Wednesday 2 March 2011

MEMURNIKAN BAHASA MASYARAKAT

MELALUI ruangannya dalam akhbar Mingguan Malaysia (30 Januari 2011), Siti Jarum  menyentuh penggunaan bahasa dalam kalangan penyampai di sesetengah radio swasta yang dianggap kasar dan biadab yang terkeluar daripada tatasusila orang Melayu. Menurut Siti Jarum, penyiar radio berkenaan menggunakan kata aku dan korang (kau orang) apabila bercakap dengar pendengar. Malah, dalam interaksi langsung antara penyiar dengan pendengar melalui telefon, penyiar itu juga dikatakan menggunakan kata ‘hoi’ kepada pendengar di samping ketawa mengilai-ilai (macam zombi atau perempuan di lorong-lorong!). Memetik tulisan Siti Jarum, “Kalau orang kata mendengar radio dapat menenangkan fikiran, sebaliknya yang dirasai apabila mendengar siaran radio berkenaan. Penggunaan bahasa oleh penyiarnya boleh menaikkan darah!” Dalam hal ini, saya suka menurunkan pantun empat kerat yang dipetik daripada http://www.seribahasa.com/ yang berikut:

Burung tekukur terbang ke laut,
    Mari hinggap pokok jati;
Orang bercakap sedap mulut,
    Kita mendengar sakit hati.

Sebenarnya, memang demikianlah bentuk bahasa yang kita gunakan sehari-hari. Semasa berbual-bual dengan teman, bahasa dalam bentuk sedemikian memang menjadi bahasa pertuturan atau perbualan kita. Jadi, apa yang perlu ‘dibising-bisingkan’ kerana seperti yang dikatakan oleh Siti Jarum, kebanyakan orang menganggap penggunaan bahasa yang penuh dengan bahasa pasar dan bahasa rojak itu sebagai sesuatu yang biasa. Memang itulah kenyataannya! Dalam kegiatan bahasa, kita memang sering tidak memperhatikan situasi penggunaannya. Oleh sebab itu, bahasa yang kita gunakan baik di pasar, di kedai kopi, di pejabat, atau di corong radio adalah sama sahaja, tidak ada bezanya. Kita menggunakan ragam bahasa yang sudah sebati dengan lidah kita itu dalam semua situasi. Dalam tulisan saya dua minggu yang lalu, saya menampilkan isu yang sama, iaitu majlis rasmi yang bergelimang dengan penggunaan bahasa rojak. Sebilangan besar yang hadir juga mungkin ‘tidak berasa apa-apa’ disebabkan kebiasaan, sama ada mendengar atau menuturkannya. Penggunaan bahasa yang bercampur aduk itu tidak menggugah hati dan perasaan mereka.
Memang sebilangan besar penyiar radio didapati tidak menggunakan bahasa yang baik. Dengan kata lain, mereka menggunakan bahasa pasar dan bahasa rojak sewaktu mengendalikan siaran, dan masalah penggunaan bahasa oleh penyiar di radio bukan masalah baharu. Persoalannya, adakah wajar penyiar berkenaan menggunakan bahasa sedemikian? Sebagaimana yang dipersoalkan oleh Siti Jarum, adakah untuk ‘menghidupkan’ siaran itu, kita harus membiadabkan diri dan menggunakan kata-kata kasar dan bahasa seperti di pasar ikan?  Mungkin, alasan utama menggunakan bentuk bahasa sedemikian adalah untuk menjadikan siaran itu lebih dekat dengan pendengarnya. Penggunaan ‘bahasa yang sama’, iaitu bahasa pasar dan bahasa rojak dianggap dapat membina kemesraan dan mengikat kebersamaan antara penyiar dengan pendengar.
Sebagai sarana komunikasi masyarakat pelbagai bahasa, memang diwujudkan siaran yang menggunakan dialek tempatan atau bahasa sukuan tertentu supaya antara penyiar dan pendengar yang merupakan penutur dialek atau bahasa sukuan berkenaan memiliki pengertian yang sama ketika berinteraksi, dan dengan itu tujuan komunikasi tercapai. Namun, lain pula halnya jika siaran itu dikendalikan dalam bahasa kebangsaan. Bahasa yang ditampilkan haruslah bahasa yang baik. Oleh sebab itu, dahulu, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi pernah meminta orang ramai supaya membuat aduan kepada pihak kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang penggunaan bahasa pasar oleh para penyiar bagi membatasi penggunaannya yang begitu meluas. Hal itu merupakan sesuatu yang wajar kerana radio sebagai salah satu media yang akrab dengan masyarakat seharusnya memberikan contoh penggunaan bahasa yang baik dan betul. Seharusnya, semasa mengendalikan siaran, penyiar menggunakan bahasa yang baik kerana penyiar sebenarnya turut mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anggota masyarakat dalam penggunaan bahasa yang baik, bukan sebaliknya makin menyuburkan bentuk bahasa pasar dan bahasa rojak. Oleh itu, selain memperdalam pengetahuan bahasa dalam kalangan penyiarnya, pihak radio juga harus lebih memperhatikan rancangan atau siaran yang akan disajikan agar turut menyumbang kepada pembinaan budaya berbahasa yang baik dalam masyarakat.
Penggunaan bahasa oleh penyiar sebagaimana yang dikesalkan oleh Siti Jarum itu sebenarnya merupakan cerminan budaya berbahasa masyarakat kita keseluruhannya. Justeru, kita harus menyedari bahawa masalah bahasa ini sebenarnya merupakan masalah kita bersama. Penggunaan bahasa bahasa pasar dan bahasa rojak dalam pelbagai rancangan yang disiarkan melalui media elektronik itu bukan masalah penerbit dan penyiar semata-mata kerana penggunaan bahasa dalam siaran itu sebenarnya amat dipengaruhi oleh penggunaan bahasa masyarakat seluruhnya. Oleh sebab itu, untuk membatasi penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak yang meluas ini, kita tidak ada pilihan lain selain meningkatkan kesedaran seluruh anggota masyarakat tentang peri pentingnya bahasa yang baik dan betul digunakan dalam kegiatan berbahasa mereka. Dalam hal ini, undang-undang saya kira bukanlah penyelesai segala-galanya. Penguatkuasaan penggunaan bahasa melalui undang-undang tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak sepenuhnya. Undang-undang tidak akan berkesan sepenuhnya untuk meningkatkan kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap penggunaan bahasa yang baik dan betul. Oleh sebab itu, jauh lebih penting ialah membangunkan dan menciptakan budaya dan kebiasaan berbahasa yang baik dan betul.
Seperti yang saya katakan dahulu, masalah bahasa pasar dan bahasa rojak ini tampaknya sangat sukar diselesaikan kerana dengan bahasa itulah kita membesar dan membesarkan anak-anak. Dalam hubungan itu,kita mungkin pernah mendengar cerita, kononnya untuk mengajar burung tiung bercakap, lidahnya perlu diasah dengan cincin emas terlebih dahulu. Agaknya, lidah sebilangan besar anggota masyarakat yang sudah sebati dengan bahasa pasar dan bahasa rojak itu juga perlu ‘diasah’ untuk memurnikan bahasa mereka!

No comments:

Post a Comment