Saturday 5 March 2011

JADILAH BANGSA YANG MENGHARGAI BAHASA KEBANGSAAN SENDIRI

BEBERAPA hari yang lalu, pejabat saya didatangi seorang pemilik syarikat pembinaan atas urusan permohonan pengesahan nama kondominium yang bakal dimajukan syarikatnya di kawasan pinggir Kota Kinabalu. Dalam syarat permohonan iklan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), pengesahan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dari segi penggunaan bahasanya diperlukan terlebih dahulu oleh pihak DBKK. Kedatangan beliau pada pagi itu jelas berbekalkan harapan tinggi  agar Dewan Bahasa dan Pustaka dapat mengesahkan nama ‘Park Avenue Condominium’ yang ingin digunakannya setelah permohonan awal yang dibuat melalui surat sebelum itu ditolak atas alasan bahawa nama yang ingin digunakannya itu merupakan nama dalam bahasa Inggeris. Dalam pertemuan itu, beliau bersungguh-sungguh mempertahankan penggunaan nama ‘Park Avenue Condominium’ sehingga seperti ‘mendesak’ DBP supaya mengesahkan nama yang dianggap lebih bernilai dagang, lebih ‘umpph’, lebih hebat, lebih gah, dan lebih menarik. Nama dalam bahasa kebangsaan seperti ‘Kondominium Bukit Indah’,‘Kondominium Bukit Permai’, dan sebagainya dianggap tidak dapat melambangkan status atau prestij kondominium berkenaan, walaupun status atau prestij sesuatu itu tidak berpaut pada nama semata-mata. Pertemuan itu telah memberikan kesempatan juga kepada saya untuk meluahkan rasa kesal dengan sikap sebilangan anggota masyarakat yang merendah-rendahkan atau memperlekehkan bahasa kebangsaan sendiri.
        Sebenarnya, permohonan menggunakan nama taman perumahan, hotel, dan sebagainya dalam bahasa Inggeris diterima saban hari. Hal ini secara jelas memperlihatkan bahawa rasa bangga akan bahasa kebangsaan belum lagi tertanam dalam diri setiap orang yang mengakui dirinya sebagai rakyat negara ini. Bahkan, sebilangannya didapati sangat meremehkan bahasa kebangsaan sendiri. Mereka cenderung memberikan nilai yang tinggi kepada bahasa Inggeris. Mereka menganggap bahasa Inggeris lebih tinggi darjatnya daripada bahasa kebangsaan. Penggunaan nama dalam bahasa kebangsaan dianggap kurang berprestij, kurang bernilai mewah, kurang canggih, dan kurang bergaya.
        Sikap yang ditunjukkan oleh pemilik syarikat pembinaan berkenaan terhadap bahasa kebangsaan barangkali dapat dijadikan petunjuk tentang sikap bahasa masyarakat. Sikap mendewa-dewakan bahasa Inggeris masih terus menebal dalam diri sebilangan anggota masyarakat. Mereka tidak melihat bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang cukup bernilai bagi kehidupan sebagai sebuah bangsa dan negara. Bahasa kebangsaan dilihat sebagai bahasa yang serba kekurangan.
        Bahasa kebangsaan merupakan bahasa milik kita bersama sebagai sebuah bangsa. Rasa memiliki bahasa itu dapat menimbulkan rasa tanggungjawab dalam diri kita untuk memastikan kelangsungan hidupnya, dan menjaganya agar terus digunakan dalam kehidupan sehari-hari, di samping menjaga kemurniannya daripada sebarang pencemaran serta menggunakannya dengan baik dan betul. Sikap sebilangan anggota masyarakat terhadap bahasa kebangsaan didapati sering negatif. Mereka sering berasa tidak yakin akan kemampuan bahasa kebangsaan dalam mengungkapkan fikiran, perasaan, atau konsep dengan lengkap, jelas, tepat, dan sempurna. Sikap demikian tentu sahaja memberikan kesan yang tidak sedikit terhadap perkembangan bahasa kebangsaan kerana keberhasilan usaha pembinaan dan pengembangan bahasa itu  amat dipengaruhi oleh sikap dan pandangan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan itu sendiri. Kita mengingini bahasa kebangsaan menjadi bahasa yang tinggi tarafnya, bukan sekadar bahasa yang digunakan sebagai bahasa pergaulan di pasar-pasar atau bahasa perbualan di kedai-kedai kopi. Kita berusaha menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa moden. Namun, keinginan itu hanya dapat dipenuhi jika kita memiliki sikap yang positif terhadap bahasa kebangsaan. Penghargaan kita terhadap bahasa kebangsaan harus lebih tinggi daripada bahasa asing. Kita harus bersedia memberikan tempat dan kedudukan yang sewajarnya kepada bahasa kebangsaan.
        Dalam kegiatan bahasa masyarakat, didapati bahawa penghargaan yang berlebih-lebih terhadap bahasa Inggeris telah menyebabkan bukan sahaja bahasa kebangsaan, tetapi juga bahasa sukuan makin terpinggir. Hampir di setiap ruang, kita dapat menemukan penggunaan bahasa Inggeris dengan mudah berbanding dengan bahasa kebangsaan dan bahasa sukuan. Bahasa Inggeris tampaknya telah menjadi bahasa utama, bahkan tidak sedikit keluarga yang sudah menggunakannya sebagai bahasa pertama. Kini sudah jarang-jarang terdengar orang menggunakan bahasa Begahak, bahasa Iranun, dan bahasa sukuan tertentu yang lain. Hal ini tentu sahaja menjadi ancaman terhadap kelangsungan hidup bahasa kebangsaan dan bahasa sukuan. Masalah penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa sukuan yang kian berkurangan jika tidak ditangani secara serius akan menyebabkan bahasa-bahasa itu lenyap di tengah-tengah penggunaan bahasa asing yang terus memarak.
        Kita tidak boleh membiarkan keadaan yang menjejaskan usaha mengangkat martabat bahasa kebangsaan ini. Oleh itu, salah satu usaha yang perlu mendapat dukungan yang terus menerus ialah usaha mengubah sikap anggota masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Sikap positif terhadap bahasa akan melahirkan kesetiaan bahasa yang mendorong masyarakat mempertahan bahasanya. Sikap positif itu  juga akan melahirkan kebanggaan bahasa yang mendorong masyarakat mengembangkan bahasanya dan menggunakannya.  Dalam hubungan ini, DBP akan terus menjalankan pelbagai usaha untuk memupuk dan meningkatkan sikap positif anggota masyarakat terhadap bahasa kebangsaan. Sebagai rakyat negara ini, kita seharusnya memiliki sikap positif terhadap bahasa kebangsaan. Kita harus mencintai, menghargai, dan menghormati bahasa kebangsaan kerana siapa lagi yang harus mencintai, menghargai, dan menghormati bahasa kebangsaan selain rakyatnya sendiri. Janganlah kita menjadi bangsa yang sanggup meremehkan, merendah-rendahkan, dan menghina bahasa kebangsaan sendiri!

1 comment:

  1. saya bsetuju dgn pndapat en.Zubaidi ini...kini, bahasa kebangsaan seolah-olah sepi atau terpinggir di bumi sndiri..oleh itu, bsama-samalah kita memartabatkan kmbli bhasa kbngsaan ngara kita...Thanks pd en.Zubaidi atas pndapat anda utarakn..

    ReplyDelete