Saturday 12 March 2011

MEMILIKI KEARIFAN BERBAHASA

KEKUKUHAN perpaduan bangsa kita sentiasa sahaja diuji. Isu agama, isu bahasa, dan sebagainya sangat sensitif dan amat berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum. Memang, negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan agama yang berbeza pula sudah tentu tidak dapat lepas daripada pelbagai masalah yang dapat menggugat perpaduan kaum. Namun, sejauh ini perbezaan-perbezaan yang ada yang menjadi sebahagian daripada kehidupan bangsa kita telah dapat ditangani dengan baik. Perpaduan kaum ternyata jauh lebih akrab dan mantap terjalin berbanding dengan benih-benih perpecahan. Bangsa kita memiliki nilai yang menjadi asas kerukunan hidup bermasyarakat, saling memahami, saling mempercayai, saling menghormati, dan saling bertolak-ansur.
          Dalam hubungan ini, saya kira kepentingan perpaduan amat difahami oleh rakyat. Ketegangan kaum tidak akan memberikan apa-apa keuntungan, baik negara mahupun rakyat. Peristiwa hitam yang pernah dialami negara dahulu telah memberikan pengajaran dan peringatan tentang betapa pentingnya perpaduan. Tanpa perpaduan, negara sudah pasti berada dalam keadaan kucar-kacir dan kacau-bilau. Negara pasti tidak dapat dibangunkan dan dimajukan jika rakyatnya sentiasa hidup dalam permusuhan dan kebencian sesama sendiri.
          Hakikat bahawa masyarakat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan suku kaum, agama, dan budaya telah meletakkan perpaduan sebagai sesuatu yang amat penting. Pelbagai perbezaan yang wujud sering kali berupaya menggoyahkan keharmonian masyarakat, apatah lagi dengan adanya tindakan individu atau kelompok tertentu yang secara sedar dilakukan untuk menimbulkan rasa curiga, prasangka, dan permusuhan antara kaum. Tindakan merosakkan gereja atau masjid oleh individu atau kelompok yang tidak bertanggungjawab, misalnya, dapat menimbulkan prasangka atau pandangan buruk antara penganut agama. Prasangka yang akan membangkitkan kebencian itu akhirnya dapat mendorong atau mempengaruhi terjadinya permusuhan antara penganut agama. Oleh itu, tindak-tanduk yang dapat mencetuskan ketegangan kaum dan agama itu harus  dibendung dan dikawal demi menjamin keamanan negara. Perbezaan agama bukan sebab untuk kita saling berprasangka dan bermusuhan.
        Dalam hubungan antara manusia, masalah seperti tidak saling mempercayai, tidak saling menghargai, dan tidak saling menghormati dapat sahaja timbul atas pelbagai sebab. Perbezaan agama, kepercayaan, fahaman, ideologi, dan budaya, misalnya, sentiasa dapat mencetuskan masalah dalam hubungan. Dalam konteks negara kita, perbezaan-perbezaan itu memang tidak dapat dielakkan kerana kepelbagaian suku kaum dengan agama, kepercayaan, adat resam, bahasa, dan budaya yang berbeza telah menjadi ciri khas bangsa kita. Oleh itu, kita harus menerima dan menghormatinya. Kita harus terus berusaha memupuk dan memelihara rasa kebersamaan, sikap tolak-ansur, saling menghormati, dan saling menghargai satu sama lain supaya dengannya kehidupan kita akan sentiasa diselimuti keharmonian, kedamaian, dan kesejahteraan.
         Dalam menanggapi isu perpaduan ini, selain tindakan, kita sering kali juga menyaksikan perilaku berbahasa sebilangan anggota masyarakat yang amat memprihatinkan. Mereka sering mengabaikan nilai-nilai luhur berupa penghormatan terhadap satu sama lain. Bahasa tidak lagi digunakan sebagai sarana untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban, sebaliknya sebagai alat untuk menyemai rasa benci dan memecah-belahkan masyarakat. Bahasa digunakan untuk menghina, mengata, mengancam, mengugut, melecehkan, menyebarkan kebohongan, dan memutarbelitkan fakta yang menimbulkan keresahan masyarakat. Kata-kata dihamburkan mengikut perasaan. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan kebimbangan kita. Benih perpecahan yang disuburkan oleh kata-kata kebencian dan permusuhan itu pasti dapat memusnahkan kerukunan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati selama ini. Penggunaan bahasa yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan ini jelas memperlihatkan betapa kurang bertanggungjawabnya mereka terhadap bahasa dan penggunaannya. Oleh sebab itu, perilaku berbahasa sedemikian tidak harus dibiarkan berkembang, malah perlu dikekang dengan segera agar tidak merobohkan benteng perpaduan yang berdiri teguh sejak sekian lama. Mereka perlu disedarkan tentang tanggungjawab masing-masing terhadap bahasa dan penggunaannya. Dengan kesedaran ini, mereka akan lebih berhati-hati dan bertanggung jawab dalam menggunakan bahasa, mengawal diri dalam meluncurkan kata-kata.
          Dalam kebanyakan peristiwa, bahasa sering tidak terlepas daripada menjadi punca yang mencetuskan ketegangan dan permusuhan. Kata-kata yang menghina, misalnya, dapat sahaja menyalakan kebencian, membakar kemarahan, dan menggelegaklah emosi seseorang. Oleh sebab itu, kita hendaklah berhati-hati ketika menggunakan bahasa. Kita harus menyedari bahawa bahasa bukan sekadar alat untuk menyuarakan pandangan atau mengungkapkan perasaan sendiri, tetapi mampu membakar kemarahan dan menggelegakkan emosi orang lain. Setiap anggota masyarakat perlu berusaha memiliki kearifan berbahasa agar tidak mudah meluncurkan kata-kata yang dapat mencetuskan permusuhan dan ketegangan. Kita tidak harus menggunakan kata-kata yang dapat menimbulkan kebencian keagamaan atau kata-kata yang melecehkan atau menghina kelompok tertentu kerana kepercayaan agama mereka. Selama fungsi bahasa untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban itu dapat dilaksanakan dan dipenuhi sebagaimana mestinya, selama itulah hal-hal yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan akan dapat diperkecil.
          Mengingat bahawa kita terdiri daripada pelbagai kaum dengan agama, kepercayaan, adat resam, dan budaya yang berbeza, maka perpaduan yang kukuh sudah tentulah tidak dapat diwujudkan dengan mudah. Tanpa pelbagai usaha, perpaduan tidak akan datang bergolek begitu sahaja untuk kita nikmati. Perpaduan bukan sesuatu yang dapat diperoleh tanpa kesediaan kita untuk menerima dan mengamalkan nilai-nilai yang dapat mewujudkan perpaduan itu sendiri. Perpaduan juga bukanlah sesuatu yang kekal abadi dan dapat dinikmati berterusan. Pelbagai bentuk tindakan yang mencuba mengganggu dan menggugat perpaduan kaum sentiasa sahaja dilakukan oleh golongan yang ingin menangguk di air keruh. Oleh itu, isu-isu yang dapat menggugat perpaduan kaum perlu ditangani dengan segera supaya tidak berkembang menjadi ‘ledakan’ yang kelak akan memusnahkan kerukunan dan keharmonian kehidupan bermasyarakat.

No comments:

Post a Comment