Sunday 6 March 2011

MEMELIHARA KESEIMBANGAN SOSIAL

PELBAGAI aneka fauna dan flora yang terdapat di alam ini sebenarnya saling berperanan dalam mewujudkan keseimbangan alam. Namun, dengan semakin bertambahnya keperluan kehidupan, mengekalkan kepelbagaian fauna dan flora itu supaya keseimbangan alam tetap terpelihara tampaknya bukanlah perkara mudah. Atas alasan pembangunan, misalnya, jutaan hektar hutan diterangi. Hal ini menyebabkan kehidupan haiwan yang menjadi penghuni hutan turut terancam akibat kemusnahan habitat. Lalu, pelbagai program dilancarkan sebagai usaha memulihkan keseimbangan alam yang terganggu. Pengawalan dari segi undang-undang, mewujudkan kawasan perlindungan, mengadakan rancangan pemulihan dan pengurusan habitat adalah antara langkah yang dilakukan untuk memastikan spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan seperti badak sumbu (Dicerorhinus sumatrensis), penyu, tumbuhan berbunga pakma (Rafflesia procei), dan pokok hutan tualang (Koompassia excelsa) tidak kehilangan habitat dan pupus dari muka bumi. Kita tidak mahu burung tebang mentua (Rhinoplax vigil) pupus seperti mana burung laut (Pinguinus impennis) dan burung hijrah (Ectopistes migratorius). Kepupusan satu spesies haiwan atau tumbuh-tumbuhan akan menyebabkan berlakunya gangguan terhadap keseimbangan alam.
        Dalam banyak hal, langkah menangani kepupusan flora dan fauna tampaknya jauh lebih bersungguh-sungguh dan penting daripada usaha mengekalkan kelangsungan hidup bahasa, padahal menyelamatkan bahasa sukuan dapat memelihara keseimbangan sosial. Keprihatinan dan kerisauan kita tentang ancaman kepupusan penyu, misalnya, tampaknya jauh lebih besar berbanding dengan ancaman kehilangan penutur bahasa Begak, bahasa Tombonua, bahasa Sonsogon, bahasa Sondoyo, bahasa Ubian, atau bahasa Tobilong. Kepupusan bahasa sukuan hanya merusuhkan hati dan fikiran sebilangan orang atau pihak tertentu. Bagi sebilangan besar anggota masyarakat, kepupusan bahasa sukuan hanyalah perkara kecil yang tidak pernah mencemaskan mereka. Saya berasa gembira apabila membaca tulisan kolumnis Raymond Tombung dalam dua keluaran lalu. Keresahan bergolak di hati Raymond yang begitu prihatin terhadap kelangsungan hidup bahasa sukuan. Melalui tulisan ‘Semua mesyuarat persatuan budaya dan etnik mesti guna bahasa ibunda!’ (Utusan Borneo, 16 Mei 2010) dan ‘Kenapa perlu memelihara bahasa?’ (Utusan Borneo, 23 Mei 2010), beliau berusaha menggugah kesedaran dan membangunkan kepedulian masyarakat tentang peri pentingnya bahasa sukuan dikekalkan. Tulisan-tulisan seperti itu saya kira cukup penting untuk memberikan kesedaran secara berterusan kepada masyarakat agar tidak meninggalkan bahasa sukuan masing-masing. juga saya turut menyentuh isu menyusutnya jumlah penutur dan penggunaan bahasa sukuan dalam kalangan anggota masyarakat dalam ruangan ini beberapa kali.
        Keadaan dan masalah yang dihadapi bahasa sukuan pada masa ini sebenarnya sering diungkapkan dalam pelbagai perbincangan dan forum. Hal ini menunjukkan bahawa kepupusan bahasa sukuan bukan isu kecil. Hilangnya bahasa dikatakan akan mengakibatkan lenyapnya jati diri bangsa dan nilai warisan yang amat berharga. Hilangnya bahasa Abai, Begak, Gana, Kwijau, Lingkabau, Lobu, Melapi, Tagal, dan Timugon, misalnya, akan mengakibatkan lenyapnya jati diri suku kaum berkenaan. Walaupun belum ada kajian khusus dan menyeluruh tentang tahap ancaman kepupusan bahasa sukuan ini, namun daripada pemerhatian didapati ada gejala yang menunjukkan bahawa kelangsungan hidup bahasa sukuan ini semakin terancam. Masyarakat penuturnya semakin cenderung meninggalkan bahasa tersebut. Malah, terdapat beberapa bahasa sukuan yang sangat berpotensi untuk pupus dalam tempoh yang cepat kerana bahasa itu bukan sahaja tidak mempunyai tradisi tulisannya, tetapi juga bilangan penuturnya yang sidikit. Bahasa-bahasa sukuan berkenaan mungkin mengambil masa beberapa generasi sahaja untuk lenyap. Oleh itu, kelangsungan hidup bahasa sukuan ini seharusnya mendapat perhatian yang sungguh-sungguh daripada semua pihak kerana masalah bahasa sukuan merupakan masalah seluruh anggota masyarakat, bukan masalah orang atau pihak tertentu sahaja. Pelestariannya menjadi tanggungjawab bersama seluruh anggota masyarakat. Bahasa sukuan akan tetap wujud apabila masyarakat suku kaum yang menjadi pemiliknya mencintai dan menuturkannya dalam pelbagai kesempatan berbahasa.
        Memang diakui bahawa bahasa sukuan masih digunakan sebagai alat komunikasi di kampung-kampung. Terdapat sebahagian anggota masyarakat yang masih setia menggunakan bahasa sukuan masing-masing. Akan tetapi, ada beberapa gejala yang mungkin memberikan petunjuk bahawa kehidupan bahasa sukuan kini memerlukan lebih banyak perhatian daripada pelbagai pihak. Kebimbangan ini bukanlah tidak berasas. Dalam kehidupan masa kini, dapat diperhatikan bahawa bahasa sukuan semakin ditinggalkan oleh sebilangan besar masyarakat suku kaum. Dari masa ke masa, mereka kian menjadi asing terhadap bahasa dan budaya sendiri. Mungkin tidak banyak lagi anggota masyarakat Kadazandusun yang mengenal ungkapan ‘miput pusod’ dan ‘opuak hapap menangkus’. Begitu juga ungkapan seperti ‘dapai kapatai, asal magisa isa’ mungkin tidak lagi dikenal oleh sebilangan masyarakat suku kaum Iranun. Daripada kaji selidik tentang tahap penguasaan bahasa sukuan dalam kalangan generasi muda yang pernah dijalankan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, misalnya, didapati bahawa sebilangan besarnya tidak lagi menguasai bahasa sukuan masing-masing. Seorang pelajar, misalnya, tidak boleh lagi bertutur sama ada dalam bahasa Sungai atau bahasa Bajau, meskipun bapanya berbangsa Sungai dan ibunya berbangsa Bajau. Begitu juga seorang pelajar lain yang tidak boleh lagi bertutur dalam bahasa Rungus walaupun kedua-dua ibu bapanya berbangsa Rungus. Ketakmampuan kaum muda menggunakan bahasa sukuan masing-masing ini merupakan gejala awal pupusnya suatu bahasa. Ahli bahasa menyatakan bahawa suatu bahasa itu berada dalam keadaan ‘terancam’ apabila penutur bahasa hanya yang berusia 20 tahun ke atas.
        Kini, mungkin agak sukar ditemukan keluarga masyarakat suku kaum, khusus di bandar-bandar, berkomunikasi dalam bahasa sukuan antara sesama sendiri. Ibu bapa tidak lagi mengajarkan bahasa sukuan kepada anak-anak Keadaan ini menyebab terputusnya pewarisan bahasa sukuan daripada satu generasi kepada satu generasi berikutnya. Menurut banyak ahli bahasa, keadaan ini merupakan permulaan kepupusan bahasa. Bahasa itu juga dikatakan menuju kepupusannya apabila tidak lagi diwariskan kepada generasi selanjutnya. Jumlah orang yang menggunakan bahasa sukuan akan terus menurun sehingga tidak ada lagi orang yang menggunakannya. Akhirnya, bahasa itu akan pupus.
        Memang ada sejumlah langkah yang dapat dilakukan untuk tujuan melestarikan bahasa sukuan. DBP Cawangan Sabah, misalnya, telah menjalankan usaha mendokumentasikan bahasa sukuan dalam bentuk daftar kata, glosari, dan kamus. Namun, saya kira tidak ada cara lain yang lebih berkesan daripada menyuburkan penggunaannya di rumah. Kita harus memastikan bahasa itu terus menjadi bahasa komunikasi dalam lingkungan keluarga dan juga dalam lingkungan masyarakat. Dalam hubungan ini, ibu bapa sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam  menanamkan kesedaran akan pentingnya penggunaan bahasa sukuan dalam diri anak-anak. Apabila kesedaran ini telah tertanam kuat dalam diri mereka sejak awal, maka dengan sendirinya akan tumbuh rasa bangga untuk memelihara dan menggunakan bahasa sukuan mereka dalam kehidupan sehari-hari. Tentulah sayang sekali jika anak daripada suku kaum Abai, Begak, Gana, Kwijau, Lingkabau, Lobu, Melapi, Tagal, dan Timugon tidak mampu lagi bertutur dalam bahasa sukuan masing-masing! 

No comments:

Post a Comment