Saturday, 12 March 2011

MENJADI BAHASA KOMUNIKASI MASYARAKAT ANTARABANGSA


HASRAT kita untuk melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa komunikasi masyarakat antarabangsa seperti bahasa Inggeris, bahasa Jerman, bahasa Perancis, bahasa Arab, dan bahasa Mandarin tidak mustahil akan tercapai jika pelbagai usaha untuk memajukan bahasa dan bangsa terus dilakukan. Walaupun penggunaan bahasa Melayu belum tersebar luas ke seluruh dunia dan bahasa Melayu belum menjadi bahasa perantara pertemuan-pertemuan antarabangsa, namun dengan usaha bersungguh-sungguh, hasrat untuk melihat bahasa Melayu menjadi salah satu bahasa yang turut digunakan dalam komunikasi orang Amerika, Belanda, Itali, Jerman, Kanada, dan lain-lain pasti menjadi suatu kenyataan.
          Pada Sabtu malam yang lalu, kita mungkin telah meluangkan masa untuk menyaksikan kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 yang disiarkan secara langsung melalui TV1. Kita tentu berasa bangga dengan kehadiran peserta dari seluruh pelosok dunia seperti Afghanistan, Albania, Amerika Syarikat, Armenia, Australia, Azerbaijan, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Cameroon, China, Estonia, Hungary, India, Iran, Itali, Jepun, Jerman, Kanada, Kyrgystan, Korea Selatan, Kosovo, Latvia, Macedonia, dan lain-lain. Bahasa Melayu kini telah berkembang dan berhasil menarik minat warga asing untuk mempelajari dan menggunakannya. Dalam Kata Alu-aluan untuk Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu,YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa sebagai rakyat Malaysia dan pemilik bahasa ibunda itu, kita harus merasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu ampuh mencorak ritmanya yang tersendiri dan semakin mekar di persada dunia.
          Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa sebenarnya harus bermula dari masyarakat kita sendiri. Dalam tulisan saya ‘Menuju Bahasa Antarabangsa’ (Utusan Borneo, 8 Mac 2010), saya menyentuh sikap dan pandangan masyarakat yang masih mengagung-agungkan kehebatan dan kelebihan bahasa asing. Sikap dan pandangan itu tentu sahaja memberikan kesan terhadap usaha mengembangkan bahasa Melayu bukan sahaja di negara sendiri, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Hasrat untuk menempatkan bahasa Melayu di persada dunia sudah tentulah sukar dicapai jika di tanah air sendiri bahasa itu kian terpinggir. Sebagai pemilik, kita seharusnya berbangga dengan bahasa sendiri. Dengan adanya kebanggaan itu, kita akan berasa ikut bertanggungjawab untuk turut sama dalam sebarang usaha memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu supaya dipandang oleh masyarakat antarabangsa.
          Bahasa Melayu sebenarnya sedang bergerak menuju bahasa antarabangsa. Penubuhan beberapa pusat pengajian Melayu di luar negara yang bertujuan menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa merupakan usaha yang menjurus kepada matlamat menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan luas di peringkat antarbangsa. Bahasa Melayu diajarkan di pelbagai universiti ternama dunia. Kursi Pengajian Melayu diwujudkan di Leiden University, Belanda, Ohio University, Amerika Syarikat, University Wellington, New Zealand, Hankuk University of Foreign Studies, Korea Selatan, dan Beijing Foreign Studies University, China. Di negara China pula terdapat siaran radio dalam bahasa Melayu. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) turut ditubuhkan untuk memantapkan penyebaran dan penggunaan bahasa Melayu ke peringkat rantau dan antarabangsa.
          Meskipun demikian, banyak usaha lain yang  perlu dilakukan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Bahasa Melayu tidak akan ‘ke mana-mana’ jika bergantung pada jumlah penuturnya semata-mata. Bahasa Mandarin diakui sebagai bahasa antarabangsa bukan kerana bilangan penuturnya yang paling banyak di dunia, tetapi kerana kemajuan dan pencapaian negara China dalam bidang teknologi. Bahasa Mandarin menjadi bahasa antarabangsa yang penting dengan kebangkitan negara China sebagai kuasa ekonomi dunia. Begitu juga halnya dengan bahasa Inggeris. Meskipun status bahasa itu sebagai bahasa antarabangsa turut ditentukan oleh bilangan penuturnya yang banyak, namun status keantarabangsaan yang dimiliki oleh bahasa Inggeris sangat berkait erat dengan penguasaan ekonomi dunia oleh negara-negara berbahasa Inggeris. Di samping itu, bahasa Inggeris turut menjadi bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden.
          Dalam hal ini, pengembangan bahasa untuk menjadi bahasa antarabangsa tampaknya sangat berkait rapat dengan pengembangan masyarakat pemiliknya sendiri. Bangsa kita harus muncul sebagai bangsa yang menguasai ekonomi. Bangsa kita harus menjadi bangsa pencipta tekonologi baharu. Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam suatu majlis yang diadakan sempena ulang tahun ke-30 Universiti Kebangsaan Malaysia pada 20 Mei 2000 pernah menyatakan bahawa bangsa Melayu perlu memberikan tumpuan kepada usaha memajukan bangsa bagi menarik perhatian dunia terhadap bahasa Melayu. Menurut beliau, bangsa kita akan hanya dihargai apabila kita dapat menunjukkan  kemajuan dalam pelbagai bidang kehidupan yang tidak terlepas daripada ilmu pengetahuan dan teknologi. Dalam kata alu-aluan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 itu, YAB Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak turut menyatakan bahawa untuk mempertahankan martabat bahasa Melayu, kita perlu ada kekuatan ekonomi dan politik yang teguh di dalam negara dan di segenap penjuru dunia. Kekuatan itulah yang akan memastikan bahasa Melayu terus kekal subur.
          Memang, perjalanan bahasa Melayu menuju bahasa antarabangsa masih jauh. Kita mengakui bahawa masih banyak yang belum dilaksanakan. Kejayaan yang diharapkan masih belum tercapai sepenuhnya. Bahasa Melayu belum cukup mantap dalam beberapa ranah dan masih tidak mendapat sokongan yang padu dan menyeluruh daripada setiap orang. Bahasa kebangsaan masih tidak dihargai dengan sewajarnya, bahkan penghargaan terhadapnya kini dirasakan semakin memudar. Rasa menghargai bahasa asing masih terus menampak pada sebahagian besar bangsa kita. Hal ini menunjukkan bahawa apa-apa yang diusahakan selama ini belum memadai. Kita harus bekerja keras dan memperhebat usaha jika ingin melihat bahasa Melayu dapat menjadi bahasa antarabangsa pada suatu masa kelak.

Thursday, 10 March 2011

BAHASA PERPADUAN BANGSA

KETIKA disepakati bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita sebenarnya melihat bahawa bahasa Melayu berpotensi menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai suku kaum. Bahasa Melayu merupakan lingua franca yang paling luas difahami. Walaupun pemilihannya sebagai bahasa kebangsaan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kaum yang lain, namun pengangkatan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang dalam kedudukannya itu turut berperanan sebagai alat perpaduan kaum, ternyata merupakan langkah yang tepat. Setelah setengah abad negara kita merdeka, bahasa Melayu telah dapat memainkan peranannya sebagai alat perpaduan kaum. Meskipun terdapat pelbagai faktor yang turut mengukuhkan perpaduan kaum, peranan bahasa sebagai alat perpaduan kaum tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa yang berbeza yang tidak difahami sudah pasti menghalang berlangsungnya komunikasi.  Ingatan supaya ‘berhati-hati’ yang diucapkan oleh seseorang daripada suku kaum Kadazandusun dalam bahasanya, ‘ingaton no’, atau daripada suku kaum Bajau Sama dalam bahasanya ‘palap-palap’, atau daripada suku kaum Iranun dalam bahasanya, ‘pia pia kanu’, atau daripada suku kaum Bisaya dalam bahasanya, ‘bonor-bonor’, atau daripada suku kaum Sungai dalam bahasanya, ‘aag-atago’, atau daripada suku kaum Murut dalam bahasanya, ilalain’ sudah pastilah tidak difahami oleh seseorang daripada kaum Melayu. Tetapi, dengan adanya bahasa kebangsaan, suatu kaum dapat berhubungan dengan suatu kaum yang lain sehingga tidak menimbulkan salah faham.  
          Peranan penting yang dimainkan bahasa kebangsaan untuk memantapkan perpaduan kaum dapat dilihat selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Pelbagai aliran pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris dikatakan telah menjadi salah satu penyebab utama kerenggangan hubungan antara kaum yang akhirnya meledakkan pertumpahan darah antara kaum itu. Salah satu langkah yang diambil untuk menyelesaikan masalah perkauman yang melanda lantaran wujudnya perpecahan kaum hasil daripada kepelbagaian aliran pendidikan ialah menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan kebangsaan. Penggunaan bahasa itu, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, diyakini dapat memberikan  kefahaman dan memupuk rasa kebersamaan sambil dapat menghindarkan rasa curiga antara satu sama lain kerana mereka dapat berinteraksi dengan menggunakan  satu bahasa.
          Namun, keyakinan penuh tentang keberhasilan bahasa kebangsaan dalam memupuk dan menyuburkan perpaduan kaum selama ini tampaknya mula goyah sehingga bahasa itu ‘dicampak’ atas alasan membangunkan bangsa. Kecenderungan yang kian mengecilkan peranan bahasa kebangsaan ini didapati makin bermunculan. Penggunaan bahasa asing yang makin berleluasa dan penggunaan bahasa rojak yang kian menggejala dalam kalangan anggota masyarakat memberikan kesan yang tidak sedikit kepada bahasa kebangsaan. Kecenderungan sedemikian akan mengakibatkan bahasa kebangsaan kehilangan peranannya sebagai bahasa perpaduan bangsa.  Oleh sebab itu, mengetahui sejarah perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memahami kepentingan meletakkan bahasa itu di kedudukan yang sewajarnya penting agar usaha dan semangat yang bergelora untuk menguasai bahasa asing tidak sampai mengikis keyakinan terhadap peranan besar yang dimainkan oleh bahasa itu sendiri. Perperpaduan kaum selama ini akan terancam apabila masyarakat mula mengetepikan bahasa tersebut.
          Sebagai sebuah negara yang didiami oleh pelbagai kaum, peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan perlu diberi perhatian yang lebih serius. Penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa bersama membolehkan setiap anggota masyarakat berkomunikasi antara satu sama lain tanpa mengalami kesulitan. Walaupun bahasa Melayu bagi sebilangan anggota masyarakat di negara ini merupakan bahasa kedua, namun mereka telah dapat menggunakan bahasa itu dalam pelbagai kegiatan komunikasi. Hal ini demikian kerana kemampuan berbahasa kebangsaan sebagai alat komunikasi menjadi tuntutan utama bagi setiap anggota masyarakat untuk berhubungan antara satu sama lain, terutama dengan seseorang daripada kaum yang lain. Oleh itu, penggunaan kata ‘petang’, misalnya, bukan sahaja difahami oleh orang Melayu, tetapi juga seluruh anggota masyarakat, walaupun suku kaum Kadazandusun menggunakan kata ‘doungadau’, suku kaum Bajau Sama menggunakan kata ‘kemuap’, suku kaum Iranun menggunakan kata ‘gkagabi’, suku kaum Bisaya menggunakan kata ‘sodopon’, suku kaum Sungai menggunakan kata ‘awi-awi’, dan suku kaum Murut menggunakan kata ‘amai’. Begitu juga kata ‘duduk’ dalam bahasa kebangsaan dapat difahami seluruh anggota masyarakat walaupun dalam bahasa Kadazandusun mempunyai kata ‘miikau’, bahasa Bajau Sama mempunyai kata ‘nengkoo’, bahasa Iranun mempunyai kata ‘untud’, bahasa Bisaya mempunyai kata ‘paruka’, bahasa Sungai mempunyai kata ‘meogom’, dan bahasa Murut mempunyai kata ‘turung’.
          Oleh sebab itu, usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk menyuburkan semangat perpaduan dalam diri setiap anggota masyarakat melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Dari semasa ke semasa, pelbagai kegiatan diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan keyakinan masyarakat tentang bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan kita. Penggunaannya akan memperkukuh perpaduan kaum, sebaliknya peminggiran bahasa kebangsaan dalam kegiatan bahasa akan menyebabkan kemantapan perpaduan kaum akan berkurang. Dengan usaha-usaha itu, bahasa kebangsaaan diharapkan akan sentiasa menjadi alat perpaduan bangsa kita.

MEMAHAMI PENGERTIAN BAHASA BAKU

SESETENGAH orang mungkin tidak memahami pengertian bahasa baku dengan jelas atau dengan sepenuhnya. Disebabkan kekaburan itu, bahasa baku dihubungkan dengan sebutan semata-mata. Ditambah pula dengan penguasaan bahasa yang kurang baik, terutama dari aspek tatabahasa, seseorang yang menuturkan “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, atau “banyak negara-negara...” dianggap telah menggunakan bahasa baku hanya kerana penutur itu menyebut kata para, peniaga, mereka, dan negara sebagai pa(ra), penia(ga), mere(ka), dan nega(ra) bukan pa(re), penia(ge), mere(ke), dan nega(re). Seseorang yang menuturkan “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” atau “dia memperkatakan tentang hal itu...” juga dianggap telah berbahasa baku kerana kata saya, perkara, dia, dan memperkatakan dalam pertuturannya itu disebut sebagai sa(ya), perka(ra), di(ya), dan memperka(ta)kan bukan sa(ye), perka(re), di(ye), dan memperka(te)kan. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan sebutan baku lebih menggugah perhatian masyarakat berbanding dengan hasil pembakuan bahasa yang lain.
         Sebenarnya, kebakuan bahasa bukan sahaja dari aspek sebutan, tetapi juga dari aspek tatabahasa, ejaan, dan kosa kata. Oleh sebab itu, “para-para peniaga...”, “mereka-mereka...”, dan “banyak negara-negara...”, walaupun diujarkan dalam sebutan baku, bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi pengulangan kata yang sudah mengandungi makna jamak dan pengulangan kata yang sudah ditentukan oleh kata bilangan. Begitu juga “saya akan membincangkan tentang perkara itu...” dan “dia memperkatakan tentang hal itu...” bukan suatu bentuk yang baku kerana mengandungi kesalahan dari segi tatabahasa. Bentuk yang baku bukan sahaja betul dan sempurna sebutannya, tetapi juga ejaan, kata, dan tatabahasanya. Oleh sebab itu, “para peniaga...”, “mereka...”, “banyak negara...”, “saya akan membincangkan perkara itu...”, dan “dia memperkatakan hal itu...” merupakan bentuk yang baku.
          Bahasa baku ialah bahasa yang digunakan dalam sistem pendidikan negara, dalam urusan rasmi kerajaan, dan juga dalam semua konteks rasmi. Dalam menyampaikan ucapan, ceramah, pidato, khutbah, kuliah, atau dalam mesyuarat atau semasa mengajar, misalnya, kita harus menggunakan bahasa baku. Di samping itu, kita juga harus menggunakan bahasa baku dalam surat-menyurat rasmi, laporan, tulisan ilmiah, rencana, barita, peraturan, undang-undang, iklan, dan papan tanda di tempat-tempat awam. Pembakuan bahasa Melayu dilakukan untuk memperlengkap dan memantapkan aspek-aspek bahasa supaya bahasa Melayu menjadi bahasa yang lengkap dan mantap dalam sistem sebutan, sistem ejaan, sistem tatabahasa, perbendaharaan kata umum dan istilah, laras dan gaya bahasa, serta aturan penggunaan bahasa yang sopan. Bahasa sebagai suatu sistem memang perlu dibina dan dikembangkan agar menjadi bahasa yang sempurna. Bahasa akan kehilangan sistemnya jika dibiarkan berkembang dengan sendirinya, dan tanpa sistem, bahasa menjadi sukar untuk dipelajari dan dikenali, apatah lagi jika bahasa tersebut mempunyai peranan yang besar dalam sebuah negara. Pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu ditumpukan pada pembakuan agar tercapai penggunaan bahasa yang  jelas, tepat, dan berkesan dalam berkomunikasi. Usaha dijalankan untuk meningkatan penguasaan bahasa dalam kalangan pengguna supaya dengannya penggunaan bahasa baku dapat menjangkau seluruh lapisan masyarakat.
          Dalam kegiatan berbahasa masyarakat pada masa ini, kita dapat melihat bahawa bahasa yang digunakan jarang-jarang sekali berbentuk bahasa Melayu baku. Biasanya, bahasa yang digunakan dalam pertuturan masyarakat bukan bahasa baku, iaitu bahasa basahan atau bahasa pertuturan sehari-hari, malah sering kali juga berbentuk bahasa campuran atau bahasa rojak. Hal ini sudah tentu tidak dapat dielakkan kerana bahasa tidak dapat terlepas daripada konteks sosial. Pelbagai faktor, seperti hubungan antara penutur, tempat, tujuan, situasi, status, pendidikan, usia, dan jantina amat mempengaruhi penggunaan bahasa. Oleh sebab itu, kita pasti sering mendengar ungkapan seperti apa mau, kasi tahu, banyak mahal, itu macam, dan boleh bikin. Malah, kita sendiri mungkin kerap menggunakannya dalam perbualan sehari-hari dengan teman-teman.
          Sebagai salah satu ragam bahasa Melayu, bahasa basahan ini bukan bahasa yang dilarang penggunaannya. Kita akan menggunakan bahasa dalam ragam tertentu sesuai dengan situasi atau tempat berlangsungnya komunikasi, misalnya dalam situasi kekeluargaan yang tidak menuntut penggunaan bahasa baku. Dalam tawar-menawar di pasar pula, penggunaan bahasa baku mungkin akan menimbulkan kelucuan, kejanggalan, kehairanan, atau kecurigaan. Dalam hubungan ini, jelas bahawa kita tidak dituntut supaya berbahasa baku secara terus-menerus sepanjang waktu kerana bahasa yang dapat mengenai sasarannya tidak sentiasa perlu beragam baku. Kita harus memperhatikan golongan penutur dan situasi penggunaannya. Orang yang mahir menggunakan bahasanya sehingga maksud yang ingin disampaikannya dapat difahami dengan jelas atau dapat mencapai sasarannya dianggap telah dapat berbahasa dengan baik dan berkesan. Meskipun demikian, kita tidaklah wajar menggunakan bahasa basahan ini secara berleluasa, sebaliknya menggunakannya dalam batasan tertentu sahaja, khususnya dalam situasi tidak rasmi.
          Bahasa baku dan bahasa basahan ini mempunyai fungsi masing-masing dalam komunikasi. Bahasa baku digunakan dalam situasi rasmi, manakala bahasa basahan digunakan sebagai bahasa pertuturan sehari-hari dalam situasi tidak rasmi. Penggunaan bahasa basahan dalam perbincangan, mesyuarat, atau seminar, misalnya, akan menghilangkan kerasmian perbincangan, mesyuarat, atau seminar tersebut. Pertukaran penggunaan kedua-dua ragam bahasa ini akan menimbulkan gangguan terhadap komunikasi.  
          Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan bahasa dalam situasi rasmi sering ‘diganggu’ oleh bahasa basahan atau bahasa rojak. Gangguan ini dapat diperhatikan dalam ucapan, wawancara, ceramah, atau dalam pertuturan yang dituntut supaya berbahasa baku. Kebiasaan menggunakan bahasa basahan telah membuat kita secara tidak sedar menggunakannya dalam situasi rasmi yang menuntut kita menggunakan bahasa baku. Kebiasaan inilah yang harus dihindari, dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan untuk menanamkan dan mengembangkan pemahaman dan kecintaan dalam diri masyarakat terhadap bahasa baku.

MENYERLAHKAN KEKAYAAN BUDAYA

DALAM program Jejak Etnik DBP Cawangan Sabah, saya berpeluang ke Kampung Landung Ayang Laut, Kudat. Jejak Etnik dijalankan untuk mengkaji tahap penguasaan bahasa sukuan dalam kalangan penutur asli bahasa sukuan Sabah. Hasil kajian awal menunjukkan bahawa sebahagian besar penduduk, iaitu kira-kira 50 peratus daripada jumlah penduduknya yang berjumlah hampir 4000 orang tidak lagi menggunakan bahasa sukuan masing-masing sebagai bahasa pertuturan di rumah, sebaliknya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi dalam lingkungan keluarga. Sebilangan besar generasi mudanya didapati tidak lagi menguasai bahasa sukuan masing-masing. Kajian awal ini juga menunjukkan semakin menurunnya peranan masyarakat dan keluarga dalam memelihara dan mempertahan warisan budaya.
Ada kira-kira 14 suku kaum yang mendiami Kampung Landung Ayang Laut yang diketuai Haji Nunong Ibrahim, 84 tahun. Suku kaum itu ialah Ubian, Kagayan, Suluk, Bajau, Benadan, Pemutaran, Pelauh, Dusun Bonggi, Dusun Kimaragang, Sungai, Bisaya, Brunei, Dusun, dan Bugis. Kepelbagaian suku kaum ini sebenarnya dapat ditemukan bukan sahaja di Kampung Landung Ayang Laut ini, tetapi juga di kampung-kampung atau di kawasan-kawasan lain di seluruh Sabah. Demikianlah kekayaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai lebih daripada 32 suku kaum seperti Bajau, Kadazandusun, Suluk, Iranun, Brunei, dan lain-lain. Suku kaum Kadazandusun pula, misalnya, terdiri daripada empat puluh suku kaum kecil Dusun dan Kadazan, antaranya termasuklah Bisaya, Bonggi, Bundu, Dumpas, Gana, Garo, Idaan, Kedayan, Kimaragang, Kolobuan, Kuijau, Lingkabau, Liwan, Lobu, Lotud, Lundayeh, Makiang, Malapi, Mangkaak, Minokok, Murut, Ngabai, Paitan, Pingas, Rumanau, Rungus, Sinobu, Sinorupu, Sonsogon, Sukang, Sungai, Tatana, Tangara, Tidong, Tindal, Tobilung, Tolinting, Tombonuo, Tuhawon, dan Tutung.
Setiap suku kaum itu memiliki kepercayaan, adat, pantang larang, bahasa, pakaian tradisi, tarian tradisi, muzik tradisi, permainan tradisi, dan makanan tradisi yang tersendiri. Misalnya, ‘hinava ginapan’, ‘bosou’ atau ‘tonsom merupakan makanan tradisi suku kaum Kadasandusun, manakala ‘kima’, ‘sagol, ‘putuh’, dan ‘tompe’ pula merupakan makanan tradisi suku kaum Bajau.  ‘Sumazau’ merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun, ‘magunatip’ merupakan tarian tradisi suku kaum Murut, ‘liliput’ merupakan tarian tradisi suku kaum Bisaya, dan ‘dalling-dalling’ merupakan tarian tradisi masyarakat Bajau. 
Kekayaan budaya di Sabah turut terserlah dari segi bahasa dan sasteranya. Sabah dikatakan mempunyai lebih daripada 50 bahasa sukuan. Untuk kata tangan, kaki, dan mulut sahaja, misalnya, terdapat puluhan kata dalam bahasa sukuan yang digunakan oleh masyarakat di Sabah. Untuk kata tangan, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘lima’ dan masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘longon’. Untuk kata kaki, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘siki’, masyarakat Pemutaran dan Ubian menyebutnya sebagai ‘naie’, masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘wotis’, dan masyarakat Dusun Kimaragang menyebutnya sebagai ‘takod’. Untuk kata mulut pula, masyarakat Suluk menyebutnya sebagai ‘simut’, masyarakat Bajau menyebutnya sebagai ‘buak’, masyarakat Kagayan menyebutnya sebagai ‘behe’, masyarakat Pemutaran menyebutnya sebagai ‘bok’, masyarakat Ubian menyebutnya sebagai ‘muak’, dan masyarakat Sungai menyebutnya sebagai ‘kobang’.
Kepelbagaian bahasa, agama, dan adat resam telah melahirkan kepelbagaian tanggapan, wawasan, dan pemikiran sehingga dengan itu melahirkan kepelbagaian dari segi hasil sastera. Hasil sastera seperti nyanyian rakyat dan cerita rakyat merupakan contoh daripada pelbagai bentuk tradisi lisan yang menjadi kekayaan budaya di negeri ini. Dengan memiliki kepelbagaian tradisi dan budaya, Sabah ternyata bukan sahaja kaya dengan alam semula jadinya, tetapi juga budayanya. Kita harus berbangga dengannya dan perlu menyerlahkan kekayaan dan keunikan itu. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, Sabah merupakan negeri yang memiliki banyak sekali produk budaya, dan produk budaya itu kini bukan sahaja menjadi daya tarikan kepada para pelancong, tetapi juga menunjang pertumbuhan ekonomi negeri. Dalam sambutan Pesta Kaamatan dan acara keramaian kemasyarakatan lain, misalnya, pelbagai aspek kebudayaan suku kaum ini terutamanya tarian tradisi ditonjolkan sebagai daya tarikan kepada para pelancong.
Dalam menghadapi kemajuan kehidupan masa kini, kita harus memastikan kekayaan budaya bangsa tidak terpinggir dan dapat terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman. Bahasa sukuan yang turut merupakan kekayaan budaya bangsa ini harus dijaga dan dipelihara kerana pupusnya suatu bahasa akan menyebabkan hilangnya pelbagai bentuk warisan budaya bangsa. Oleh itu, kita harus bertekad dan berusaha mempertahan kelangsungan hidup bahasa Rungus, Sungai, Bajau, Tombonua, Sonsogon, Sondoyo, Kimaragang, Suluk, Ubian, Tobilung, Begak, dan bahasa sukuan lain bagi memastikan kewujudan kebudayaan dan masyarakat pemiliknya. Jika kita masih menginginkan bahasa sukuan terus hidup subur, setiap anggota masyarakat harus memikul tanggungjawab bersama dalam melestarikan bahasa sukuan ini.

Wednesday, 9 March 2011

MEMANCARKAN WIBAWA BAHASA

BAHASA Melayu dengan jumlah penuturnya yang dianggarkan lebih 300 juta dikatakan sebagai bahasa keempat dalam turutan bahasa terbesar di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris, dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Bahasa Melayu kini bukan sahaja merupakan bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam, serta salah satu bahasa rasmi Singapura, tetapi turut dituturkan oleh di Thailand Selatan, Filipina Selatan, Vietnam, Sri Lanka, dan Afrika Selatan. Berdasarkan jumlah penuturnya itu, bahasa Melayu dikatakan berpotensi menjadi salah satu bahasa utama dunia.
Meskipun termasuk sebagai salah satu bahasa terbesar dunia, bahasa Melayu sebenarnya masih belum dapat ‘berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah’ dengan bahasa-bahasa maju yang lain. Jumlah penutur tampaknya bukan jaminan bahawa bahasa Melayu dapat menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat antarabangsa. Menurut Asmah Haji Omar, jumlah penutur bukanlah satu-satunya faktor yang memberikan kewibawaan sosial kepada bahasa. Bahasa Cina dan bahasa Rusia, misalnya, walaupun mempunyai jumlah penutur yang sangat besar, mempunyai khazanah pustaka ilmu yang baik, dan diberi tempat dalam Bangsa-Bangsa Bersatu, tetapi pengaruhnya dalam kehidupan dunia tidak setaraf dengan pengaruh yang ada pada bahasa Inggeris. Daripada beberapa bahasa utama dunia lain, bahasa Inggeris tampaknya telah menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat dunia. Keberhasilan bahasa Inggeris menjadi bahasa komunikasi bersama masyarakat dunia ini didukung oleh beberapa faktor, antaranya termasuklah penggunaannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi.
Pada masa ini, sebahagian besar daripada ilmu pengetahuan dan teknologi dimiliki bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris. Hal ini menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang ‘tidak boleh tidak’ harus dikuasai dalam usaha melahirkan bangsa yang dapat bersaing pada peringkat dunia. Negara  kita turut turut memberikan penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berdaya saing.
Kemampuan bahasa Melayu sebagai sarana pengungkapan ilmu pengetahuan dan teknologi tidak dapat dinafikan lagi. Penggunaannya dalam bidang pendidikan dari peringkat rendah hingga peringkat tinggi telah membuktikan hakikat ini. Walau bagaimanapun, kita harus juga menerima hakikat bahawa perjalanan bahasa Melayu menuju bahasa ilmu yang berwibawa sebenarnya masih jauh. Meskipun telah dibina dan dikembangkan supaya dapat memenuhi fungsinya sebagai sarana pengungkapan ilmu pengetahuan dan teknologi, bahasa Melayu didapati belum dapat memperlihatkan kemampuannya sebagai bahasa ilmu yang berwibawa. Dari segi pengisian ilmu pengetahuan dan teknologi mutakhir, bahasa Melayu dilihat masih ketinggalan sehingga kita harus terus bergantung pada bahasa Inggeris. Pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi dalam bahasa Melayu merupakan pemerolehan ilmu pengetahuan dan teknologi sekunder melalui pemindahannya daripada bahasa asal. Hal ini dapat diperhatikan pada peristilahan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Walaupun lebih setengah juta istilah dalam pelbagai bidang ilmu digubal bagi memenuhi fungsinya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi, namun peristilahan itu masih bersifat sekunder. Pembentukan istilah dalam bahasa Melayu merupakan pembentukan istilah bagi konsep ilmu yang telah dimunculkan terlebih dahulu dalam bahasa Inggeris. Kita hanya mencari istilah dalam bahasa Melayu untuk dipadankan dengan istilah ‘application package’, ‘ascending sort’, ‘associative memory’, ‘asynchronous response mode’, ‘automatic programming’, ‘back orifice’, ‘backing storage’, dan ‘backoff delay’ dalam bidang komputer, misalnya, yang teknologinya berkembang di luar bahasa Melayu. Kita belum benar-benar membentuk istilah dalam bahasa Melayu untuk melambangi konsep ilmu yang dimunculkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Hal ini turut meyiratkan bahawa perkembangan bahasa Melayu itu sentiasa berada di belakang kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi. Malah, bahasa Melayu dikatakan terlalu jauh di belakang bahasa Inggeris. Selagi keadaan ini menyelubungi bahasa kita, selagi itulah juga bahasa Melayu akan tetap menjadi bahasa ilmu sekunder.
Usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berwibawa ini sebenarnya bukan melibatkan bahasa semata-mata, tetapi turut melibatkan usaha mentransformasikan budaya, pemikiran, dan segala hal yang berkaitan dengan kehidupan bangsa. Bahasa Melayu akan menjadi bahasa ilmu yang berwibawa jika bangsa pemiliknya menjadi bangsa pencipta, dan teknologi yang tercipta itu pula diungkapkan dalam bahasa Melayu. Dengan cara itu, bahasa Melayu akan terisi dengan ilmu pengetahuan dan teknologi yang primer sifatnya, iaitu yang dimunculkan dalam bahasa Melayu itu sendiri. Pada masa ini, kita masih lagi merupakan bangsa pengguna. Dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi, misalnya, kita masih sebagai bangsa pengguna teknologi yang dimunculkan oleh barat. Begitu juga dalam bidang teknologi angkasa, kita masih sekadar menjadi penumpang kapal angkasa, tetapi belum menjadi pencipta teknologi kapal angkasa itu sendiri.
Bahasa Melayu sebenarnya telah memiliki syarat untuk dapat digunakan sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden. Cuma, yang amat diperlukan kini ialah pengisiannya dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan teknologi terkini, dan yang lebih penting ilmu pengetahuan dan teknologi yang dimunculkan oleh bangsa dan bahasa Melayu itu sendiri supaya dengannya bahasa Melayu tidak berterusan menjadi bahasa ilmu kelas dua, iaitu bahasa yang menyajikan ilmu pengetahuan dan teknologi yang sudah ketinggalan. Bahasa Melayu harus dapat memenuhi segala keperluan dan tuntutan masyarakat yang sedang membangun dan berubah dengan pesat. Bahasa Melayu harus dapat memancarkan wibawanya sebagai bahasa ilmu pengetahuan dan teknologi moden sehingga dapat menarik masyarakat dunia untuk mempelajari, menguasai, dan menggunakannya.

Sunday, 6 March 2011

PENGGUNAAN BAHASA DALAM KOMUNIKASI POLITIK

KATA orang, untuk menjadi ahli politik, apatah lagi wakil rakyat kita mesti pandai ‘bercakap’. Kepandaian ini sangat penting untuk membolehkan kita mencapai kejayaan dalam kerjaya politik. Hal ini demikian kerana ahli politik dikatakan mesti pandai bercakap untuk mendorong dan mempengaruhi pemikiran orang lain. Ahli politik juga perlu memiliki kepandaian bercakap untuk mematahkan hujah pihak lawan. Kepandaian bercakap ini tentu sahaja berkait erat dengan kemahiran menggunakan bahasa. Di parlimen, misalnya, kemahiran menggunakan bahasa dalam kalangan ahlinya memang amat diperlukan untuk tujuan perbahasan. Tentulah amat malang jika keberadaan mereka di parlimen hanya sekadar menjadi pendengar. Dalam pertemuan saya dengan YB Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan (dalam kegiatan Ziarah Bahasa DBP Cawangan Sabah yang diadakan untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama DBP dengan pelbagai pihak, termasuk pemimpin politik), beliau turut menyuarakan pandangan tentang kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ahli parlimen. Menurut Datuk Bung Moktar, ada sebilangan ahli parlimen yang terpaksa duduk ‘senyap’ sahaja lantaran tidak menguasai bahasa Melayu bagi mengambil bahagian dalam suatu perbahasan.
        Masalah kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan ahli parlimen ini sebenarnya bukan perkara baharu. Malah, saya pernah menulis hal yang sama sebelum ini. Tulisan saya ’YB Terbungkam di Parlimen’ dalam majalah MASSA pada tahun 2000 menjelaskan keperluan penguasaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan ahli parlimen. Penguasaan bahasa merupakan keperluan yang harus dimiliki setiap ahli parlimen kerana parlimen merupakan gelanggang perbahasan. Perbahasan sudah pasti memerlukan sarananya, iaitu bahasa. Penguasaan bahasa yang baik di samping pengetahuan tentang isu yang dibahaskan akan membolehkan ahli parlimen berbahas dengan berkesan dan penuh keyakinan. Namun, dalam kenyataannya, dapat dikatakan bahawa sebilangan ahli parlimen belum menguasai bahasa Melayu dengan baik. Banyak rumus dan aturan yang tidak dikuasai. Kelemahan sedemikian menyebabkan sebilangan ahli parlimen tidak dapat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan berkesan. Mereka tidak mampu melahirkan gagasan, fikiran, pendapat, atau pandangan dengan jelas, tepat, dan berkesan, apatah lagi mematahkan hujah pihak lawan.
        Pernah suatu ketika, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pada masa itu sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan melahirkan kekesalannya atas kelemahan sebilangan ahli Parlimen dalam menguasai bahasa Melayu. Malah, menurut beliau, kemahiran berbahas juga masih kurang memuaskan apabila ada ahli parlimen yang menggunakan kata-kata kesat dan kurang berhemah. Sebilangan ahli parlimen tidak menggunakan bahasa dengan baik, cermat, tertib, dan penuh tanggungjawab sehingga kata-kata yang digunakan sering kali menimbulkan kemarahan atau menyinggung perasaan orang lain. Untuk ‘mengubati’ masalah ini, pernah dicadangkan supaya kemahiran berbahasa Melayu dijadikan penanda aras bagi mereka yang berhasrat untuk bertanding sebagai wakil rakyat. Ujian lisan dan tulisan turut dicadangkan bagi memastikan mereka yang fasih berbahasa Melayu sahaja layak dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya di samping cadangan pelaksanaan peraturan yang mewajibkan calon wakil rakyat mahir dalam bahasa Melayu sebelum dibenarkan bertanding. Salah satu kemahiran yang harus dimiliki oleh ahli politik ialah kemampuan menuangkan pemikiran dalam bentuk ujaran. Walaupun ada yang berpandangan bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu tidak boleh dijadikan ukuran layak atau tidaknya seseorang itu menjadi wakil rakyat, namun kemahiran berbahasa bagi setiap wakil rakyat merupakan keperluan yang tidak dapat disangkal lagi. Kedalaman dan penguasaan bahasa akan memberi wakil rakyat kemudahan untuk menyampaikan buah fikiran, pandangan, pendapat, dan gagasan, serta berhujah atau berbahas.
        Masalah bahasa dalam komunikasi politik yang turut melibatkan ahli politik ini sebenarnya bukan sahaja menyangkut kepandaian bercakap yang harus menaati kaedah atau aturan bahasa yang ditetapkan, tetapi juga berkaitan dengan keperluan mematuhi etika berbahasa yang santun dan bertanggungjawab. Sering kali, kita dapat menyaksikan keriuhan berlaku di parlimen akibat penggunaan bahasa yang mengetepikan nilai kesantunan berbahasa ini. Dalam komunikasi, baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan, kita bukan sahaja dituntut menggunakan bahasa yang baik, tetapi juga mengikut norma-norma budaya. Pengetahuan tentang norma-norma budaya dalam masyarakat penting kerana penggunaan bahasa yang mematuhi norma-norma budaya akan menghasilkan bahasa yang santun. Komunikasi politik golongan tertentu akhir-akhir ini, bukan sahaja tidak mengendahkan norma atau aturan berbahasa, tetapi juga mengabaikan nilai-nilai luhur budaya bangsa. Kita sering kali dapat memerhatikan penggunaan kata-kata yang kasar dan kesat, serta bahasa yang tidak terkawal yang dapat menimbulkan suasana tegang dan mencetuskan pertengkaran atau pergaduhan. Kata-kata yang menghina, mengata, memaki-hamun, atau menyumpah-seranah semakin banyak ditemukan baik dalam bentuk lisan mahupun tulisan. Malah, penggunaan kata-kata makian seolah-olah sudah menjadi suatu kebiasaan.  Komunikasi politik golongan tertentu yang sarat dengan kata yang mengarah kepada permusuhan dan perpecahan ini jelas memperlihatkan betapa kurang bertanggungjawabnya mereka terhadap bahasa dan penggunaannya.
        Komunikasi politik itu tampaknya telah ‘menghalalkan’ segala bentuk bahasa. Dalam setiap kali pilihan raya, misalnya, kita dapat melihat bertebaran kata ‘mengancam’, ‘mengugut’, ‘mengata’, ‘menfitnah’, ‘memaki’, dan ‘menghamun’ yang mendorong perpecahan bangsa. Bahasa digunakan sebagai alat untuk menyemai kebencian dan memecah-belahkan masyarakat. Keadaan sedemikian pasti membimbangkan kita. Komunikasi politik seharusnya ikut mengembangkan bahasa Melayu, bukan sebaliknya memusnahkan fungsi bahasa Melayu sebagai sarana untuk mewujudkan dan mengembangkan rasa kebersamaan, kemesraan, dan keakraban. Oleh itu, pelbagai usaha harus dilakukan untuk meningkatkan kesedaran golongan ini tentang tanggungjawab masing-masing terhadap bahasa dan berbahasa. Dengan kesedaran ini, mereka diharapkan akan akan lebih bertanggung jawab dalam menggunakan bahasa, mengawal diri agar tidak mudah meluncurkan kata-kata yang kesat, kasar, dan cabul. Bahasa sebagai alat komunikasi harus dipastikan terus memegang peranan penting sebagai sarana komunikasi yang dapat meningkatkan kefahaman dan rasa kebersamaan.

MENYIMPAN KEKAYAAN YANG TIDAK TERNILAI

KEPELBAGAIAN bahasa yang terdapat di Sabah telah menjadikan kita salah sebuah bangsa yang kaya dari segi bahasa. Bahasa sukuan seperti Kadazandusun, Murut, Bajau, Rungus, Lundayeh, Iranun, Lotud, Kimaragang, Gana, Kwijau, Serudung, Tagal, Tombonuo, dan lain-lainnya yang menyimpan kekayaan kata yang tidak ternilai. Namun, kekayaan yang dimiliki oleh bahasa sukuan itu tampaknya kian hari kian menyusut kerana semakin melenyapnya sebahagian besar kosa katanya akibat tidak digunakan lagi oleh penuturnya. Perubahan perilaku berbahasa anggota masyarakat telah mempengaruhi nasib bahasa sukuan sehingga jumlah bahasa sukuan yang masih banyak penuturnya kini dapat dihitung dengan jari. Jika keadaan ini berterusan, tidak dapat tidak, kita akan kehilangan sumber pengayaan bahasa kebangsaan. Oleh itu, khazanah kata bahasa sukuan ini perlu digali. Kata-katanya perlu dihidupkan agar dapat dimanfaatkan sebagai sumber yang memperkaya khazanah bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita.  
        Bahasa Melayu yang sedang berkembang memang memerlukan banyak istilah untuk memperkaya perbendaharaan katanya. Perkembangan pesat bidang teknologi maklumat, misalnya, telah memunculkan konsep dan istilah baharu dengan banyaknya yang memerlukan istilah-istilah baharu dalam bahasa Melayu. Lalu, istilah seperti internet, intranet, ekstranet, e-mel, e-web, komputer, cakera video digital, dompet digital, telerobotik, komputer stilus, superkomputer, mikrokomputer, dan komputer kuantum muncul dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu untuk mengungkapkan konsep khusus dalam bidang berkenaan. Kekurangan kata yang dianggap tepat untuk mengungkapkan konsep-konsep baharu dalam bidang ilmu itu menyebabkan peristilahan bahasa Melayu menerima dan menggunakan istilah daripada bahasa asing.
        Kemasukan kata-kata asing ke dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu ini tampaknya akan terus-menerus berlangsung memandangkan bahawa kemajuan dalam segala aspek kehidupan manusia akan terus memunculkan konsep-konsep baharu yang setiap satunya memerlukan kata untuk pengungkapannya. Dalam hubungan inilah, khazanah kata dalam bahasa sukuan dapat menjadi sumber pengayaan bahasa Melayu. Penggalian dan pemanfaatan khazanah kata bahasa sukuan ini penting untuk mengimbangi pengaruh besar bahasa asing dalam pengembangan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Memang, kehadiran istilah pinjaman daripada bahasa asing dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu telah dapat meningkatkan kemampuannya untuk mengungkapkan konsep ilmu. Sungguhpun begitu, kita harus ada pertimbangan supaya tidak mengambil kata asing secara berleluasa. Peminjaman hanya wajar dilakukan apabila benar-benar tiada kata yang sesuai dalam bahasa Melayu dan bahasa sukuan.
        Dalam pembentukan istilah selama ini, kata-kata daripada bahasa sukuan jarang-jarang dimanfaatkan. Selain kata dalam bahasa Melayu sendiri, kata daripada bahasa asing menjadi pilihan utama. Akibatnya, istilah asing terus membanjiri bahasa Melayu. Sebahagian orang menganggap hal ini tak dapat dihindari. Komunikasi teknik memerlukan ketepatan dan kejelasan. Penggunaan kata yang sedia ada untuk mendukung pengertian yang berbeza dikatakan akan mewujudkan kekeliruan dan kekacauan komunikasi. Penggunaan kata ‘perut’ dalam bidang perubatan, misalnya, dapat menimbulkan kekeliruan kerana kata ‘perut’ itu dapat sahaja bermaksud ‘abdomen’, perut besar (gaster), atau tali perut (duodenum, jejunum, ileum, kolon, dan rektum). Begitu juga penggunaan istilah ‘pemindahan darah’ dan ‘galangan’ dianggap terlalu umum untuk mendukung konsep khusus dalam bidang ilmu tertentu sehingga diterima istilah ‘transfusi darah’ (blood transfusion) dan ‘impedans’ (impedance). Penggunaan kata ‘pernafasan’ yang merujuk kepada proses penyedutan dan penghembusan udara dari paru-paru dianggap tidak tepat sebagai padanan istilah ‘respiration’ yang merupakan proses pemecahan molekul organik untuk menghasilkan tenaga yang diperlukan organisma atau sel, yang juga berlaku dalam keadaan tanpa udara. Kata ‘kedi’ atau ‘khunsa’ yang bererti lelaki atau perempuan yang tidak sempurna sifat kelelakian atau keperempuanannya ditolak penggunaannya untuk ‘hermafrodit’ (hermaphrodite) yang mempunyai kedua-dua alat jantina yang berfungsi. Kata ‘urat’ pula sukar diterima untuk penamaan jenis saluran darah berdasarkan saiz dan fungsinya. Dalam komunikasi teknik, istilah sedemikian dianggap kurang bernilai kerana memungkinkan berlakunya salah komunikasi. Penggunaan istilah umum seperti itu dikatakan akan menyebabkan berlakunya kekeliruan dalam penyampaian, penerimaan, dan penggunaan semula maklumat ilmu pengetahuan yang menekankan perhubungan konsep-konsep tertentu. Atas alasan itulah istilah seperti asid asetik (acetic acid), fibia (fibia), dan koksa (coxa) lebih diterima berbanding dengan ‘cuka makan’, ‘tulang kering’ dan ‘pangkal paha’.
        Meskipun diakui bahawa kebanyakan istilah bahasa asing itu sangat sukar dicarikan padanan yang tepat dalam bahasa Melayu, namun penerimaan dan penggunaan istilah asing kadang-kadang memperlihatkan sikap kita yang sering ‘ambil mudah’ dan tidak mahu menggali kekayaan perbendaharaan kata bahasa sendiri. Istilah ‘hamstring’, ‘konsisten’, dan ‘efektif’ misalnya, tidak akan mudah diterima jika kita dapat menemukan kata ‘pelipat’, ‘tekal’, dan ‘mangkus’ dalam bahasa sendiri. Namun, masyarakat kita agaknya lebih memahami bahasa asing sehingga bahasa sendiri kadang-kadang terasa lebih asing. Akibatnya, pengembangan perbendaharaan kata bahasa Melayu selama ini terlalu banyak melibatkan kata pinjaman atau kata serapan daripada bahasa asing berbanding dengan kata daripada khazanah bahasa sendiri.
        Bahasa sukuan merupakan kekayaan bangsa kita. Namun, kekayaan itu tidak akan bermakna apa-apa jika tidak dimanfaatkan untuk pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan kita. Walaupun kata daripada bahasa serumpun dan dialek seperti kata gambut (peat) daripada bahasa Banjar, ibun (frost) daripada bahasa Iban, luah (discharge) daripada bahasa Minangkabau, kamir (integral) daripada dialek Kelantan, labur (invest) daripada dialek Negeri Sembilan, sut (margin) daripada dialek Kedah, dan cerakin (analyse) daripada dialek Johor turut digunakan dalam pembentukan istilah selama ini, namun, bilangannya masih terlalu kecil. Kata-kata daripada bahasa sukuan yang diangkat sebagai istilah ilmu dalam bahasa Melayu didapati hampir-hampir tiada, padahal kata seperti ‘ruai’ dan ‘randau’ yang berasal daripada bahasa Iban amat berpotensi menggantikan kata ‘lobi’ (lobby) dan dialog (dialogue). Dalam bahasa Dusun, misalnya, terdapat kata ‘bilas’, ‘lanai’, dan ‘ngindud’ yang mungkin dapat digunakan untuk menggantikan kata ‘tahi mata’, ‘tahi telinga’, dan ‘tahi gigi’. Kata-kata seperti itu memang diperlukan untuk pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu, terutama untuk mengimbangi kehadiran kata bahasa asing dalam bahasa Melayu. Tentulah amatlah disayangkan jika khazanah kata yang ada dalam bahasa sukuan tidak digali dan dimanfaatkan sebagai sumber pembentukan istilah. Banyak kata dalam bahasa sukuan yang dapat dipertimbangkan untuk ‘diangkat’ sebagai istilah untuk menampung konsep-konsep baharu yang muncul dalam kehidupan kita.