Sunday 6 March 2011

MENJADI BANGSA YANG MEROSAKKAN BAHASA SENDIRI

AWANG Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan (Mingguan Malaysia, 2 Mei 2010) melontarkan pertanyaan, sukarkah untuk bertutur bahasa kebangsaan dengan betul? Dengan judul kecil ‘Bahasa Rojak dan Lam Thye’, Awang Selamat mengulas bahawa bertutur dalam bahasa kebangsaan yang dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris sudah menjadi lumrah. Walaupun ada kata dalam bahasa kebangsaan, bahasa Inggeris tetap menjadi pilihan. Daripada pertuturan harian, termasuk dalam majlis rasmi sampai kepada program radio, televisyen, dan iklan, kita dikatakan semakin terdedah kepada persekitaran bahasa rojak. Seolah-olah tidak sah bercakap tanpa diselitkan dengan bahasa Inggeris! Malah, sesetengahnya kelihatan ‘tergagap-gagap’ seperti berada dalam keadaan yang amat sukar untuk berbahasa kebangsaan seluruhnya jika tidak menyelitkan sepatah dua kata bahasa Inggeris. Maka, suka atau tidak, bahasa bercampur aduk ini kian menjadi bahasa komunikasi utama anggota masyarakat.
        Keadaan yang ditimbulkan oleh Awang Selamat itu memang sentiasa menjadi kerisauan kita kerana gejala bahasa rojak dilihat semakin tidak terkawal. Bahasa rojak sebagai bahasa komunikasi dalam sebilangan besar anggota masyarakat di negara kita didapati telah tumbuh dengan subur sekali. Di mana-mana, baik dalam suasana rasmi mahupun tidak, bahasa sedemikian tampaknya telah menjadi bahasa komunikasi utama semua orang daripada segenap lapisan masyarakat. Sangat sukar untuk melihat penggunaan bahasa kebangsaan yang tidak dicampur aduk dengan bahasa Inggeris. Kata, frasa, dan ayat bercampur baur yang memberikan suatu ciri baharu bahasa bagi bangsa kita sehingga bahasa rojak pernah dikatakan sebagai bahasa masyarakat Melayu moden kini. Penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul hampir-hampir tidak ditemukan lagi. Agaknya, kemajuan teknologi dalam bidang maklumat dan komunikasi telah memberikan pengaruh besar terhadap pola dan gaya interaksi masyarakat.
        Gejala bahasa rojak bukan baharu. Isu ini telah diperkatakan, dibincangkan, dibahaskan, dan diperdebatkan dalam pelbagai media dan forum pertemuan sehingga usaha atau langkah yang bersungguh-sungguh dituntut bagi membanteras penggunaannya. Beberapa kali dalam ruangan ini, saya turut menyentuh isu bahasa rojak dan melahirkan kebimbangan tentang gejala penggunaannya yang makin berkembang subur dalam kalangan masyarakat. Namun, sehingga kini tampaknya kita belum menemukan ‘ubat’ yang benar-benar mujarab untuk membendungnya daripada terus berkembang. Meskipun sudah banyak teguran disuarakan, bahkan tidak kurang kegiatan dan gerakan kesedaran bahasa dilaksanakan, namun, keadaannya tidak berubah, bahkan makin merebak. Mungkin selama ini masalah penggunaan bahasa rojak dianggap sebagai masalah biasa. Komunikasi masih berlangsung dengan lancar kerana yang dipentingkan adalah ‘asal orang faham’. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli terhadap masalah penggunaan bahasa rojak. Kesannya, penggunaan bahasa rojak yang jelas  memperlihatkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan telah membudaya dalam masyarakat kita sehingga tidak dapat lagi dibendung. 
        Mungkin mudah untuk mencari sebabnya, apatah lagi dengan melihat kehadiran kata atau frasa bahasa Inggeris dalam suatu pertuturan itu bukan suatu keperluan. Namun, tidak semudah itu pula untuk mengatasinya apabila kita berhadapan dengan sikap bahasa masyarakat. Memang diakui bahawa masyarakat kita merupakan masyarakat yang berbilang kaum dan sebilangan besarnya mungkin menggunakan lebih daripada satu bahasa dalam interaksi mereka. Malah, perkembangan dan kemajuan dalam segala aspek kehidupan kini semakin mengarahkan masyarakat bahasa untuk tidak menguasai satu bahasa sahaja. Oleh sebab itu, tidak sedikit yang menguasai lebih daripada dua bahasa. Penguasaan dua bahasa atau lebih oleh seorang penutur bahasa tentu sahaja berpengaruh terhadap penggunaan bahasanya. Dalam situasi demikian, kebanyakan orang terdorong mencampuradukkan bahasa mereka dengan bahasa asing. Selain itu, Sebilangan anggota masyarakat pula mungkin menganggap rendah dan tidak meyakini kemampuan bahasa kebangsaan dalam mengungkapkan fikiran dan perasaannya dengan lengkap, jelas, dan sempurna. Banyak orang juga mungkin tidak merasakan bahawa bahasa kebangsaan itu milik yang cukup bernilai untuk kehidupan berbangsa dan bernegara. Kepentingan menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul sebagai cerminan bangsa yang berjati diri tidak pernah dihayati dengan sepenuhnya. Lalu, hati mereka tidak pernah terluka dan perasaan mereka tidak pernah tersentuh apabila melihat bahasa kebangsaan dirosakkan dalam pelbagai bentuk dan cara. Malah, sebagai penutur dan pemilik bahasa kebangsaan, mereka tampaknya tidak lagi berbangga memiliki bahasa kebangsaan sendiri apabila turut sama merosakkannya.
        Sikap negatif terhadap bahasa kebangsaan ini tidak harus dibiarkan berkembang kerana memberikan kesan yang cukup besar terhadap bahasa kebangsaan. Namun, masalah bahasa rojak ini tidak akan ada penghujungnya selagi seluruh anggota masyarakat tidak turut sama menyelesaikannya. Pihak media elektronik, misalnya, dapat membatasi penggunaan bahasa rojak dengan tidak menyiarkan sebarang pertuturan yang menggunakan bahasa itu dalam apa-apa rancangannya. Penggunaan bahasa asing dalam penamaan sesebuah rancangan mungkin turut menjadi salah satu faktor pendorong berlakunya perilaku mencampuradukkan bahasa. Hal ini dapat diperhatikan dengan bertebarannya penggunaan bahasa yang bercampur aduk dalam rancangan yang disajikan. Para pemimpin pula harus memperlihatkan contoh penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul. Dengan kata lain, pembanterasan penggunaan bahasa rojak memerlukan tindakan nyata daripada semua pihak. Rasanya, tidak ada ‘ubat’ yang lebih mujarab  dan berkesan dalam membendung gejala bahasa rojak ini selain perubahan sikap kita sendiri terhadap bahasa kebangsaan. Sebagai rakyat negara ini, kita seharusnya mencintai dan menjaga bahasa kebangsaan. Setiap orang harus bersikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Setiap orang juga harus sentiasa berusaha menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan betul.  
        Bahasa kebangsaan tidak harus berdiri tegak sebagai lambang semata-mata, tetapi harus benar-benar berfungsi sebagai lambang jati diri bangsa dan negara. Keinginan kita untuk melihat bahasa kebangsaan memenuhi fungsinya itu menuntut pembinaan dan pengembangan bahasa tersebut, termasuk  usaha membina sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan anggota masyarakat. Kita memang telah melakukan pelbagai usaha untuk membina dan mengembangkan bahasa kebangsaan. Pelbagai kegiatan untuk meningkatkan mutu bahasa kebangsaan dan mutu penggunaannya juga telah dijalankan. Pelbagai pendekatan dan saluran turut digunakan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran dan sikap dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa secara menyeluruh. Meskipun demikian, kita masih merasakan bahawa segala hasil pembinaan bahasa masih belum benar-benar dapat dimasyarakatkan. Matlamat yang ingin dicapai dalam hal penggunaan bahasa kebangsaan masih jauh daripada tercapai. Sebilangan anggota masyarakat tampaknya masih bersikap tidak peduli atau endah tak endah. Oleh sebab itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran dan sikap positif terhadap bahasa kebangsaan agar kita tidak menjadi bangsa yang merosakkan bahasa kebangsaan sendiri.

No comments:

Post a Comment