Sunday 6 March 2011

MENJADI ASING DI BUMI SENDIRI

APABILA melihat pembinaan bangunan-bangunan gadang yang menjadi cerminan pertumbuhan pesat bandar-bandar di negeri ini, kita pasti berasa gembira dan bangga. Pembangunan pesat yang berlangsung hasil kemakmuran yang dinikmati dan kemajuan yang dicapai telah mengubah wajah bandar-bandar kita. Namun, apabila melihat nama-nama yang dicadangkan untuk bangunan yang sedang dalam pembinaan itu, kita pasti berasa sebaliknya, sedih dan kecewa mengenang nasib bahasa kebangsaan yang semakin dipinggirkan. Bahasa kebangsaan tampaknya tidak lagi menjadi keutamaan bagi sebilangan anggota masyarakat. Bahasa kebangsaan seolah-olah tidak padan dan tidak gah untuk digunakan dalam penamaan bangunan yang bakal berdiri megah itu sehingga kita harus menggunakan nama seperti One Place Mall dan Darvel Bay Plaza. Bahasa kebangsaan seolah-olah hanya layak untuk digunakan dalam penamaan perniagaan kecil yang berada di ceruk-ceruk bangunan.
        Pada masa ini, hampir setiap pusat beli-belah, taman perumahan, dan hotel yang baharu dibuka, malah yang sedang dalam pembinaan seolah-olah wajib menggunakan nama dalam bahasa Inggeris, kononnya, supaya kelihatan lebih gah, lebih bergaya, dan lebih komersial. Seolah-olah dengan menggunakan bahasa Inggeris itu, perniagaannya akan lebih maju dan pelanggannya akan lebih ramai, padahal sebahagian besar sasarannya ialah bangsa kita sendiri yang sebahagian besarnya menggunakan bahasa kebangsaan, bukan bahasa Inggeris. Bagi sebahagian besar anggota masyarakat, hal ini  mungkin dianggap sebagai hal yang remeh. Bagi mereka, bahasa apa pun yang digunakan bukanlah sesuatu yang begitu penting difikirkan. Oleh sebab itu, nama-nama asing pada bangunan yang berdiri megah dan menjulang tidak akan menyentuh perasaan mereka kerana nama seperti  One Place Mall dan Darvel Bay Plaza itu bagi mereka hanyalah nama semata-mata.   
        Penggunaan bahasa Inggeris, termasuk dalam penamaan taman perumahan, hotel, pusat beli-belah, dan sebagainya semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Kita semakin ghairah menggunakan bahasa itu untuk kelihatan sebagai bangsa yang maju. Makanya, jika berjalan-jalan di pekan dan bandar di negeri kita, dengan mudah mata kita dapat melihat nama perniagaan, hotel, dan pusat beli-belah yang menggunakan bahasa Inggeris. Nama Ocean Hotel, The Executive Hotel, Borneo Rainforest Lodge, Grace Residence Hotel, dan De Leon Hotel adalah antara sekian banyak contoh penggunaan bahasa Inggeris yang semakin marak di persekitaran kita. Penggunaan bahasa Inggeris yang tidak di tempatnya itu tentulah makin menambah kelukaan hati sebahagian kita yang ingin melihat bahasa kebangsaan perkasa di bumi sendiri.
        Memang tidak jadi masalah dan tidak pernah dipermasalahkan jika kita menggunakan bahasa Inggeris dalam situasi dan di tempat yang memang menuntut penggunaannya. Bahasa Inggeris diakui sebagai bahasa antarabangsa dan orang zaman ini dituntut supaya mampu berbahasa Inggeris. Namun, penggunaan bahasa itu dalam situasi yang seharusnya menonjolkan penggunaan bahasa kebangsaan sendiri memperlihatkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan yang semakin hilang. Bahasa kebangsaan tidak lagi dianggap sebagai jati diri bangsa yang memberikan kebanggaan. Bahasa kebangsaan juga tidak lagi dilihat sebagai martabat dan maruah bangsa yang perlu dijaga dan dipertahankan. Sebaliknya, bahasa kebangsaan sentiasa dilihat sebagai bahasa yang serba kekurangan dan tidak mampu memajukan bangsa sehingga pada setiap kesempatan sentiasa sahaja mereka mendahulukan dan mengutamakan bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris yang semakin mewarnai citra bandar-bandar kita ini jelas memperlihatkan sikap mereka terhadap bahasa kebangsaan sendiri kerana bangsa yang mencintai dan berbangga dengan bahasa kebangsaannya sudah pasti mendahulukan dan mengutamakan penggunaannya. Dalam hal ini, tidaklah berlebih-lebihan jika dikatakan bahawa sebilangan anggota masyarakat sebenarnya sudah tidak memiliki harga diri sebagai bangsa.
        Penggunaan nama dalam bahasa Inggeris seperti One Place Mall dan Darvel Bay Plaza itu jelas bukan kerana hendak mencapai sasaran yang lebih luas kerana sasaran penggunanya sebahagian besarnya ialah orang yang lebih pandai berbahasa kebangsaan daripada bahasa Inggeris. Penggunaan bahasa Inggeris untuk nama kompleks itu hanya didorong oleh sikap yang menganggap bahawa bahasa kebangsaan hanyalah bahasa kelas dua, bukan bahasa yang bertaraf antarabangsa. Bahasa Inggeris dianggap lebih gah, lebih bergaya, dan lebih komersial!. Sikap demikian sudah tentulah memberikan kesan yang tidak sedikit terhadap usaha meningkatkan citra kebangsaan di bandar-bandar. Keengganan masyarakat menggunakan bahasa kebangsaan ini merupakan hambatan kepada pembentukan jati diri kebangsaan kerana bahasa akan dapat menjadi jati diri bangsanya jika bahasa itu benar-benar dihargai secara mendalam oleh setiap anggota masyarakat. Jika sebahagian besar anggota masyarakat bersikap acuh tak acuh atau tidak peduli terhadap bahasa kebangsaan sendiri, bahasa itu tidak akan memberikan sumbangan kepada pembentukan jati diri bangsa.
        Bandar-bandar kita selain dibangunkan dari segi prasarana dan ekonominya harus juga diberi wajah berasaskan nilai budaya bangsa. Nama syarikat, nama perniagaan, nama pertubuhan, dan nama bangunan yang dipaparkan pada papan tanda nama di premis perniagaan, bangunan, dan sebagainya memberikan citra kepada bandar-bandar kita. Citra asing yang diberikan kepada bandar-bandar kita itu sudah tentulah tidak mencerminkan budaya atau tidak memperlihatkan jati diri bangsa kita. Pengawalan penggunaan bahasa asing akan dapat memastikan bandar-bandar kita tetap bercitra kebangsaan.
        Kecintaan dan kebanggaan terhadap bahasa kebangsaan bukan bererti kita harus mengetepikan penggunaan dan menafikan kepentingan bahasa Inggeris. Pada era globalisasi dan kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat yang melanda dunia masa ini, penguasaan bahasa Inggeris memang diakui amat diperlukan bagi membolehkan kita bersaing pada peringkat antarabangsa. Kemajuan dan kemodenan dalam setiap aspek kehidupan kita harus ditangani dengan sebaik-baiknya supaya tidak menimbulkan sikap dan tindakan yang menyebabkan bahasa kebangsaan semakin terpinggir. Sewajarnya, dalam menghadapi arus kemajuan, kita jangan sampai meminggirkan bahasa kebangsaan. Bahasa kebangsaan tidak harus menjadi asing di bumi sendiri!

No comments:

Post a Comment