri sebagai bangsa. Dalam kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu harus tetap mampu menunjukkan jati diri bangsa.   
          Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu merupakan milik semua warga negara Malaysia. Hal ini bererti bahawa baik atau buruknya bahasa itu, maju atau mundurnya bahasa itu, hidup atau matinya bahasa itu, dan mampu atau tidaknya bahasa itu menjadi sarana kemajuan bangsa dan negara terletak di bahu seluruh anggota masyarakat. Mungkin orang beranggapan bahawa usaha membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan menjadi tanggungjawab ahli bahasa semata-mata, dan masalah bahasa kebangsaan merupakan masalah orang atau kelompok tertentu sahaja.. Anggapan demikian tidaklah tepat kerana masyarakat sebagai pengguna sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memajukan dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Dalam hubungan ini, seluruh anggota masyarakat dituntut memiliki sikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Seluruh anggota masyarakat dituntut membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan supaya bukan sahaja mampu menjadi sarana komunikasi dan pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi moden, tetapi juga menempatkannya di kedudukan yang sewajarnya.
          Selama ini, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membina sikap bahasa yang positif supaya dengannya anggota masyarakat berasa ikut bertanggungjawab untuk memelihara, mengembangkan, dan memajukan bahasa kebangsaan. Program Bulan Bahasa Kebangsaan yang diadakan pada setiap tahun, misalnya, merupakan usaha berterusan untuk menumbuhkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab mereka dalam pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Keberadaan bahasa kebangsaan sebagai lambang bangsa dan negara yang harus dipertahan. Siapa lagi yang akan peduli terhadap bahasa kebangsaan kalau bukan kita sebagai pemiliknya?

APALAH MAKNA BAHASA KEBANGSAAN JIKA TIDAK BERMARTABAT

‘RTM akan terus martabatkan bahasa Melayu’. Demikian salah satu tajuk berita dalam akhbar Utusan Borneo pada 2 Jun 2010 yang lalu. Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya menyatakan bahawa Stesen Penyiaran Negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengutamakan bahasa Melayu dalam program dan rancangannya. Penegasan dan jaminan itu membuat saya berasa cukup gembira. Perasaan yang sama pasti turut dikongsi oleh pejuang dan pencinta bahasa kebangsaan. Sebagai stesen penyiaran negara, RTM memang sewajarnya mempunyai tanggungjawab dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Dalam memenuhi peranan masing-masing sebagai sarana penyampaian maklumat dan hiburan, pelbagai stesen penyiaran yang ada pada masa ini, khususnya stesen penyiaran swasta lebih cenderung menyemarakkan penggunaan bahasa asing walaupun kedudukan bahasa Melayu jelas sebagai bahasa rasmi negara. Stesen penyiaran berkenaan mungkin berpandangan bahawa penggunaan bahasa asing dapat menarik perhatian penonton dan meningkatkan kadar kepopularan rancangan.
          Dalam sesi akhir pembentangan resolusi Kolokium Kebangsaan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pendidikan yang berlangsung pada 11 – 12 Mei 2010 yang lalu di Universiti Malaysia Sabah (UMS), saya turut berkesempatan menyuarakan pandangan tentang pelecehan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang dilakukan oleh stesen penyiaran, terutamanya stesen penyiaran swasta. Stesen penyiaran berkenaan bukan sahaja menonjolkan penggunaan bahasa asing dalam rancangannya  secara berlebihan, tetapi juga semakin meminggirkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. Dalam rancangan berbentuk hiburan, misalnya, meskipun menggunakan bahasa Melayu, pengacara, pengantara, atau penyiarnya telah menampilkan penggunaan bahasa yang sangat merawankan hati.
          Media massa, terutama media massa elektronik sebenarnya sangat berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu. Radio dan televisyen dapat mempengaruhi penggunaan bahasa masyarakat kerana jangkauannya yang cukup luas dan meliputi segenap lapisan masyarakat. Pengacara, pengantara, penyiar, juruhebah, atau penyampai yang menggunakan Melayu yang baik dan betul, misalnya, dapat menjadi contoh atau ikutan dan seterusnya mempengaruhi bahasa penonton atau pendengar. Namun, dalam memartabatkan bahasa Melayu, stesen penyiaran berkenaan didapati belum berperanan seperti yang diharapkan. Dalam hal ini, Zainuri Misfar dalam ruangannya, Fragmen (Berita Harian, 24 Mac 2010) menulis bahawa juruhebah atau penyampai stesen radio swasta tidak mempunyai disiplin dalam berbahasa sehingga penggunaan bahasa Melayu yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris sudah menjadi sajian biasa kepada pendengar. Stesen radio itu tidak memainkan peranan mendidik para pendengar supaya menggunakan bahasa Melayu dengan teratur, betul, dan berdisiplin. Kenyataan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim tidak lama dahulu bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi, dan Kebudayaan memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan bahawa sumbangannya terhadap penyebaran dan penyuburan bentuk bahasa yang tidak bermartabat seperti itu tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, permintaan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi supaya orang ramai membuat aduan tentang penggunaan bahasa pasar atau bahasa basahan yang begitu meluas kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak lama dahulu juga memperlihatkan keinginan pihak yang berkaitan untuk memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam penyampaian maklumat kepada pendengar.  Radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul kepada masyarakat.
         Sebagai sarana yang amat berpengaruh dalam pembinaan dan pengembangan bahasa, kita memang sentiasa mengharapkan agar media massa mengikuti aturan dan kaedah berbahasa yang baik dan betul bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa dalam kalangan anggota masyarakat. Media massa harus memerhatikan penggunaan bahasanya kerana media massa secara tidak langsung menjadi ‘guru’ kepada anggota masyarakat dalam penggunaan bahasa. Bahasa yang digunakan oleh media massa sering dijadikan rujukan dan ikutan oleh anggota masyarakat. Oleh sebab itu, penyimpangan yang dapat mengganggu kelancaran dan keberkesanan komunikasi harus dihindarkan.  
          Sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, penggunaan bahasa Melayu memang harus menjadi keutamaan. Memartabatkan bahasa Melayu bermaksud menempatkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya. Usaha memartabatkan bahasa Melayu sebenarnya telah dijalankan sekian lama. Selama lebih setengah abad, bahasa Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa ilmu. Melalui pelbagai akta, bahasa Melayu telah diletakkan di tahap yang tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi.  Namun, dengan pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang tertentu akibat perkembangan dan kemajuan kehidupan pada masa ini telah menjejaskan martabat bahasa Melayu. Dalam bidang pendidikan, terutama sebagai sarana pemerolehan dan pengembangan ilmu pengetahuan moden, bahasa Melayu tidak lagi memiliki kedudukan yang tinggi pada mata masyarakat. Oleh itu, keyakinan tentang wibawa bahasa Melayu perlu terus dibina dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.  Menurut Prof. Dr. Awang Sariyan, peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Antara langkah yang perlu diambil termasuklah penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara bersepadu seperti pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan.
         Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan benar-benar dimartabatkan memang belum menjadi kenyataan. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai sebagaimana sewajarnya. Sebaliknya, sebahagian besar anggota masyarakat menganggap bahawa bahasa Inggeris lebih tinggi martabat atau darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Dalam pelbagai acara rasmi, para pemimpin, misalnya, didapati masih cenderung berucap dalam bahasa Inggeris walaupun khalayaknya terdiri daripada bangsa atau kaum sendiri. Kehadiran seorang berdua bangsa asing sering dijadikan alasan untuk mewajarkan penggunaan bahasa Inggeris. Di sektor swasta pula, penggunaan bahasa Inggeris seolah-olah menjadi sesuatu yang mutlak diperlukan atas alasan perhubungan luar negara dan perdagangan antarabangsa. Kecenderungan menggunakan bahasa Inggeris dalam acara atau pertemuan rasmi, dalam media massa, atau dalam pelbagai kegiatan bahasa memperlihatkan bahawa anggota masyarakat belum benar-benar menempatkan bahasa kebangsaan di kedudukan yang sewajarnya. Memartabatkan bahasa Melayu harus dijadikan kenyataan melalui penggunaannya dalam kehidupan seharian. Jika tidak, apalah maknanya menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara sekiranyaz dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kita masih tetap mendahulukan bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu!

MEMBENDUNG GEJALA BAHASA

BAHASA rojak merupakan gejala kebahasaan yang dapat diperhatikan dengan mudah dalam kegiatan bahasa masyarakat di negara ini. Gejala ini muncul dalam tindak tutur masyarakat baik secara sedar mahupun tidak. Meluasnya penggunaan bahasa rojak ini telah memberikan gambaran seolah-olah bahasa rojak telah menjadi bahasa utama negara kita! Kenyataan Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang memandang serius terhadap penggunaan bahasa rojak dalam kalangan pengamal media radio dan televisyen tempatan membuktikan perhatian serius yang berterusan daripada kerajaan terhadap gejala ini.
        Dalam perkembangan bahasa rojak, sumbangan media elektronik kepada penyebaran dan penyuburannya tidak dapat diperkecil. Pelbagai bentuk penggunaan bahasa yang disajikan dalam media itu mudah diikut atau ditiru, terutama oleh generasi muda. Oleh sebab itu, hasrat Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk mengadakan pertemuan dengan juruhebah dan penyiar radio dan televisyen bagi memastikan penggunaan bahasa kebangsaan tidak dipinggirkan dalam penyampaian maklumat kepada pendengar setidak-tidaknya memperlihatkan keinginan pihak kementerian untuk membendung penggunaan bahasa rojak yang begitu meluas. Hal ini merupakan sesuatu yang wajar kerana radio dan televisyen sebagai media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Penguasaan bahasa dan mutu bahasa juruhebah atau penyiar tentu sahaja sangat dituntut kerana penguasaan bahasa juruhebah atau penyiar akan memberinya kemudahan untuk menyampaikan pengetahuan kepada pendengar. Selain tidak akan menggunakan bahasa rojak, juruhebah atau penyiar yang menguasai bahasa dengan baik sudah pastilah tidak akan melaporkan berita terjadinya peristiwa ‘kejar-mengejar’ antara pihak polis dengan penjahat. Tentulah aneh sekiranya benar-benar terjadi bahawa selepas penjahat melarikan diri dikejar pihak polis, pihak polis pula kemudian melarikan diri dikejar penjahat! Oleh itu, penguasaan bahasa ini turut mencakup ketelitian atau ketepatan dalam berbahasa.
        Walaupun pihak kementerian sentiasa memantau penggunaan bahasa rojak dalam kalangan penyiar dari semasa ke semasa dan memberikan teguran kepada stesen-stesen radio yang didapati gemar menggunakan bahasa rojak, namun masalah penggunaan bahasa dalam media elektronik, baik radio mahupun televisyen, sebenarnya tidak mudah diselesaikan. Hal ini demikian kerana penggunaan bahasa dalam media elektronik melibatkan pelbagai wacana. Bahasa hanyalah salah satu unsur yang mendirikan wacana tersebut. Oleh sebab itu, atas nama komersial dan realiti kehidupan, misalnya, sebilangan besar wacana tersebut menampilkan penggunaan bahasa yang rancu, bahasa basahan, bahasa pasar, atau bahasa rojak. Setiap rancangan yang mempunyai daya tarikan, khususnya rancangan berbentuk hiburan, didapati sering mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Drama-drama yang disajikan melalui televisyen, misalnya, tidak lepas daripada penggunaan bahasa rojak ini. Bahasa digunakan dalam bentuk yang begitu merawankan hati dan perasaan para pencinta dan pembina bahasa. Penampilan dialog yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk ini seolah-olah telah menjadi suatu kemestian untuk menunjukkan status watak yang dilakonkan meskipun disedari bahawa pelbagai persoalan tetap dapat diungkapkan dengan berkesan tanpa dialog. Begitu juga dalam siaran berbentuk hiburan yang lain. Kita dapat melihat bahawa bahasa basahan dan bahasa rojak ini telah menjadi bahasa pengantarnya!
        Masalah bahasa rojak ini sebenarnya merupakan masalah kita bersama. Penggunaan bahasa bahasa rojak dalam pelbagai rancangan yang disiarkan melalui media elektronik tidak harus dituding kepada penerbit, pengarah, pelakon, penulis skrip, pengacara, juruhebah, atau penyiar semata-mata kerana penggunaan bahasa dalam rancangan-rancangan itu sebenarnya amat dipengaruhi oleh penggunaan bahasa masyarakat seluruhnya. Oleh sebab itu, untuk membendung penggunaan bahasa rojak yang meluas ini, kita tidak ada pilihan lain selain meningkatkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya bahasa kebangsaan yang baik dan betul digunakan dalam kegiatan berbahasa mereka. Kesedaran berbahasa ini memang merupakan sesuatu yang amat penting dimiliki oleh setiap anggota masyarakat.
        Gejala bahasa rojak sering dikaitkan dengan kekurangan bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa kita dikatakan tidak mampu menterjemahkan semua kata bahasa asing sehingga kita terpaksa meminjam kata bahasa asing tersebut. Kita mungkin biasa dan terbiasa dengan ujaran seperti “Tempat ni best sangat!”. Namun, haruskah kita menggunakan kata ‘best’ dalam ujaran itu? Rasanya, jika kata ‘best’ itu diganti dengan kata ‘bagus’, maknanya tidak akan hilang! Memanglah bahasa Melayu memerlukan kata-kata baharu untuk terus berkembang, namun kata-kata yang ‘dipinjam’ itu biarlah untuk kata yang benar-benar tiada dalam bahasa Melayu. Misalnya, mengapa kita perlu meminjam ‘toleransi’ kalau sudah ada ‘tolak ansur’ dalam bahasa Melayu? Dalam berbahasa, kita seharusnya mengusahakan penggunaan kata dalam bahasa sendiri.
        Usaha memperkasakan bahasa Melayu turut melibatkan usaha memperkasakan masyarakat penuturnya, iaitu meningkatkan penguasaan, pemahaman, keterampilan, dan sikap mereka terhadap bahasa kebangsaan. Usaha ini diharapkan bukan sahaja berupaya meningkatkan kemampuan dan keterampilan berbahasa, tetapi juga dapat melahirkan masyarakat yang berbangga dengan bahasa yang menjadi lambang jati diri mereka.
        Bahasa kebangsaan dapat menjadi jati diri bangsa yang nyata apabila masyarakat penggunanya membina dan mengembangkannya sedemikian rupa sehingga bersih daripada unsur-unsur asing yang memang tidak diperlukan. Penggunaan bahasa rojak akan menyebabkan bangsa kita kehilangan jati diri. Kita pasti tidak mahu kehilangan jati diri kita sebagai sebuah bangsa. Oleh itu, marilah kita menjadi bangsa yang berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, dan tidak ’merojakkannya’ sesedap rasa.

MEMILIKI KEARIFAN BERBAHASA

KEKUKUHAN perpaduan bangsa kita sentiasa sahaja diuji. Isu agama, isu bahasa, dan sebagainya sangat sensitif dan amat berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum. Memang, negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan agama yang berbeza pula sudah tentu tidak dapat lepas daripada pelbagai masalah yang dapat menggugat perpaduan kaum. Namun, sejauh ini perbezaan-perbezaan yang ada yang menjadi sebahagian daripada kehidupan bangsa kita telah dapat ditangani dengan baik. Perpaduan kaum ternyata jauh lebih akrab dan mantap terjalin berbanding dengan benih-benih perpecahan. Bangsa kita memiliki nilai yang menjadi asas kerukunan hidup bermasyarakat, saling memahami, saling mempercayai, saling menghormati, dan saling bertolak-ansur.
          Dalam hubungan ini, saya kira kepentingan perpaduan amat difahami oleh rakyat. Ketegangan kaum tidak akan memberikan apa-apa keuntungan, baik negara mahupun rakyat. Peristiwa hitam yang pernah dialami negara dahulu telah memberikan pengajaran dan peringatan tentang betapa pentingnya perpaduan. Tanpa perpaduan, negara sudah pasti berada dalam keadaan kucar-kacir dan kacau-bilau. Negara pasti tidak dapat dibangunkan dan dimajukan jika rakyatnya sentiasa hidup dalam permusuhan dan kebencian sesama sendiri.
          Hakikat bahawa masyarakat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan suku kaum, agama, dan budaya telah meletakkan perpaduan sebagai sesuatu yang amat penting. Pelbagai perbezaan yang wujud sering kali berupaya menggoyahkan keharmonian masyarakat, apatah lagi dengan adanya tindakan individu atau kelompok tertentu yang secara sedar dilakukan untuk menimbulkan rasa curiga, prasangka, dan permusuhan antara kaum. Tindakan merosakkan gereja atau masjid oleh individu atau kelompok yang tidak bertanggungjawab, misalnya, dapat menimbulkan prasangka atau pandangan buruk antara penganut agama. Prasangka yang akan membangkitkan kebencian itu akhirnya dapat mendorong atau mempengaruhi terjadinya permusuhan antara penganut agama. Oleh itu, tindak-tanduk yang dapat mencetuskan ketegangan kaum dan agama itu harus  dibendung dan dikawal demi menjamin keamanan negara. Perbezaan agama bukan sebab untuk kita saling berprasangka dan bermusuhan.
        Dalam hubungan antara manusia, masalah seperti tidak saling mempercayai, tidak saling menghargai, dan tidak saling menghormati dapat sahaja timbul atas pelbagai sebab. Perbezaan agama, kepercayaan, fahaman, ideologi, dan budaya, misalnya, sentiasa dapat mencetuskan masalah dalam hubungan. Dalam konteks negara kita, perbezaan-perbezaan itu memang tidak dapat dielakkan kerana kepelbagaian suku kaum dengan agama, kepercayaan, adat resam, bahasa, dan budaya yang berbeza telah menjadi ciri khas bangsa kita. Oleh itu, kita harus menerima dan menghormatinya. Kita harus terus berusaha memupuk dan memelihara rasa kebersamaan, sikap tolak-ansur, saling menghormati, dan saling menghargai satu sama lain supaya dengannya kehidupan kita akan sentiasa diselimuti keharmonian, kedamaian, dan kesejahteraan.
         Dalam menanggapi isu perpaduan ini, selain tindakan, kita sering kali juga menyaksikan perilaku berbahasa sebilangan anggota masyarakat yang amat memprihatinkan. Mereka sering mengabaikan nilai-nilai luhur berupa penghormatan terhadap satu sama lain. Bahasa tidak lagi digunakan sebagai sarana untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban, sebaliknya sebagai alat untuk menyemai rasa benci dan memecah-belahkan masyarakat. Bahasa digunakan untuk menghina, mengata, mengancam, mengugut, melecehkan, menyebarkan kebohongan, dan memutarbelitkan fakta yang menimbulkan keresahan masyarakat. Kata-kata dihamburkan mengikut perasaan. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan kita. Benih perpecahan yang disuburkan oleh kata-kata kebencian dan permusuhan itu pasti dapat memusnahkan kerukunan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati selama ini. Penggunaan bahasa yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan ini jelas memperlihatkan betapa kurang bertanggungjawabnya mereka terhadap bahasa dan penggunaannya. Oleh sebab itu, perilaku berbahasa sedemikian tidak harus dibiarkan berkembang, malah perlu dikekang dengan segera agar tidak merobohkan benteng perpaduan yang berdiri teguh sejak sekian lama. Mereka perlu disedarkan tentang tanggungjawab masing-masing terhadap bahasa dan penggunaannya. Dengan kesedaran ini, mereka akan lebih berhati-hati dan bertanggung jawab dalam menggunakan bahasa, mengawal diri dalam meluncurkan kata-kata.
          Dalam kebanyakan peristiwa, bahasa sering tidak terlepas daripada menjadi punca yang mencetuskan ketegangan dan permusuhan. Kata-kata yang menghina, misalnya, dapat sahaja menyalakan kebencian, membakar kemarahan, dan menggelegaklah emosi seseorang. Oleh sebab itu, kita hendaklah berhati-hati ketika menggunakan bahasa. Kita harus menyedari bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyuarakan pandangan atau mengungkapkan perasaan sendiri, tetapi mampu membakar kemarahan dan menggelegakkan emosi orang lain. Setiap anggota masyarakat perlu berusaha memiliki kearifan berbahasa agar tidak mudah meluncurkan kata-kata yang dapat mencetuskan permusuhan dan ketegangan. Kita tidak harus menggunakan kata-kata yang dapat menimbulkan kebencian keagamaan atau kata-kata yang melecehkan atau menghina kelompok tertentu kerana kepercayaan agama mereka. Selama fungsi bahasa untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban itu dapat dilaksanakan dan dipenuhi sebagaimana mestinya, selama itulah hal-hal yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan akan dapat diperkecil.
          Mengingat bahawa kita terdiri daripada pelbagai kaum dengan agama, kepercayaan, adat resam, dan budaya yang berbeza, maka perpaduan yang kukuh sudah tentulah tidak dapat diwujudkan dengan mudah. Tanpa pelbagai usaha, perpaduan tidak akan datang bergolek begitu sahaja untuk kita nikmati. Perpaduan bukan sesuatu yang dapat diperoleh tanpa kesediaan kita untuk menerima dan mengamalkan nilai-nilai yang dapat mewujudkan perpaduan itu sendiri. Perpaduan juga bukanlah sesuatu yang kekal abadi dan dapat dinikmati berterusan. Pelbagai bentuk tindakan yang mencuba mengganggu dan menggugat perpaduan kaum sentiasa sahaja dilakukan oleh golongan yang ingin menangguk di air keruh. Oleh itu, isu-isu yang dapat menggugat perpaduan kaum perlu ditangani dengan segera supaya tidak berkembang menjadi ‘ledakan’ yang kelak akan memusnahkan kerukunan dan keharmonian kehidupan bermasyarakat.

MENJADI BAHASA KOMUNIKASI MASYARAKAT ANTARABANGSA


HASRAT kita untuk melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa komunikasi masyarakat antarabangsa seperti bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Arab, dan bahasa Mandarin tidak mustahil akan tercapai jika pelbagai usaha untuk memajukan bahasa dan bangsa terus dilakukan. Walaupun penggunaan bahasa Melayu belum tersebar luas ke seluruh dunia dan bahasa Melayu belum menjadi bahasa perantara pertemuan-pertemuan antarabangsa, namun dengan usaha bersungguh-sungguh, hasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang turut digunakan dalam komunikasi orang Amerika, Belanda, Itali, Jerman, Kanada, dan lain-lain pasti menjadi suatu kenyataan.
          Pada Sabtu malam yang lalu, kita mungkin telah meluangkan masa untuk menyaksikan kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 yang disiarkan secara langsung melalui TV1. Kita tentu berasa bangga dengan kehadiran peserta dari seluruh pelosok dunia seperti Afghanistan, Albania, Amerika Syarikat, Armenia, Australia, Azerbaijan, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Cameroon, China, Estonia, Hungary, India, Iran, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Kyrgystan, Korea Selatan, Kosovo, Latvia, Macedonia, dan lain-lain. Bahasa Melayu kini telah berkembang dan berhasil menarik minat warga asing untuk mempelajari dan menggunakannya. Dalam Kata Alu-aluan untuk Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu,YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia dan pemilik bahasa ibunda itu, kita harus merasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu ampuh mencorak ritmanya yang tersendiri dan semakin mekar di persada dunia.
          Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa sebenarnya harus bermula dari masyarakat kita sendiri. Dalam tulisan saya ‘Menuju Bahasa Antarabangsa’ (Utusan Borneo, 8 Mac 2010), saya menyentuh sikap dan pandangan masyarakat yang masih mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing. Sikap dan pandangan itu tentu sahaja memberikan kesan terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu bukan sahaja di negara sendiri, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Hasrat untuk menempatkan bahasa Melayu di persada dunia sudah tentulah sukar dicapai jika di tanah air sendiri bahasa itu kian terpinggir. Sebagai pemilik, kita seharusnya berbangga dengan bahasa sendiri. Dengan adanya kebanggaan itu, kita akan berasa ikut bertanggungjawab untuk turut sama dalam sebarang usaha memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu supaya dipandang oleh masyarakat antarabangsa.
          Bahasa Melayu sebenarnya sedang bergerak menuju bahasa antarabangsa. Penubuhan beberapa pusat pengajian Melayu di luar negara yang bertujuan menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa merupakan usaha yang menjurus kepada matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas di peringkat antarbangsa. Bahasa Melayu diajarkan di pelbagai universiti ternama dunia. Kursi Pengajian Melayu diwujudkan di Leiden University, Belanda, Ohio University, Amerika Syarikat, University Wellington, New Zealand, Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan, dan Beijing Foreign Studies University, China. Di negara China pula terdapat siaran radio dalam bahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) turut ditubuhkan untuk memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat rantau dan antarabangsa.
          Meskipun demikian, banyak usaha lain yang  perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu tidak akan ‘ke mana-mana’ jika bergantung pada jumlah penuturnya semata-mata. Bahasa Mandarin diakui sebagai bahasa antarabangsa bukan kerana bilangan penuturnya yang paling banyak di dunia, tetapi kerana kemajuan dan pencapaian negara China dalam bidang teknologi. Bahasa Mandarin menjadi bahasa antarabangsa yang penting dengan kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi dunia. Begitu juga halnya dengan bahasa Inggeris. Meskipun status bahasa itu sebagai bahasa antarabangsa turut ditentukan oleh bilangan penuturnya yang banyak, namun status keantarabangsaan yang dimiliki oleh bahasa Inggeris sangat berkait erat dengan penguasaan ekonomi dunia oleh negara-negara berbahasa Inggeris. Di samping itu, bahasa Inggeris turut menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden.
          Dalam hal ini, pengembangan bahasa untuk menjadi bahasa antarabangsa tampaknya sangat berkait rapat dengan pengembangan masyarakat pemiliknya sendiri. Bangsa kita harus muncul sebagai bangsa yang menguasai ekonomi. Bangsa kita harus menjadi bangsa pencipta tekonologi baharu. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam suatu majlis yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Universiti Kebangsaan Malaysia pada 20 Mei 2000 pernah menyatakan bahawa bangsa Melayu perlu memberikan tumpuan kepada usaha memajukan bangsa bagi menarik perhatian dunia terhadap bahasa Melayu. Menurut beliau, bangsa kita akan hanya dihargai apabila kita dapat menunjukkan  kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan yang tidak terlepas daripada ilmu pengetahuan dan teknologi. Dalam kata alu-aluan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu, YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak turut menyatakan bahawa untuk mempertahankan martabat bahasa Melayu, kita perlu ada kekuatan ekonomi dan politik yang teguh di dalam negara dan di segenap penjuru dunia. Kekuatan itulah yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal subur.
          Memang, perjalanan bahasa Melayu menuju bahasa antarabangsa masih jauh. Kita mengakui bahawa masih banyak yang belum dilaksanakan. Kejayaan yang diharapkan masih belum tercapai sepenuhnya. Bahasa Melayu belum cukup mantap dalam beberapa ranah dan masih tidak mendapat sokongan yang padu dan menyeluruh daripada setiap orang. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai dengan sewajarnya, bahkan penghargaan terhadapnya kini dirasakan semakin memudar. Rasa menghargai bahasa asing masih terus menampak pada sebahagian besar bangsa kita. Hal ini menunjukkan bahawa apa-apa yang diusahakan selama ini belum memadai. Kita harus bekerja keras dan memperhebat usaha jika ingin melihat bahasa Melayu dapat menjadi bahasa antarabangsa pada suatu masa kelak.

Thursday 10 March 2011

BAHASA PERPADUAN BANGSA

KETIKA disepakati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita sebenarnya melihat bahawa bahasa Melayu berpotensi menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Bahasa Melayu merupakan lingua franca yang paling luas difahami. Walaupun pemilihannya sebagai bahasa kebangsaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum yang lain, namun pengangkatan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang dalam kedudukannya itu turut berperanan sebagai alat perpaduan kaum, ternyata merupakan langkah yang tepat. Setelah setengah abad negara kita merdeka, bahasa Melayu telah dapat memainkan peranannya sebagai alat perpaduan kaum. Meskipun terdapat pelbagai faktor yang turut mengukuhkan perpaduan kaum, peranan bahasa sebagai alat perpaduan kaum tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa yang berbeza yang tidak difahami sudah pasti menghalang berlangsungnya komunikasi.  Ingatan supaya ‘berhati-hati’ yang diucapkan oleh seseorang daripada suku kaum Kadazandusun dalam bahasanya, ‘ingaton no’, atau daripada suku kaum Bajau Sama dalam bahasanya ‘palap-palap’, atau daripada suku kaum Iranun dalam bahasanya, ‘pia pia kanu’, atau daripada suku kaum Bisaya dalam bahasanya, ‘bonor-bonor’, atau daripada suku kaum Sungai dalam bahasanya, ‘aag-atago’, atau daripada suku kaum Murut dalam bahasanya, ilalain’ sudah pastilah tidak difahami oleh seseorang daripada kaum Melayu. Tetapi, dengan adanya bahasa kebangsaan, suatu kaum dapat berhubungan dengan suatu kaum yang lain sehingga tidak menimbulkan salah faham.  
          Peranan penting yang dimainkan bahasa kebangsaan untuk memantapkan perpaduan kaum dapat dilihat selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Pelbagai aliran pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris dikatakan telah menjadi salah satu penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum yang akhirnya meledakkan pertumpahan darah antara kaum itu. Salah satu langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya perpecahan kaum hasil daripada kepelbagaian aliran pendidikan ialah menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penggunaan bahasa itu, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, diyakini dapat memberikan  kefahaman dan memupuk rasa kebersamaan sambil dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat berinteraksi dengan menggunakan  satu bahasa.
          Namun, keyakinan penuh tentang keberhasilan bahasa kebangsaan dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan kaum selama ini tampaknya mula goyah sehingga bahasa itu ‘dicampak’ atas alasan membangunkan bangsa. Kecenderungan yang kian mengecilkan peranan bahasa kebangsaan ini didapati makin bermunculan. Penggunaan bahasa asing yang makin berleluasa dan penggunaan bahasa rojak yang kian menggejala dalam kalangan anggota masyarakat memberikan kesan yang tidak sedikit kepada bahasa kebangsaan. Kecenderungan sedemikian akan mengakibatkan bahasa kebangsaan kehilangan peranannya sebagai bahasa perpaduan bangsa.  Oleh sebab itu, mengetahui sejarah perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memahami kepentingan meletakkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya penting agar usaha dan semangat yang bergelora untuk menguasai bahasa asing tidak sampai mengikis keyakinan terhadap peranan besar yang dimainkan oleh bahasa itu sendiri. Perperpaduan kaum selama ini akan terancam apabila masyarakat mula mengetepikan bahasa tersebut.
          Sebagai sebuah negara yang didiami oleh pelbagai kaum, peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan perlu diberi perhatian yang lebih serius. Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa bersama membolehkan setiap anggota masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mengalami kesulitan. Walaupun bahasa Melayu bagi sebilangan anggota masyarakat di negara ini merupakan bahasa kedua, namun mereka telah dapat menggunakan bahasa itu dalam pelbagai kegiatan komunikasi. Hal ini demikian kerana kemampuan berbahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi menjadi tuntutan utama bagi setiap anggota masyarakat untuk berhubungan antara satu sama lain, terutama dengan seseorang daripada kaum yang lain. Oleh itu, penggunaan kata ‘petang’, misalnya, bukan sahaja difahami oleh orang Melayu, tetapi juga seluruh anggota masyarakat, walaupun suku kaum Kadazandusun menggunakan kata ‘doungadau’, suku kaum Bajau Sama menggunakan kata ‘kemuap’, suku kaum Iranun menggunakan kata ‘gkagabi’, suku kaum Bisaya menggunakan kata ‘sodopon’, suku kaum Sungai menggunakan kata ‘awi-awi’, dan suku kaum Murut menggunakan kata ‘amai’. Begitu juga kata ‘duduk’ dalam bahasa kebangsaan dapat difahami seluruh anggota masyarakat walaupun dalam bahasa Kadazandusun mempunyai kata ‘miikau’, bahasa Bajau Sama mempunyai kata ‘nengkoo’, bahasa Iranun mempunyai kata ‘untud’, bahasa Bisaya mempunyai kata ‘paruka’, bahasa Sungai mempunyai kata ‘meogom’, dan bahasa Murut mempunyai kata ‘turung’.
          Oleh sebab itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk menyuburkan semangat perpaduan dalam diri setiap anggota masyarakat melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Dari semasa ke semasa, pelbagai kegiatan diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat tentang bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan kita. Penggunaannya akan memperkukuh perpaduan kaum, sebaliknya peminggiran bahasa kebangsaan dalam kegiatan bahasa akan menyebabkan kemantapan perpaduan kaum akan berkurang. Dengan usaha-usaha itu, bahasa kebangsaaan diharapkan akan sentiasa menjadi alat perpaduan bangsa kita.

MEMAHAMI PENGERTIAN BAHASA BAKU

SESETENGAH orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugah perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.
         Sebenarnya, kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, dan “banyak negara-negara...”, walaupun diujarkan dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pengulangan kata yang sudah mengandungi makna jamak dan pengulangan kata yang sudah ditentukan oleh kata bilangan. Begitu juga “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” dan “dia memperkatakan tentang hal itu...” bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan tatabahasanya. Oleh sebab itu, “para peniaga...”, “mereka...”, “banyak negara...”, “saya akan membincangkan perkara itu...”, dan “dia memperkatakan hal itu...” merupakan bentuk yang baku.
          Bahasa baku ialah bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara. Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.
          Dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini, kita dapat melihat bahawa bahasa yang digunakan jarang-jarang sekali berbentuk bahasa Melayu baku. Biasanya, bahasa yang digunakan dalam pertuturan masyarakat bukan bahasa baku, iaitu bahasa basahan atau bahasa pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa campuran atau bahasa rojak. Hal ini sudah tentu tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat terlepas daripada konteks sosial. Pelbagai faktor, seperti hubungan antara penutur, tempat, tujuan, situasi, status, pendidikan, usia, dan jantina amat mempengaruhi penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, kita pasti sering mendengar ungkapan seperti apa mau, kasi tahu, banyak mahal, itu macam, dan boleh bikin. Malah, kita sendiri mungkin kerap menggunakannya dalam perbualan sehari-hari dengan teman-teman.
          Sebagai salah satu ragam bahasa Melayu, bahasa basahan ini bukan bahasa yang dilarang penggunaannya. Kita akan menggunakan bahasa dalam ragam tertentu sesuai dengan situasi atau tempat berlangsungnya komunikasi, misalnya dalam situasi kekeluargaan yang tidak menuntut penggunaan bahasa baku. Dalam tawar-menawar di pasar pula, penggunaan bahasa baku mungkin akan menimbulkan kelucuan, kejanggalan, kehairanan, atau kecurigaan. Dalam hubungan ini, jelas bahawa kita tidak dituntut supaya berbahasa baku secara terus-menerus sepanjang waktu kerana bahasa yang dapat mengenai sasarannya tidak sentiasa perlu beragam baku. Kita harus memperhatikan golongan penutur dan situasi penggunaannya. Orang yang mahir menggunakan bahasanya sehingga maksud yang ingin disampaikannya dapat difahami dengan jelas atau dapat mencapai sasarannya dianggap telah dapat berbahasa dengan baik dan berkesan. Meskipun demikian, kita tidaklah wajar menggunakan bahasa basahan ini secara berleluasa, sebaliknya menggunakannya dalam batasan tertentu sahaja, khususnya dalam situasi tidak rasmi.
          Bahasa baku dan bahasa basahan ini mempunyai fungsi masing-masing dalam komunikasi. Bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa basahan dalam perbincangan, mesyuarat, atau seminar, misalnya, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat, atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan menimbulkan gangguan terhadap komunikasi.  
          Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan bahasa dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa basahan atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, ceramah, atau dalam pertuturan yang dituntut supaya berbahasa baku. Kebiasaan menggunakan bahasa basahan telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri masyarakat terhadap bahasa baku.

MENYERLAHKAN KEKAYAAN BUDAYA

DALAM program Jejak Etnik DBP Cawangan Sabah, saya berpeluang ke Kampung Landung Ayang Laut, Kudat. Jejak Etnik dijalankan untuk mengkaji tahap penguasaan bahasa sukuan dalam kalangan penutur asli bahasa sukuan Sabah. Hasil kajian awal menunjukkan bahawa sebahagian besar penduduk, iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah penduduknya yang berjumlah hampir 4000 orang tidak lagi menggunakan bahasa sukuan masing-masing sebagai bahasa pertuturan di rumah, sebaliknya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam lingkungan keluarga. Sebilangan besar generasi mudanya didapati tidak lagi menguasai bahasa sukuan masing-masing. Kajian awal ini juga menunjukkan semakin menurunnya peranan masyarakat dan keluarga dalam memelihara dan mempertahan warisan budaya.
Ada kira-kira 14 suku kaum yang mendiami Kampung Landung Ayang Laut yang diketuai Haji Nunong Ibrahim, 84 tahun. Suku kaum itu ialah Ubian, Kagayan, Suluk, Bajau, Benadan, Pemutaran, Pelauh, Dusun Bonggi, Dusun Kimaragang, Sungai, Bisaya, Brunei, Dusun, dan Bugis. Kepelbagaian suku kaum ini sebenarnya dapat ditemukan bukan sahaja di Kampung Landung Ayang Laut ini, tetapi juga di kampung-kampung atau di kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah. Demikianlah kekayaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai lebih daripada 32 suku kaum seperti Bajau, Kadazandusun, Suluk, Iranun, Brunei, dan lain-lain. Suku kaum Kadazandusun pula, misalnya, terdiri daripada empat puluh suku kaum kecil Dusun dan Kadazan, antaranya termasuklah Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kedayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Ngabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungai, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon, dan Tutung.
Setiap suku kaum itu memiliki kepercayaan, adat, pantang larang, bahasa, pakaian tradisi, tarian tradisi, muzik tradisi, permainan tradisi, dan makanan tradisi yang tersendiri. Misalnya, ‘hinava ginapan’, ‘bosou’ atau ‘tonsom merupakan makanan tradisi suku kaum Kadasandusun, manakala ‘kima’, ‘sagol, ‘putuh’, dan ‘tompe’ pula merupakan makanan tradisi suku kaum Bajau.  ‘Sumazau’ merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun, ‘magunatip’ merupakan tarian tradisi suku kaum Murut, ‘liliput’ merupakan tarian tradisi suku kaum Bisaya, dan ‘dalling-dalling’ merupakan tarian tradisi masyarakat Bajau. 
Kekayaan budaya di Sabah turut terserlah dari segi bahasa dan sasteranya. Sabah dikatakan mempunyai lebih daripada 50 bahasa sukuan. Untuk kata tangan, kaki, dan mulut sahaja, misalnya, terdapat puluhan kata dalam bahasa sukuan yang digunakan oleh masyarakat di Sabah. Untuk kata tangan, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘lima’ dan masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘longon’. Untuk kata kaki, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘siki’, masyarakat Pemutaran dan Ubian menyebutnya sebagai ‘naie’, masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘wotis’, dan masyarakat Dusun Kimaragang menyebutnya sebagai ‘takod’. Untuk kata mulut pula, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘simut’, masyarakat Bajau menyebutnya sebagai ‘buak’, masyarakat Kagayan menyebutnya sebagai ‘behe’, masyarakat Pemutaran menyebutnya sebagai ‘bok’, masyarakat Ubian menyebutnya sebagai ‘muak’, dan masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘kobang’.
Kepelbagaian bahasa, agama, dan adat resam telah melahirkan kepelbagaian tanggapan, wawasan, dan pemikiran sehingga dengan itu melahirkan kepelbagaian dari segi hasil sastera. Hasil sastera seperti nyanyian rakyat dan cerita rakyat merupakan contoh daripada pelbagai bentuk tradisi lisan yang menjadi kekayaan budaya di negeri ini. Dengan memiliki kepelbagaian tradisi dan budaya, Sabah ternyata bukan sahaja kaya dengan alam semula jadinya, tetapi juga budayanya. Kita harus berbangga dengannya dan perlu menyerlahkan kekayaan dan keunikan itu. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah merupakan negeri yang memiliki banyak sekali produk budaya, dan produk budaya itu kini bukan sahaja menjadi daya tarikan kepada para pelancong, tetapi juga menunjang pertumbuhan ekonomi negeri. Dalam sambutan Pesta Kaamatan dan acara keramaian kemasyarakatan lain, misalnya, pelbagai aspek kebudayaan suku kaum ini terutamanya tarian tradisi ditonjolkan sebagai daya tarikan kepada para pelancong.
Dalam menghadapi kemajuan kehidupan masa kini, kita harus memastikan kekayaan budaya bangsa tidak terpinggir dan dapat terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman. Bahasa sukuan yang turut merupakan kekayaan budaya bangsa ini harus dijaga dan dipelihara kerana pupusnya suatu bahasa akan menyebabkan hilangnya pelbagai bentuk warisan budaya bangsa. Oleh itu, kita harus bertekad dan berusaha mempertahan kelangsungan hidup bahasa Rungus, Sungai, Bajau, Tombonua, Sonsogon, Sondoyo, Kimaragang, Suluk, Ubian, Tobilung, Begak, dan bahasa sukuan lain bagi memastikan kewujudan kebudayaan dan masyarakat pemiliknya. Jika kita masih menginginkan bahasa sukuan terus hidup subur, setiap anggota masyarakat harus memikul tanggungjawab bersama dalam melestarikan bahasa sukuan ini.

Wednesday 9 March 2011

MEMANCARKAN WIBAWA BAHASA

BAHASA Melayu dengan jumlah penuturnya yang dianggarkan lebih 300 juta dikatakan sebagai bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Bahasa Melayu kini bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam, serta salah satu bahasa rasmi Singapura, tetapi turut dituturkan oleh di Thailand Selatan, Filipina Selatan, Vietnam, Sri Lanka, dan Afrika Selatan. Berdasarkan jumlah penuturnya itu, bahasa Melayu dikatakan berpotensi menjadi salah satu bahasa utama dunia.
Meskipun termasuk sebagai salah satu bahasa terbesar dunia, bahasa Melayu sebenarnya masih belum dapat ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan bahasa-bahasa maju yang lain. Jumlah penutur tampaknya bukan jaminan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat antarabangsa. Menurut Asmah Haji Omar, jumlah penutur bukanlah satu-satunya faktor yang memberikan kewibawaan sosial kepada bahasa. Bahasa Cina dan bahasa Rusia, misalnya, walaupun mempunyai jumlah penutur yang sangat besar, mempunyai khazanah pustaka ilmu yang baik, dan diberi tempat dalam Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi pengaruhnya dalam kehidupan dunia tidak setaraf dengan pengaruh yang ada pada bahasa Inggeris. Daripada beberapa bahasa utama dunia lain, bahasa Inggeris tampaknya telah menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat dunia. Keberhasilan bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat dunia ini didukung oleh beberapa faktor, antaranya termasuklah penggunaannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi.
Pada masa ini, sebahagian besar daripada ilmu pengetahuan dan teknologi dimiliki bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Hal ini menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang ‘tidak boleh tidak’ harus dikuasai dalam usaha melahirkan bangsa yang dapat bersaing pada peringkat dunia. Negara  kita turut turut memberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing.
Kemampuan bahasa Melayu sebagai sarana pengungkapan ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat dinafikan lagi. Penggunaannya dalam bidang pendidikan dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi telah membuktikan hakikat ini. Walau bagaimanapun, kita harus juga menerima hakikat bahawa perjalanan bahasa Melayu menuju bahasa ilmu yang berwibawa sebenarnya masih jauh. Meskipun telah dibina dan dikembangkan supaya dapat memenuhi fungsinya sebagai sarana pengungkapan ilmu pengetahuan dan teknologi, bahasa Melayu didapati belum dapat memperlihatkan kemampuannya sebagai bahasa ilmu yang berwibawa. Dari segi pengisian ilmu pengetahuan dan teknologi mutakhir, bahasa Melayu dilihat masih ketinggalan sehingga kita harus terus bergantung pada bahasa Inggeris. Pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi dalam bahasa Melayu merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi sekunder melalui pemindahannya daripada bahasa asal. Hal ini dapat diperhatikan pada peristilahan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Walaupun lebih setengah juta istilah dalam pelbagai bidang ilmu digubal bagi memenuhi fungsinya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi, namun peristilahan itu masih bersifat sekunder. Pembentukan istilah dalam bahasa Melayu merupakan pembentukan istilah bagi konsep ilmu yang telah dimunculkan terlebih dahulu dalam bahasa Inggeris. Kita hanya mencari istilah dalam bahasa Melayu untuk dipadankan dengan istilah ‘application package’, ‘ascending sort’, ‘associative memory’, ‘asynchronous response mode’, ‘automatic programming’, ‘back orifice’, ‘backing storage’, dan ‘backoff delay’ dalam bidang komputer, misalnya, yang teknologinya berkembang di luar bahasa Melayu. Kita belum benar-benar membentuk istilah dalam bahasa Melayu untuk melambangi konsep ilmu yang dimunculkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini turut meyiratkan bahawa perkembangan bahasa Melayu itu sentiasa berada di belakang kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi. Malah, bahasa Melayu dikatakan terlalu jauh di belakang bahasa Inggeris. Selagi keadaan ini menyelubungi bahasa kita, selagi itulah juga bahasa Melayu akan tetap menjadi bahasa ilmu sekunder.
Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berwibawa ini sebenarnya bukan melibatkan bahasa semata-mata, tetapi turut melibatkan usaha mentransformasikan budaya, pemikiran, dan segala hal yang berkaitan dengan kehidupan bangsa. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu yang berwibawa jika bangsa pemiliknya menjadi bangsa pencipta, dan teknologi yang tercipta itu pula diungkapkan dalam bahasa Melayu. Dengan cara itu, bahasa Melayu akan terisi dengan ilmu pengetahuan dan teknologi yang primer sifatnya, iaitu yang dimunculkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Pada masa ini, kita masih lagi merupakan bangsa pengguna. Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, misalnya, kita masih sebagai bangsa pengguna teknologi yang dimunculkan oleh barat. Begitu juga dalam bidang teknologi angkasa, kita masih sekadar menjadi penumpang kapal angkasa, tetapi belum menjadi pencipta teknologi kapal angkasa itu sendiri.
Bahasa Melayu sebenarnya telah memiliki syarat untuk dapat digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Cuma, yang amat diperlukan kini ialah pengisiannya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi terkini, dan yang lebih penting ilmu pengetahuan dan teknologi yang dimunculkan oleh bangsa dan bahasa Melayu itu sendiri supaya dengannya bahasa Melayu tidak berterusan menjadi bahasa ilmu kelas dua, iaitu bahasa yang menyajikan ilmu pengetahuan dan teknologi yang sudah ketinggalan. Bahasa Melayu harus dapat memenuhi segala keperluan dan tuntutan masyarakat yang sedang membangun dan berubah dengan pesat. Bahasa Melayu harus dapat memancarkan wibawanya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden sehingga dapat menarik masyarakat dunia untuk mempelajari, menguasai, dan menggunakannya.