Sunday 6 March 2011

MENGGALAS TANGGUNGJAWAB MELESTARIKAN BAHASA

DALAM ruangan ini, saya pernah menyuarakan ketiadaan badan khusus yang bertanggungjawab memulihara bahasa sukuan di negeri Sabah. Hal ini berkait dengan gesaan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) agar Kerajaan Negeri Sabah memberikan pertimbangan terhadap cadangan penubuhan badan khas yang bertanggungjawab menjaga kepentingan dan pembangunan bidang bahasa dan kesusasteraan tempatan (Utusan Borneo, 13 September 2010). Cadangan itu memang seharusnya diberi perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya memandangkan bahawa bahasa sukuan merupakan warisan budaya bangsa yang sangat bernilai sehingga usaha untuk melestarikannya harus ditangani secara serius. Malah, sesuai dengan kekayaan khazanah bahasanya, negeri ini sebenarnya memerlukan sebuah pusat penyelidikan bahasa yang bertanggungjawab mengendalikan penyelidikan tentang pelbagai aspek bahasa sukuan. Begitu banyak aspek bahasa sukuan yang belum dikaji, termasuk pemikiran dan pengetahuan masyarakat penuturnya.
        Memang tidak sedikit orang melihat kepentingan melestarikan bahasa sukuan ini, namun tidak banyak pula orang yang betul-betul memikirkan langkah yang dapat dan harus  dilakukan. Masalah ancaman kepupusan bahasa sukuan ini tidak dilihat sebagai masalah hidup matinya bangsa. Dalam ruangan ini, saya juga pernah mencadangkan agar kita mungkin dapat memikirkan suatu bentuk galakan kepada para pelajar yang menguasai bahasa sukuan. ‘Insentif khas’ kepada para pelajar yang dapat bertutur dan menguasai bahasa sukuan ini mungkin dapat diwujudkan untuk mendorong pengembangan bahasa sukuan dalam kalangan generasi muda. Kita pasti dapat membayangkan betapa ibu bapa akan berusaha memastikan anak-anaknya menguasai bahasa sukuan ini supaya dapat menerima ‘sesuatu’ apabila memasuki alam persekolahan kelak. Jika kecemerlangan pelajar dalam mata pelajaran tertentu sering diberi pertimbangan untuk menikmati pelbagai bentuk insentif, mengapa tidak ‘insentif khas’ diberikan kepada para pelajar yang dapat bertutur dan menguasai bahasa sukuan sebagai suatu bentuk galakan?
        Bahasa sukuan, seperti bahasa Bagahak, Abai, Begahak, Gana, Iranun, Kwijau, Lingkabau, Lobu, Melapi, Tagal, Timugon, Tombonuo, dan lain-lain yang menjadi alat komunikasi masyarakat suku kaum sebenarnya semakin diancam kepupusan disebabkan jumlah penuturnya yang semakin mengecil. Menurut ahli bahasa, tidak ada bahasa yang mampu bertahan daripada mengalami kepupusan jika tidak didukung oleh sekurang-kurangnya seratus ribu orang penuturnya. Keadaan ini menuntut perhatian pelbagai pihak. Sudah sampai masanya kita mengambil langkah yang lebih serius untuk memelihara dan melestarikan bahasa sukuan yang diwariskan oleh nenek moyang kita ini. Kita tidak harus berlengah lagi. Kita pasti tidak mahu kehilangan jati diri sebagai sebuah bangsa akibat pupusnya bahasa yang sekian lama kita warisi kerana apabila hilangnya bahasa Begahak, misalnya, maka dengan sendirinya lenyaplah suku kaum itu dari bumi Negeri di Bawah Bayu ini. Kewujudannya akan hanya tercatat dalam sejarah!
        Kelangsungan hidup bahasa sukuan di Sabah, seperti bahasa Bajau, Kadazan, Iranun, Rungus, Lotud, Kimaragang, Gana, Lundayeh, Kwijau, Serudung, Tagal, Tombonuo, dan lain-lain sebenarnya amat bergantung pada generasi muda sebagai generasi penerus. Namun, pada masa ini sebahagian besar generasi muda didapati tidak lagi menguasai bahasa suku kaum masing-masing. Mereka didapati begitu sukar, malah ada yang tidak tahu lagi bertutur dalam bahasa suku kaum masing-masing. Daripada kaji selidik tentang tahap penguasaan bahasa sukuan dalam kalangan generasi muda yang dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, didapati bahawa sebilangan besarnya tidak lagi menguasai bahasa sukuan masing-masing. Hal ini sudah pastilah menimbulkan kebimbangan kita, apatah lagi generasi muda dilihat sebagai kelompok yang sangat berperanan dalam menyambung dan memastikan kelangsungan hidup bahasa sukuan pada masa hadapan.
        Masalah ini sebenarnya tidak lepas daripada perkembangan kehidupan masyarakat. Perubahan kecenderungan berbahasa masyarakat ini membuatkan mereka semakin terasing daripada bahasa sukuan sendiri. Pada masa ini banyak keluarga yang tidak lagi menggunakan bahasa sukuan sebagai bahasa ibunda. Bahasa Tombonuo, misalnya, mungkin tidak lagi menjadi bahasa utama keluarga masyarakat Tombonuo, Kawananan, Makiang, atau Paitan. Ibu bapa tidak lagi membiasakan penggunaan bahasa sukuan sebagai alat komunikasi sehari-hari dalam keluarga. Dengan yang demikian, bahasa yang dominan di rumah mungkin bukan lagi bahasa Abai, Bisaya, Buakan, Kolod, Lingkabau, Lobu, Melapi, Rundum, Serudung, Tagal, Tatana, Tobilung, dan lain-lain. Akibatnya, anak-anak tidak lagi mengenali apatah lagi menguasai bahasa sukuan sendiri. Kalau di rumah dan dalam kalangan anggota masyarakat tidak lagi berbahasa sukuan, maka tiada kemungkinan lain yang bakal terjadi selain kehilangannya dari bumi di bawah bayu ini. Oleh itu, pelbagai langkah dan usaha yang lebih nyata dan berkesan memang perlu dilakukan melihat bahasa sukuan yang semakin hari semakin ditinggalkan.
        Kebimbangan akan terhapusnya bahasa sukuan dari bumi Negeri di Bawah Bayu ini memang dirasai dan disedari oleh banyak pihak. Malah, dalam kalangan masyarakat suku kaum itu sendiri, masalah ini semakin dirasai.  Bahasa-bahasa sukuan ini, baik bahasa Rungus, Sungai, Bajau, Tombonua, Sonsogon, Sondoyo, Kimaragang, Suluk, Ubian mahupun Tobilong sebenarnya memerlukan tindakan yang lebih serius untuk memastikannya tidak berkubur. Dalam hubungan ini, perhatian dan sikap kita untuk menempatkan bahasa sukuan ternyata belum begitu jelas. Pengembangan dan pelestarian bahasa sukuan ini memerlukan usaha bukan sekadar pendokumentasian. Pelbagai usaha yang telah dilakukan DBP Cawangan Sabah untuk melestarikan bahasa sukuan, seperti mendokumentasikan bahasa sukuan ini dalam bentuk daftar kata, glosari, dan kamus tidak dapat menjamin kelangsungan hidup bahasa sukuan kerana bahasa hanya akan hidup dan berkembang apabila ada penuturnya. Mungkin kita beranggapan bahawa persoalan bahasa sukuan ini akan dapat diselesaikan dengan penubuhan badan khusus yang menanganinya. Namun, yang tidak kurang pentingnya saya kira ialah kesedaran seluruh anggota masyarakat untuk turut menggalas tanggungjawab melestarikan bahasa sukuan. Keterlibatan seluruh anggota masyarakat dalam usaha ini merupakan keperluan yang mutlak. Hidup matinya bahasa-bahasa sukuan ini menjadi tanggungjawab setiap orang yang mengaku dirinya sebagai orang Bajau, Dusun, Iranun, Kadazan, Murut, Rungus, Sungai, dan lain-lain. Oleh itu, peranan ibu bapa dalam mengajarkan dan menggunakan bahasa sukuan dalam kehidupan keseharian anak-anaknya, misalnya, dapat membantu melestarikan bahasa tersebut. Keluarga merupakan penerus tradisi budaya. Anak-anak harus diajar berkomunikasi dengan menggunakan bahasa yang diwarisi. Ibu bapa dengan sedar dan bijaksana dapat membimbing anak-anak mereka untuk mengenali, memahami, dan menghargai kekayaan budaya tradisi mereka sendiri. Dengan kesedaran yang tertanam kuat, mereka pasti berasa lebih bangga untuk menggunakan bahasa itu dalam kehidupan sehari-hari. Dengan kata lain, usaha melestarikan bahasa sukuan ini hanya akan berhasil jika memperoleh perhatian, bantuan, dan dukungan daripada pelbagai pihak dan seluruh anggota masyarakat.

No comments:

Post a Comment