Wednesday 2 March 2011

MENINGKATKAN DAYA SAING BAHASA

DALAM era globalisasi ini, bahasa Inggeris ternyata memiliki pengaruh yang sangat kuat. Bahasa Melayu dan kebanyakan bahasa lain di dunia tampaknya tidak berdaya untuk menyaingi bahasa Inggeris dari segi kepentingan dan keperluannya dalam pelbagai bidang kehidupan. Globalisasi telah  memungkinkan bahasa Inggeris untuk menjelajah ke seluruh pelosok dunia dan memasuki setiap ranah kehidupan manusia. Bahasa Inggeris benar-benar telah menjadi bahasa antarabangsa yang digunakan oleh ratusan juta manusia di dunia.
        Dalam persaingan yang dimunculkan oleh globalisasi ini, penguasaan bahasa Inggeris menjadi suatu keperluan yang tidak dapat dinafikan. Bahasa itu perlu dikuasai untuk membolehkan sebuah bangsa maju dan berkembang. Hal itu demikian kerana bahasa Inggeris digunakan dalam segala aspek kehidupan. Maklumat di internet, misalnya, kebanyakannya terdapat dalam bahasa Inggeris. Ilmu pengetahuan dan teknologi terkini yang amat diperlukan untuk membolehkan sebuah bangsa bersaing dengan sebuah bangsa lain masih tersedia dalam bahasa Inggeris. Oleh itu, tanpa penguasaan bahasa Inggeris, sesebuah bangsa itu dikatakan tidak akan maju dan akan tersingkir daripada persaingan dunia.
        Usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang sama ada dari segi ekonomi, teknologi, keilmuan, pendidikan, atau politik turut memberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini. Untuk menjadi bangsa yang maju, bahasa itu harus dikuasai oleh masyarakat kita. Kita tidak dapat melahirkan bangsa yang memiliki ilmu pengetahuan dan teknologi moden yang begitu penting untuk mendorong kemajuan dalam pelbagai aspek kehidupan jika bahasa yang menjadi sumber pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi itu sendiri tidak dikuasai. Justeru, dalam bidang pendidikan, misalnya, pelbagai langkah dilakukan untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Kaedah pengajarannya dimantapkan dengan menambah dan melengkapkan keperluan alat bantu pengajaran-pemelajaran.
        Memang, pada masa ini bahasa Melayu didapati masih digunakan pelbagai bidang kehidupan masyarakat kita. Bahasa Melayu masih digunakan dalam bidang pendidikan. Bahasa Melayu masih digunakan di pasar, pusat beli-belah, pejabat, atau dalam acara rasmi tertentu. Namun, dalam pada itu, kita harus mengakui bahawa kehidupan bahasa Melayu didapati semakin sukar. Globalisasi secara perlahan-lahan telah mengikis keperluan dan kepentingan terhadap bahasa Melayu. Kecenderungan berbahasa Inggeris yang kian meluas dalam kalangan anggota masyarakat memberikan petunjuk bahawa keperluan dan kepentingan bahasa Melayu semakin tidak dirasai. Mereka mungkin berpandangan bahawa bahasa Melayu tidak akan dapat membawa mereka ke mana-mana. Malah, sebilangan anggota masyarakat mungkin tidak memerlukan bahasa itu untuk memenuhi keperluan kehidupan mereka di negara ini. Untuk membeli-belah, untuk berbual, untuk keperluan pendidikan, dan untuk mendapatkan pekerjaan, mereka boleh sahaja menggunakan bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris. Dalam hubungan inilah, kita harus memperhebat usaha untuk membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Kita memang tidak dapat mengasingkan diri daripada dunia yang menggunakan bahasa Inggeris, dan kita juga tidak perlu memusuhi bahasa Inggeris. Sebaliknya, kita harus meningkatkan daya saingnya agar terus diperlukan dan dirasai kepentingannya, terutama dalam bidang keilmuan. Bahasa Melayu harus mampu mengungkapkan pengetahuan dan pemikiran masyarakat. Dalam hal ini, di samping pengisiannya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi terkini, kita dapat melihat betapa pentingnya bahasa Melayu dikayakan dari segi kosa katanya. Keterbatasan kosa kata bahasa Melayu selama ini turut mendorong orang untuk menggunakan bahasa Inggeris.
        Bahasa Melayu telah mengalami perkembangan sesuai dengan tuntutan zaman. Daripada bahasa yang dianggap serba kekurangan, bahasa itu telah dibina dan dilengkapkan sehingga berhasil menempatkan diri sebagai bahasa ilmu. Perancangan ejaan, istilah, kamus, dan nahu yang dijalankan telah memperlengkap bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pengungkapan ilmu. Kemampuan bahasa Melayu terserlah melalui keupayaannya sebagai alat untuk memperoleh dan menyampaikan ilmu pengetahuan dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi. Karya-karya ilmiah di institusi pengajian tinggi baik buku rujukan, tesis, disertasi, dan hasil penyelidikan dalam pelbagai bidang yang ditulis dalam bahasa Melayu menunjukkan kemampuannya sebagai alat penyampaian ilmu pengetahuan dan teknologi.
        Untuk meningkatkan daya saing bahasa Melayu, kemampuannya itu perlu terus ditingkatkan. Selain menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan  teknologi, bahasa Melayu harus juga dapat menjadi alat untuk tujuan ekonomi dan perdagangan, budaya, pendidikan, dan pengembangan kerjaya seseorang. Peranan dan fungsi bahasa Melayu harus ditingkatkan secara lebih nyata. Bahasa Melayu harus dapat memenuhi segala keperluan dan tuntutan masyarakat yang sedang membangun dan berubah dengan pesat. Bahasa yang digunakan dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ekonomi, pentadbiran, perdagangan, politik, budaya, sains, teknologi dan sebagainya sudah pasti lebih diperlukan.
        Oleh itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk memperkasakan dan mengukuhkan bahasa Melayu supaya benar-benar menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh, bahasa Melayu akan terus berdiri kukuh dan pasti mampu memenuhi tuntutan zaman. Kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris penting untuk dikuasai bagi meningkatkan daya saing bangsa. Namun, keinginan untuk menguasai bahasa itu tidak seharusnya menjadikan kita rakyat yang mengabaikan penguasaan bahasa sendiri. Pengguasaan bahasa Inggeris seharusnya berjalan seiring dengan penguasaan bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment